Saturday, April 26, 2014

Lakon semula situasi MH370?

KUALA LUMPUR - "Dengan informasi yang terkumpul dalam kotak hitam, kita mungkin boleh lakonkan semula situasi sebenar tragedi pesawat MH370", kata pakar utama penerbangan, Baha Rudin Abd Latif.
  
Beliau merujuk kepada rekod data penerbangan dan rekod komunikasi juruterbang yang dirakam menggunakan peranti ‘Flight Data Recorder’ (FDR) dan ‘Cockpit Voice Recorder’ (CVR), lebih dikenali sebagai ‘kotak hitam’.
  
Pencarian alat ini menjadi agenda utama dalam misi mencari pesawat yang hilang dalam perjalanan ke Beijing dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur sejam selepas berlepas pada 8 Mac lepas. Pesawat berkenaan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
  
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui sidang-sidang media secara berterusan menegaskan bahawa peristiwa ini adalah sesuatu di luar jangka, menjadikan informasi daripada kotak hitam amat penting untuk menyelesaikan misteri kehilangan pesawat ini.
  
Ditemui Bernama baru-baru ini, Baha Rudin menyatakan tindakan yang diambil pasukan Joint Agency Coordination Centre (JACC) untuk fokus kepada pencarian kotak hitam adalah satu tindakan tepat dalam keadaan sekarang.
  
"Kita kekurangan data tentang apa yang sebenarnya berlaku. Tiada sebarang petunjuk positif tentang keberadaan pesawat tersebut hingga ke hari ini. Tiada panggilan kecemasan, tiada serpihan, ia hilang begitu sahaja,
  
"Oleh itu, kotak hitam adalah satu-satunya peluang yang mungkin kita ada untuk merungkai segala misteri kehilangan ini", ulas beliau yang kini berkhidmat di Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT), di Selangor.
  

Boleh Padam Data CVR
  
Baha Rudin menjelaskan bahawa peranti CVR merekodkan segala perbualan yang berlaku dalam pesawat melalui empat ‘channel’ iaitu mikrofon juruterbang, pembantu juruterbang, pemerhati dan mikrofon kawasan.
 
"Rakaman dibuat secara automatik menggunakan sistem ‘hot mic’. Apa sahaja yang dicakap di dalam kokpit akan dirakam. Tidak siapa pun boleh mematikan atau mengawal alat rakaman ini selagi pesawat masih bergerak", jelasnya yang berpengalaman lebih 26 tahun dalam bidang penerbangan awam.
  
Pun begitu, beliau menjelaskan bahawa rakaman di dalam CVR boleh dipadam oleh juruterbang secara manual bila dua syarat dipenuhi.
  
Pertama, bila pesawat sudah berada di tanah dan kedua ialah bila brek parkir pesawat sudah dihidupkan.
 
Ini bermaksud, hanya bila keadaan benar-benar selamat, baharulah rakaman ini boleh dipadam menggunakan suis khas yang terdapat di kokpit.
  
Tambah beliau, CVR hanya merakam perbualan dalam jangka masa dua jam terakhir penerbangan sahaja, serta tidak merakam bunyi dari ruang penumpang pesawat.
  
"Dahulu rakaman CVR hanya 30 minit, kemudian jadi dua jam. Mungkin selepas ini (tragedi MH370) akan ada pihak yang cadang agar durasi rakaman ditingkatkan", katanya.
  
Jelas beliau lagi, penyelenggaraan peranti CVR menggunakan proses ‘read out’ dilakukan setahun sekali.
   
  
FDR Rakam 88 Data

Sementara itu, peranti FDR berupaya merakam 88 data serentak untuk jangkamasa selama 25 jam tanpa henti.
  
Berlainan dengan CVR, data dalam FDR tidak boleh dipadam oleh juruterbang atau dari dalam kokpit.
  
"Data-data ini adalah untuk kegunaan para jurutera penerbangan sahaja. Maklumat ini biasanya digunakan untuk tujuan analisis dan ada masanya kita mahu buat pemerhatian berkala secara khusus terhadap prestasi pesawat", jelas Baha Rudin.
  
