DEMAM denggi boleh membawa maut. Ramai beranggapan mereka yang pernah menghidap denggi tidak akan diserang penyakit yang sama kerana tubuh mereka sudah ada antibodi untuk melawan penyakit itu.
Bagaimanapun, profesor Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Shamala Devi Sekaran menyangkal pandangan tersebut.
"Serangan denggi kali kedua jauh lebih teruk dan kesannya lebih rumit. Pesakit juga mungkin mendapat penyakit lain yang lebih serius yang boleh merosakkan paru-paru, hati dan jantung.
Pembiakan nyamuk
"Langkah pencegahan utama untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan denggi ialah mengawal populasi nyamuk Aedes," katanya pada sesi dialog sempena sambutan Hari Denggi Asean di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Memandangkan pemindahan virus memerlukan nyamuk sebagai vektor, penyebaran denggi boleh dihadkan dengan mengurangkan pembiakannya.
Orang ramai harus didik supaya menyedari bahawa nyamuk merupakan vektor penyakit itu, jadi adalah berbahaya jika kawasan berhampiran rumah mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Orang ramai mempunyai persepsi bahawa mereka tidak akan menghidap denggi, namun statistik membuktikan sebaliknya. Kes denggi kini semakin teruk.
"Langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan oleh setiap individu dan memberi kesan jangka panjang. Cara terbaik untuk mengurangkan nyamuk ialah dengan membersihkan tempat-tempat nyamuk bertelur," jelasnya.
Menurut Shamala Devi, air kotor yang bertakung bukanlah satu-satunya tempat pembiakan nyamuk Aedes. Serangga itu masih boleh membiak dalam air bersih seperti dalam balang seramik, bekas logam, tong simpanan air, pasu, bekas makanan dan barangan lain yang menakung air hujan.
Denggi berlaku di kawasan bandar dan di luar bandar. Walaupun kes denggi kerap berlaku semasa musim hujan, ia boleh menjangkiti manusia sepanjang tahun.
Nyamuk Aedes aktif dan menggigit ketika waktu siang dan bukannya pada waktu subuh atau senja sahaja.
Nyamuk betina sahaja akan menggigit dan kita akan dijangkiti jika nyamuk betina tersebut dijangkiti.
"Nyamuk memerlukan darah bagi membolehkannya bertelur. Selepas mendapat bekalan darah, dalam masa tiga hari ia akan bertelur.
"Jika nyamuk tersebut dijangkiti virus, telurnya juga akan dijangkiti. Nyamuk akan bertelur di permukaan air dan ia bertukar menjadi larva kemudian pulpa dan akhirnya menjadi nyamuk dewasa dalam tempoh lapan hingga 10 hari," katanya sambil memberitahu, nyamuk dewasa boleh hidup sehingga tiga minggu.
Kesedaran
Nyamuk bukan saja berada di luar rumah bahkan di dalam rumah lebih-lebih lagi di tempat yang gelap.
Terdapat empat jenis virus berbeza tetapi berkait rapat yang menyebabkan seseorang menghidap denggi. Seseorang itu perlu dijangkiti denggi sebanyak empat kali bagi membolehkannya membina antibodi terhadap keempat-empat virus tersebut.
"Hakikatnya, tidak susah membendung masalah denggi. Kesedaran terhadap denggi perlu berterusan. Setiap komuniti penduduk mesti mengadakan kempen membanteras denggi secara bulanan.
"Bersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Jika semua orang melakukan peranan masing-masing, masalah denggi dapat diatasi," ujarnya.
Sumber:[Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2tmhyUkNC Hakcipta terpelihara ]
No comments:
Post a Comment