Saturday, September 3, 2016

Jamal Pak Tongkol tolak istihar harta, salahkan DAP

 
Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos menolak desakan supaya beliau mengisytiharkan sumber kekayaannya selepas berjanji memberikan RM1,000 kepada setiap 646 perwakilan parti itu.
Beliau berkata pengisytiharan itu tidak perlu kerana tidak ada undang-undang memerlukan beliau berbuat demikian, sambil menambah ia adalah kesilapan parti pembangkang, terutamanya DAP.
"Sebelum PRU 13 PM dah usulkan supaya ahli-ahli parti politik kena isytihar siapa penderma, tapi malangnya parti pembangkang terutama DAP tak bersetuju supaya ahli politik isytihar penderma dah penyumbang.
"Jadi saya tak perlu nak isytihar apa-apa," kata Jamal kepada Malaysiakini.
Beliau menjawab gesaan termasuk daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, M Kulasegaran supaya mengisytiharkan sumber kekayaannya.
Jamal mengumumkan pemberian tunai itu semasa mesyuarat perwakilan Umno Sungai Besar, Rabu lalu.
Wang itu, katanya, adalah peruntukan daripada lawatan sambil belajar untuk 81 pemimpin cawangan dan ahli jawatankuasa bahagian itu ke Dubai yang kemudiannya dibatalkan.
Mengulas lanjut mengenai perjalanan yang dirancang, Jamal berkata ia adalah untuk mengembangkan pandangan pemimpin Umno Sungai Besar supaya mereka tidak menjadi "katak di bawah tempurung".
Beliau berkata mereka memilih Dubai kerana ia adalah sebuah negara Islam yang maju dan mahu belajar daripadanya.
Jamal berkata tiada ketua cawangan yang kecewa kerana tidak dapat dibawa ke Dubai dan merasakan ganjaran kepada para perwakilan adalah pilihan yang lebih baik.
Sumber:malaysiakini

Friday, September 2, 2016

Polis nafi viral UFO berlegar di Kuala Krai

FOTO diambil daripada rakaman video menunjukkan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) yang menjadi viral di media sosial.


KOTA BHARU: Polis hari ini menafikan kononnya terdapat objek terbang yang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di ruang angkasa Kuala Krai seperti yang diviralkan menerusi media sosial. 

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk kawasan berkenaan berhubung kejadian itu.

"Video itu disebarkan oleh pihak tertentu tanpa mengetahui sebabnya," kata beliau ketika dihubungi di sini, malam ini. 

Selain penyebaran video berdurasi 1 minit 25 saat menerusi media sosial itu, ia turut mengaitkan maklumat itu kononnya daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), dengan meletakkan perkataan "BERNAMA". 

Berita yang diviralkan itu menyebut: "Penduduk Kuala Krai Kelantan dikejutkan dengan objek dipercayai U.F.O. berlegar-legar di ruang angkasa berhampiran pusat cembong batu nang.

"Kejadian disaksikan dengan jelas oleh penduduk kampung selama beberapa minit sebelum objek itu hilang meninggalkan kawasanitu. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian berlaku.BERNAMA."

Sumber:berita harian online

Sultan Selangor diijab kabul dengan pembaca berita RTM



Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijab kabul dengan pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 31 Ogos lepas.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin dan Norashikin dinikahkan oleh Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam majlis pernikahan yang sederhana dan ringkas atas titah baginda.

Munir berkata pernikahan turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Selangor Dr Anhar Opir; Al Fadil Imam Paduka Mohd Rasid Mahful; Bekas Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar; Ahli Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin dan bapa serta anggota keluarga pengantin perempuan.

Sultan Sharafuddin dilahirkan di Istana Jema'ah Klang (kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) pada 24 Dis 1945.

Ini adalah pernikahan ketiga Sultan Selangor selepas mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada 1968 tetapi bercerai pada 1986 dan kemudian berkahwin dengan Puan Nur Lisa Abdullah (rakyat Amerika) tetapi berpisah pada 1997.

Baginda mempunyai dua puteri dan seorang putera iaitu Tengku Zerafina,Tengku Zatashah dan Tengku Amir (kini Raja Muda Selangor).

Norashikin, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

Beliau pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada 2005 (ASA2005).





Sumber: malaysiakini