Showing posts with label Denggi. Show all posts
Showing posts with label Denggi. Show all posts

Thursday, February 20, 2014

Denggi !!! Hanya kerana nyamuk !!!




REBECCA Saw tidak pernah suka pada doktor. Bukan sebab takut pada ubat ataupun jarum, tetapi wanita berusia 29 tahun itu menganggap berjumpa dengan doktor itu satu perkara yang membazir masa. Persepsi itu bagaimanapun berubah selepas dia pengsan di jalan raya pada suatu hari.

Waktu itu, demam panas yang berlarutan sejak seminggulalu masih belum reda dan dia juga terasa pening. Lalu, kenderaan yang dipandu diberhentikan serta-merta di bahu jalan. Belum sempat dia berbuat apa-apa, sekujur tubuh lemah itu terus 'koma' seketika.

"Apabila sedar semula, saya dapati rupa-rupanya saya pengsan di dalam kereta dengan enjinnya masih hidup. Tak dapat saya bayangkan akibatnya kalau saya pengsan sewaktu memandu,"ceritanya dalam satu majlis pelancaran kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi, tidak lama dahulu.

Tanpa melengahkan masa, anak kelahiran Pulau Pinang itu terus memandu ke sebuah klinik terdekat. Tindakan ternyata tidak silap.

Sebabnya, demam panas yang nyaris-nyaris meragut nyawanya di tengah jalan akhirnya disahkan sebagai demam denggi. Rebecca terpaksa dimasukkan ke wad selama seminggu.

Insiden tersebut sesungguhnya cukup terkesan dalam ingatan Rebecca. Lebih-lebih lagi kesakitan yang perlu dilalui oleh pesakit demam denggi sepertinya sangat menyeksa minda dan fizikal. Malah, ia sukar untuk diterjemahkan dalam kata-kata.

Senario ini bagaimanapun cukup difahami oleh Suzanne Selvarajah, 35 tahun. Tidak mungkin lupa akan episod pahit bergelut dengan demam denggi, wanita ini sebenarnya bertuah kerana terselamat daripada maut kali kedua akibat demam denggi. Kali pertama bergelar mangsa denggi kira-kira sedekad yang lalu, dia baru berusia 26 tahun.

"Masa itu, selama tiga hari berturut-turut saya demam panas. Jadi, saya bergegas untuk berjumpa dengan doktor dan digesa menjalani ujian darah. Barulah saya sedar amaun platelet darah sudah berada di bawah 100 dan saya terpaksa dimasukkan ke wad," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Sejujurnya seperti kebanyakan orang, Suzanne langsung tidak menduga demam denggi boleh menjadi begitu serius. Selain memerlukan perhatian perubatan penuh, dia turut 'bergelut' dengan rasa sakit pada serata tubuh dalam tempoh empat hari dia dimasukkan ke wad.

Setelah pulih, jauh daripada jangkaannya dia akan diserang insiden sama buat kali kedua. Demam panas yang menyerangnya pada pembuka tirai tahun 2008 itu jauh lebih 'mendidih' suhunya sehinggakan Suzanne terpaksa bergolek-golek di atas lantai marmar berkali-kali.

Panas

"Saya baring di atas lantai untuk menyejukkan badan. Setiap kali bahagian yang dibaring menjadi panas, saya akan bertukar tempat dan keadaan itu berulang banyak kali," ujarnya berterus-terang.

Malah, demi untuk membuang 'panas' badan itu, pelbagai petua lama dan moden turut dicuba oleh Suzanne termasuk nasihat mendiang ibu mertuanya yang mencadangkan agar dia 'mengewap' tubuh ala sauna. Malangnya segala usaha itu sia-sia.

Sebabnya, situasi kali ini nyata tidak semudah serangan kali pertama. Lebih memburukkan keadaan, dia disahkan mendapat sejenis demam denggi yang lain daripada empat kategori denggi sedia ada. Di hospital kerajaan tempat Suzanne menerima rawatan kecemasan, bilangan platelet darahnya kian menurun. Daripada sejumlah 42 platelet, bilangan itu menjunam kepada 36.