Antara data yang dirakam ialah data enjin, kelajuan pesawat, kelajuan angin dan ketinggian pesawat.
  
Di dalam pesawat, CVR dan FDR diletakkan bersebelahan. Kedua-dua peranti ini dilindungi dengan logam kuat yang mampu menahan impak bersamaan 3,400 kali tarikan graviti dan suhu sehingga 1,100 darjah selsius.
  
Dilengkapi Underwater Locator Beacon (ULD) yang mengeluarkan isyarat gelombang bunyi 37.5 kilohertz sesaat, gelombang ini tidak dapat didengar oleh telinga manusia, tetapi dapat dikesan menggunakan alat khas.
 
Ia akan terus mengeluarkan gelombang sehingga kehabisan bateri, kira-kira selepas 30 hari beroperasi.
  
Dalam kes tragedi MH 370, yang sudah memakan masa hampir 50 hari, pasukan pencari mendakwa berjaya mengesan isyarat serupa ini tapi tidak dapat mengesahkan jika ia datang dari pesawat malang ini.
   

Biasa Diguna NTSB
  
Baha Rudin, yang pernah berkhidmat dengan Malaysia Airlines dan Air Asia, turut menjelaskan bahawa data-data penerbangan yang diperoleh mungkin tidak akan mampu menjawab semua persoalan tentang apa yang berlaku terhadap pesawat MH370.
  
"Tetapi ia boleh membawa kita kepada jawapan melalui data-data yang dikumpulkan, sehingga mungkin boleh melakonkan semula keadaan sebenar yang berlaku terhadapnya", ulas beliau.
  
Oleh sebab itulah, pihak penyiasat akan berusaha mendapatkan cebisan pesawat walau sesukar mana pun kerana ia mungkin boleh dipasang semula untuk tujuan ini.
  
Manakala pakar penerbangan, Khairul Azan Mohd Zin memberitahu Bernama, data dari CVR dan FDR biasa digunakan oleh National Transport Safety Board (NTSB) untuk membuat simulasi kemalangan penerbangan bagi membantu penyiasatan.
  
Badan penyiasat kemalangan penerbangan dari Amerika Syarikat ini telah menjadi satu rujukan utama dalam operasi mencari MH370.
  
Beliau turut menunjukkan beberapa contoh video simulasi penerbangan oleh NTSB, seperti insiden pendaratan FedEx Flight 647 yang tersasar dari landasan pada 2003, pesawat FedEx ATR-42-320 yang terhempas pada 2009 dan pesawat US Airways Flight 1549 Airbus A320 yang terpaksa mendarat di atas Sungai Hudson akibat berlanggar dengan sekumpulan burung juga pada 2009.
  
"Ini akan memberi gambaran lebih jelas kepada pasukan penyiasat kemalangan udara seterusnya mengenal pasti punca utama tragedi MH370, katanya.
   

Pemilikan Kotak Hitam
  
Menjawab mengenai hak pemilikan kotak hitam, Baha Rudin menyatakan meskipun banyak negara terlibat dalam misi mencari MH370, Malaysia sebagai negara asal pesawat mempunyai hak ke atasnya bila dijumpai nanti.
  
Ini adalah selari dengan peraturan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) yang menyatakan pemilikan data dari CVR dan FDR dimiliki negara tempat pesawat didaftarkan.
  
Pesawat MH370, dengan nombor pendaftaran rasmi 9M-MRO didaftarkan di Malaysia.
  
Jelas Baha Rudin lagi, hak pemilikan dan penyiasatan adalah milik Malaysia, tetapi dalam masa yang sama mungkin kepakaran dari luar diperlukan untuk memproses data yang ada.
  
"Ini kali pertama tragedi seperti ini berlaku, kita perlukan semua kepakaran yang ada untuk jayakan siasatan," ulas beliau. - Bernama

Sumber:sinarharian.com.my [240414]

No comments:

Post a Comment