Monday, May 12, 2014

Nutrisi Lengkap Si Kecil

Si kecil memerlukan nutrisi lengkap untuk memastikan mereka dapat membesar dan mengekalkan kesihatan yang baik sepanjang masa.
Bagi memastikan si kecil mendapat nutrisi lengkap setiap hari, pakar web di United Kingdom babycenter.com.my, berkongsi beberapa panduan berguna kepada ibu bapa. 
Jika boleh, sediakan makanan sebaik saja anda memerlukannya. Vitamin C dan sesetengah vitamin B akan hilang dengan perlahan apabila makanan dipotong, dimasak atau didedahkan kepada udara dan dijadikan puri. 

Lebih banyak pemprosesan yang dilalui buah dan sayur, lebih banyak nutrien akan hilang. Jika kita menyediakan jumlah makanan yang cukup untuk dua hidangan, sejukkan dengan cepat dan masukkan ke dalam peti ais atau penyejuk beku.


Penyejuk bekuan cara paling baik untuk memulihara vitamin dalam makanan.


Ibu boleh mengeluarkan sejumlah hidangan yang diperlukan oleh bayi untuk setiap sarapan. Jika kita memberikan bayi sayur yang berlebihan daripada sajian makan malam hari sebelumnya, sebahagian vitamin C sudah hilang. 

Justeru, berikan bayi sedikit buah-buahan untuk menambah pengambilan vitamin C . 

Tekstur sesuai untuk makanan bayi 

Sebagai panduan kasar, sediakan makanan lumat semasa bayi baru hendak mula mencuba makanan pejal. Apabila bayi sudah biasa dengan makanan selain daripada susu, saiz makanan yang boleh dihidangkan bertambah dan tekstur menjadi penting. 

Ibu bapa boleh mula memperkenalkan makanan yang ada sedikit ketulan sebaik saja bayi sekitar usia tujuh hingga sembilan bulan. Lenyekkan saja makanannya dan jangan dijadikan puri. 

Apabila bayi pandai memegang barang, keseronokannya untuk makan bermula dan dia mungkin mahu cuba makan dengan sendiri. 

Jika anda menyuap dengan sudu, satu taktik baik adalah memberi bayi satu sudu untuk dipegangnya. Bayi pada usia enam atau tujuh bulan suka menggunakan gusi untuk mengunyah lobak merah dan kekacang yang dimasak. 

Si kecil berkemungkinan menyukai sandwic lembut dan berinti pada usia lapan atau sembilan bulan. Bermula usia sembilan bulan dan seterusnya, ibu bapa boleh memberikan makanan yang dicincang. 

Setiap bayi berbeza, tetapi jangan berlengah untuk memperkenalkan makanan yang lebih kasar atau mudah dipegang. 

Bayi yang diberi makanan puri akan menyusahkan ibu bapa pada jangka panjang kerana ia boleh membuatkan dia enggan makan makanan keras yang lain. 

Nutrien penting 

Ketika tempoh awal bercerai susu, biasakan bayi dengan makanan pepejal. Apabila bayi sudah biasa dengan rasa baru dalam mulutnya, ibu bapa boleh memberi fokus kepada nutrien lain yang diperlukan anak. 

Berikut nutrien penting untuk bayi: 

- Zat besi 
- Kalsium 
- Vitamin C 
- Vitamin A (diberi nama beta karotena dalam makanan sayuran) 
- Asid lemak omega-3 

Cara selamat menyediakan makanan si kecil 

Kebersihan dan kesegaran makanan penting apabila bayi mula mengambil makanan pejal. Ini kerana, sistem pertahanan badan (sistem imun) bayi masih belum sempurna, tidak seperti orang dewasa. 

Perut mereka mudah diserang kuman dan jangkitan. Ibu bapa perlu mensterilkan sudu dan cuci mangkuk serta peralatan yang digunakan dalam air panas. 

Gunakan kain pengelap yang bersih atau tuala kertas untuk mengeringkannya. Ibu bapa tidak perlu mensterilkan keseluruhan dapur, namun wajar untuk mengikuti panduan kebersihan berikut: 

Basuh tangan dengan bersih sebelum menyediakan hidangan untuk bayi. 

Cuci kerusi bayi dan tempat makan dengan air sabun yang panas. 

- Jika bayi menggunakan tangan untuk makan, cuci tangannya sebelum makan. 

Tukar tuala dan kain pengelap dapur dengan kerap. 

Cara menghidang makanan dengan selamat 

Apabila memanaskan makanan bayi, pastikan ia benar-benar panas keseluruhannya. Biarkan makanan itu sejuk sebelum diberikan kepada si kecil. 

Antara panduan yang boleh digunakan: 

Jika menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk memanaskan makanan, kacau makanan supaya ia panas dengan sempurna. 

Jangan panaskan makanan bayi lebih daripada sekali. 

Masak telur sehingga benar-benar keras. 

Masak daging sehingga bahagian tengahnya sudah tidak berwarna kemerah-merahan. 

Jika memasak makanan yang disejuk beku, biarkan pada suhu bilik terlebih dulu sebelum memasaknya. Jangan sesekali membekukan hidangan yang sudah dinyahbekukan. 

Cara menyimpan makanan bayi dengan selamat 

Jika menyediakan makanan bayi dalam kuantiti yang banyak untuk disimpan, sejukkan dengan segera dan simpan dalam peti sejuk. 

Sejuk bekukan bahagian makanan yang tidak akan diguna dalam masa 24 jam. 

Jika bayi tidak habis makan, buang sisa makanan berkenaan. Makanan yang sudah terkena air liur mengandungi bakteria yang berganda jika disimpan. 

Semak tarikh luput makanan. Jika ada lebihan makanan dalam botol yang dibuka, anda boleh simpan dalam peti sejuk selama 24 jam. 

Bagaimanapun, buang lebihan makanan yang sudah dipanaskan serta botol jika makanan di dalamnya sudah disuap kepada bayi anda. 

Periksa suhu peti sejuk. Ia sepatutnya berada di antara kosong hingga lima darjah Celsius. Sebaiknya, sediakan termometer peti sejuk.

Sumber:hmetro.com.my(120514)

No comments:

Post a Comment