"Darah mulai mengalir keluar dari kedua-dua belah telinga saya. Keadaan menjadi sangat kritikal dan doktor terpaksa memberikan plasma beku segar secara intravena," tambahnya.

Tetapi usaha itu diberhentikan apabila seluruh tubuh Suzanne dipenuhi dengan tompok-tompok besar berwarna merah. Dia juga diserang sawan. Bagi mengawal suhu badannya, Suzanne diletakkan di bawah aliran air.

Pada peringkat itu, jumlah platelet darahnya telah mencecah 28 - satu keadaan yang sangat meruncing hingga mengakibatkan dia berada dalam tahap kejutan kritikal (DSS).

"Bayangkan, setiap kali saya berpusing, ada kesan darah di atas bantal. Hanya selepas saya menyentuh mata, baru tahu ada air mata berdarah. Rasa seperti mayat yang disumbatkan kapas pada semua rongga wajah kerana mata, telinga dan hidung, semuanya berdarah," jelasnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu.

Belum cukup dengan penyeksaan itu, anak kelahiran Melaka itu turut mengalami kesakitan tulang yang serius. Menyifatkan rasa sakit itu seakan-akan tulang yang dipulas kuat, dia hanya mampu bertahan dengan curahan air mata setiap hari. Trauma berada di wad sekitar 16 hari bagi Suzanne akhirnya sampai ke penghujung apabila dia ditempatkan di dalam sebuah kotak yang berisi air sejuk.

Meningkat


MANGSA denggi hilang selera makan, loya, demam dan sakit seluruh badan.


Kini, selepas hampir dua tahun terlepas daripada ambang maut denggi buat kali kedua, Suzanne sedar dia sememang sangat bernasib baik. Tetapi menerusi tindakan pantas dan pengetahuan yang betul tentang demam denggi, sesiapa sahaja boleh mengelak daripada gigitan nyamuk Aedes.

"Mencegah denggi sebenarnya tidak sukar. Sesiapa pun boleh melakukannya dan semua ini hanya memakan masa 10 minit seminggu," tambahnya sambil memberitahu kini, senarai barangan runcitnya termasuk dua botol penyembur aerosol.

Kempen 1Malaysia Bersama Kita Menghapuskan Denggi yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin, itu merupakan anjuran bersama pengeluar jenama produk kawalan serangga terkemuka, Reckitt Benckiser bersama Kementerian Kesihatan Malaysia. Datuk Rosnah yang melahirkan rasa bimbang terhadap bilangan kes denggi yang meningkat turut menggesa orang ramai agar datang ke hospital untuk diagnosis awal.

"Denggi tidak memilih mangsanya dan sebab itulah semua orang perlu bertanggungjawab untuk bertindak membanterasnya bagi memastikan keluarga serta persekitaran kediaman kita bebas daripada penyakit maut ini," tambahnya.

Dalam konteks dunia, sekitar 50 juta hingga 100 juta orang menderita akibat denggi. Di Malaysia pula, statistik menunjukkan bilangan kes denggi turut meningkat. Pada tahun 2006, Malaysia merekodkan sejumlah 30,285 kes denggi dengan 49 kematian dan angka tersebut meningkatkan kepada 48, 846 pada tahun berikutnya. Angka kematian juga bertambah kepada 98 dengan sejumlah 49,335 kes pada tahun 2008.

Perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh pula berkata, adalah mustahak seseorang mangsa denggi untuk melindungi diri daripada serangan kali kedua. Demam denggi yang terdiri daripada Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4 biasanya mendominasi pada musim-musim berbeza. Kitaran denggi dikatakan hadir pada setiap lapan atau 40 tahun.

"Lazimnya, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk jangkitan denggi. Sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi,"katanya.

Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza.Pada fasa pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.

Masuk fasa kedua atau fasa kritikal (hari ketiga hingga hari ketujuh), demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda. Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek.

Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama. Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini. Sebabnya imunisasi tidak hadir untuk semua jenis denggi.

"Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius.

Denggi !!! Serangan kali kedua lebih parah !!!



KITARAN hidup nyamuk Aedes cuma dalam tempoh sebulan.



DEMAM denggi boleh membawa maut. Ramai beranggapan mereka yang pernah menghidap denggi tidak akan diserang penyakit yang sama kerana tubuh mereka sudah ada antibodi untuk melawan penyakit itu.
Bagaimanapun, profesor Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Shamala Devi Sekaran menyangkal pandangan tersebut.
"Serangan denggi kali kedua jauh lebih teruk dan kesannya lebih rumit. Pesakit juga mungkin mendapat penyakit lain yang lebih serius yang boleh merosakkan paru-paru, hati dan jantung.
Pembiakan nyamuk
"Langkah pencegahan utama untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan denggi ialah mengawal populasi nyamuk Aedes," katanya pada sesi dialog sempena sambutan Hari Denggi Asean di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Memandangkan pemindahan virus memerlukan nyamuk sebagai vektor, penyebaran denggi boleh dihadkan dengan mengurangkan pembiakannya.
Orang ramai harus didik supaya menyedari bahawa nyamuk merupakan vektor penyakit itu, jadi adalah berbahaya jika kawasan berhampiran rumah mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Orang ramai mempunyai persepsi bahawa mereka tidak akan menghidap denggi, namun statistik membuktikan sebaliknya. Kes denggi kini semakin teruk.
"Langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan oleh setiap individu dan memberi kesan jangka panjang. Cara terbaik untuk mengurangkan nyamuk ialah dengan membersihkan tempat-tempat nyamuk bertelur," jelasnya.
Menurut Shamala Devi, air kotor yang bertakung bukanlah satu-satunya tempat pembiakan nyamuk Aedes. Serangga itu masih boleh membiak dalam air bersih seperti dalam balang seramik, bekas logam, tong simpanan air, pasu, bekas makanan dan barangan lain yang menakung air hujan.
Denggi berlaku di kawasan bandar dan di luar bandar. Walaupun kes denggi kerap berlaku semasa musim hujan, ia boleh menjangkiti manusia sepanjang tahun.
Nyamuk Aedes aktif dan menggigit ketika waktu siang dan bukannya pada waktu subuh atau senja sahaja.
Nyamuk betina sahaja akan menggigit dan kita akan dijangkiti jika nyamuk betina tersebut dijangkiti.
"Nyamuk memerlukan darah bagi membolehkannya bertelur. Selepas mendapat bekalan darah, dalam masa tiga hari ia akan bertelur.
"Jika nyamuk tersebut dijangkiti virus, telurnya juga akan dijangkiti. Nyamuk akan bertelur di permukaan air dan ia bertukar menjadi larva kemudian pulpa dan akhirnya menjadi nyamuk dewasa dalam tempoh lapan hingga 10 hari," katanya sambil memberitahu, nyamuk dewasa boleh hidup sehingga tiga minggu.
Kesedaran
Nyamuk bukan saja berada di luar rumah bahkan di dalam rumah lebih-lebih lagi di tempat yang gelap.
Terdapat empat jenis virus berbeza tetapi berkait rapat yang menyebabkan seseorang menghidap denggi. Seseorang itu perlu dijangkiti denggi sebanyak empat kali bagi membolehkannya membina antibodi terhadap keempat-empat virus tersebut.
"Hakikatnya, tidak susah membendung masalah denggi. Kesedaran terhadap denggi perlu berterusan. Setiap komuniti penduduk mesti mengadakan kempen membanteras denggi secara bulanan.
"Bersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Jika semua orang melakukan peranan masing-masing, masalah denggi dapat diatasi," ujarnya.
Sumber:[Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2tmhyUkNC 
Hakcipta terpelihara ]

Monday, June 17, 2013

DENGGI: Fatimah cipta alat kesan denggi pertama di dunia

PENYAKIT demam denggi adalah satu penyakit berjangkit yang sangat merbahaya dan boleh bembawa maut. Bermula dengan satu gigitan nyamuk Aedes betina, penawar bagi virus flavivirus yang menjadi punca demam denggi sejak 232 tahun lalu, masih belum ditemui hingga ke hari ini.

