Monday, April 14, 2014

Fibroid ancam wanita

WANITA berdepan pelbagai jenis penyakit antara ancamannya ialah ketumbuhan fibroid.

Fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim bagaimanapun ia tidak berbahaya dan bukan sejenis kanser.

Hampir 20 hingga 40 peratus wanita dalam lingkungan usia 20 hingga 45 tahun berisiko berdepan masalah fibroid tetapi wanita yang akan hadapi masalah atau komplikasi fibroid adalah lebih kurang 10 ke 20 peratus sahaja yang diancam penyakit ini.

Fibroid tumbuh sama ada satu biji besar atau beberapa biji kecil tetapi dalam bilangan yang banyak. Bagaimanapun ia boleh membesar sehingga sebesar biji tembikai. Namun, belum dapat dipastikan sebab dan punca fibroid tumbuh.

Punca yang menyumbang kepada penyakit ini ialah ia lebih kerap dikesan kepada wanita yang tidak mempunyai anak atau lambat mendapat anak.

Selain itu, wanita berkulit gelap juga lebih terdedah kepada risiko fibroid, malah wanita yang didatangi haid di peringkat awal umur dan yang gemar memakan daging merah, kurang makan sayur serta buah-buahan.

Bukan itu sahaja wanita yang merokok dan mengambil minuman juga  berisiko mendapat fibroid. Antara faktor lain yang menyumbang ialah keturunan dan juga obesiti.


Hormon tidak seimbang

Ketidakseimbangan hormon mempengaruhi pertumbuhan fibroid, berlebihan hormon estrogen akan menyebabkan fibroid itu membesar.

Hormon estrogen dan progesteron ialah dua hormon wanita yang menguasai kitaran haid.

Gejala fibroid antaranya ialah gangguan haid iaitu mengalami darah haid yang banyak dengan ketul darah, senggugut yang teruk, menekan pundi kencing sehingga menyebabkan kekerapan kencing bertambah.

Bukan itu sahaja, fibroid boleh mengakibatkan kemandulan, sakit pinggang, kadang kala sembelit. Sekiranya terlalu besar ia boleh menekan ureter iaitu saluran kencing dari buah pinggang ke pundi kencing yang akan menyebabkan buah pinggang bengkak. Lebih bahaya lagi ia boleh mengakibatkan rahim terjatuh atau turun ke bawah.

Kaedah paling efektif untuk mengesan ketumbuhan fibroid ialah melalui ultrasound. Kerana biasanya fibroid tidak akan menunjukkan sebarang simptom untuk kita ketahui tentang penyakit ini.

Oleh itu, elok untuk wanita membuat pemeriksaan papsmear dan ultrasound setiap tahun atau sekurang-kurangnya dua tahun sekali supaya fibroid dan juga cyts ovary boleh dikesan.

Kemandulan adalah satu komplikasi fibroid manakala 99 peratus fibroid adalah benign (bukan kanser) dan kebarangkalian fibroid menjadi kanser hanyalah satu peratus.

Bagaimanapun bukan semua fibroid yang dikesan melalui ultrasound memerlukan rawatan. Jika fibroid itu tidak memberi sebarang simptom ,ia boleh rawat secara konservatif.


Tetapi lawatan regular kena diteruskan.

Kebanyakan masa fibroid tidak akan menyebabkan masalah yang bahaya tetapi ia boleh menyebabkan pendarahan yang banyak di mana pesakit bolah dapat anemia.

Selain itu, satu lagi komplikasi yang bahaya adalah bila buah pinggang membengkak.

Sekiranya fibroid menunjukkan salah satu daripada simptom ia perlu dirawat dan rawatan yang paling sesuai adalah pembedahan untuk mengeluarkan fibroid itu.

Tetapi sekiranya wanita itu berusia lebih daripada 45tahun atau kurang tetapi telah menamatkan keluarga, selalunya kita akan nasihatkan untuk membuat ‘hysterectomy’ (buang rahim) kerana ia akan memberi rawatan yang kekal.

Bagaimanapun sekiranya wanita yang lebih muda dan masih aktif untuk mengandung, kita akan menasihatkan untuk‘ myomectomy’ (membuang fibroid sahaja).

Selain itu, doktor akan memberikan ubat suntikan untuk mengecutkan rahim tetapi ia tidak akan menghilangkan fibroid sepenuhnya dan rawatan ini hanya boleh diberi untuk enam bulan.

Selalunya rawatan ini digunakan sebelum membuat pembedahan.

Pembedahan boleh dibuat secara ‘laparotomy’ atau laparoskopi ikut saiz dan kehendak pesakit.

Sumber:sinarharian

No comments:

Post a Comment