Virus ini akan terpendam di dalam badan pesakit, puratanya selama empat hingga enam hari sebelum mangsa jangkitan menunjukkan tanda-tanda seperti sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan bacaan pada sel darah pembeku atau platelet.
SEUNIT cakera padat boleh menjadi platform ujian virus denggi kepada 16 hingga 20 pesakit sekaligus.
“Lazimnya, sekitar lima hari selepas digigit nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas diiringi dengan simptom,” ujar perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh.
Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam, ketika pesakit beransur sembuh.
Secara klinikalnya, bilangan platelet akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ketiga di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya kerana kapilari darah menjadi rapuh.
Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.
Jelas Mat Rifin, demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa. Pada fasa pertama iaitu pada hari pertama hingga hari ketujuh jangkitan, mangsa berisiko mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.
“Memasuki fasa kedua atau fasa kritikal iaitu hari ketiga hingga hari ketujuh jangkitan, demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda.
Soal jawab
“Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek,” katanya.
Tambahnya lagi, terdapat empat kategori demam denggi iaitu Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4. Kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama.
“Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini. Serangan kali kedua biasanya lebih teruk kerana imunisasi tubuh tidak hadir untuk semua jenis denggi.
“Lantaran itu, pesakit demam denggi perlu melindungi diri daripada serangan kali kedua kerana ia mungkin memberi kesan lebih serius sehingga boleh membawa maut,” pesannya.
Sebenarnya, sukar untuk membezakan di antara demam disebabkan penyakit virus lain dengan demam denggi atau demam denggi berdarah.
Untuk mengesahkan pesakit itu diserang demam denggi atau tidak, doktor akan melakukan ujian sel darah platelet. Jika jumlahnya kurang daripada 150,000 untuk setiap milimeter padu, dia akan disuspek menghidap demam denggi.
Selepas itu, ujian serologi yang dikenali sebagai kaedah ELISA akan dilakukan dalam makmal untuk mengesan antibodi khusus dalam serum pesakit lima hari selepas menghidap demam. Jika perlu, ujian tersebut harus diulang selepas dua hingga tiga minggu.
Melihatkan senario pengesanan demam denggi yang mengambil masa berhari-hari, sedangkan virus terus menyerang sistem tubuh tanpa henti, seorang jurutera bioperubatan, Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, tampil dengan dua model mendiagnosis demam denggi yang lebih cepat dan efektif.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Informatik Perubatan dan Sistem Mikro-Elektro-Mekanikal (MIMEMS) di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM), memberitahu, satu daripada model tersebut dibangunkan menggunakan alat yang diberi nama bio-impedans yang boleh mengukur komposisi badan seseorang tanpa menggunakan sampel darah.
“Alat ciptaan saya ini boleh mengesan bacaan hemoglobin tidak normal yang biasa dikesan pada pesakit demam denggi.
“Secara tidak langsung, ia dapat membantu doktor mengenal pasti sama ada pesakit itu menghidap demam denggi ataupun tidak tanpa menceroboh tubuh pesakit dengan mengambil darah dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Berdasarkan bacaan bio-impedans tersebut, Fatimah juga telah menghasilkan tiga set soalan yang boleh mengesan kehadiran virus denggi pada pesakit menggunakan model kecerdikan buatan yang direkanya.
“Model kecerdikan buatan ini dihasilkan selepas saya memasukkan banyak maklumat mengenai denggi di dalam komputer sebelum melatih komputer itu untuk mengenal pasti kehadiran virus denggi berdasarkan analisis soalan yang diberikan kepada pesakit.
“Menerusi set soalan ini, doktor sudah boleh mengetahui sama ada pesakit tersebut mengalami perubahan pada bacaan hemoglobin atau tidak.
“Set soalan kedua pula, melalui soalan ringkas yang diberikan kepada pesakit, doktor sudah boleh mengetahui sama ada pesakit tersebut berisiko untuk mendapat denggi berdarah atau sebaliknya.
“Melalui set soalan ketiga, doktor boleh mengetahui tempoh demam pesakit dan pemantauan rapi dapat diberikan memandangkan demam denggi boleh kembali memuncak ketika pesakit beransur sembuh,” katanya yang telah melakukan ratusan analisis denggi dengan pesakit berbeza sebelum berjaya tampil dengan set soalan tersebut.

Cakera padat
Dengan ketepatan analisis sebanyak 87 peratus, model pengesanan denggi ini sangat efektif dalam membantu para doktor memantau pesakit denggi sekali gus mengurangkan risiko kritikal dalam kalangan pesakit.
Selain tiga model soalan tersebut, Fatimah turut mereka cipta satu platform yang dapat mengesan kehadiran virus denggi berdasarkan kaedah serologi ELISA yang mana dapat mengasingkan virus dengan hanya menggunakan sekeping cakera padat yang dilengkapi dengan teknologi pengesan nano.
“Kaedah pengesanan ini memerlukan sampel darah pesakit diambil, tetapi jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding kaedah serologi konvensional. Darah hanya diambil di hujung jari, sama seperti ujian saringan diabetes.
“Darah pesakit kemudian dititiskan di atas cakera padat yang mempunyai beberapa saluran lain yang sudah dimasukkan dengan cairan tertentu yang dapat menenal pasti dan mengasingkan virus dalam masa cukup singkat.
“Dengan menggunakan kaedah ini, hanya 30 minit diperlukan untuk mendapat keputusan yang 95 peratus tepat.
“Jika sampel darah yang sama diuji menggunakan kaedah ELISA, ia boleh mengambil masa sehingga seminggu,” katanya.
Projek perintis yang dijalankan di bawah Skim Geran Penyelidikan Berimpak Tinggi daripada Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan hasil daripada perpindahan teknologi antara UM dengan Universiti Irvine California, Amerika Syarikat.
“Kaedah pengesanan menggunakan cakera padat ini jauh lebih murah dan cepat berbanding kaedah konvensional yang dipraktikkan sekarang.
“Berbanding dengan kelengkapan makmal yang mahal dan ruang lebih besar, pengesanan virus menggunakan teknologi nano ini hanya memerlukan pemain cakera khas yang kecil dan ia boleh dipindahkan ke mana-mana.
“Sekiranya teknologi ini diadaptasi di hospital, saya yakin ia dapat menjimatkan kos, ruang serta tenaga. Apa yang lebih penting, ia mampu mengurangkan jurang masa yang diambil oleh doktor yang mengesan kehadiran virus denggi. Secara tidak langsung, kualiti hidup pesakit dapat pertingkatkan dan risiko dapat dikurangkan,” jelasnya optimis.
Dengan kos pengeluaran alat pemain cakera untuk menganalis darah yang kurang daripada RM1,000, ciptaan ini merupakan yang pertama di Malaysia dan di dunia bagi sektor penyakit denggi.
“Menarik tentang platform cakera padat ini, ia boleh digunakan untuk menguji darah 16 hingga 20 pesakit pada satu masa.
“Kegunaannya bukan sahaja dapat mengesan virus denggi, malah sebanyak 10 ujian penyakit berbeza boleh dilakukan menggunakan cakera padat ini,” ujarnya yang sudah pun memohon paten bagi produk rekaannya itu. Beliau juga mempelawa mana-mana pihak untuk bekerjasama dan mengkomersialkan produknya sekaligus menyumbang kepada kelestarian kehidupan dan kesihatan rakyat di negara ini.
Sumber:Kosmo bertarikh 7 Oct 2012