FENOMENA El Nino dijangka akan memberi kesan besar kepada kehidupan seharian rakyat di Malaysia dan fenomena ini akan memberi implikasi yang berbeza berbanding cuaca kering yang melanda negara awal tahun ini.

Tanda-tanda awal fenomena El Nino sudah kelihatan apabila berlakunya peningkatan suhu air laut dan kenaikan suhu berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Gayah Ismail berkata, jika melihat model ramalan yang digunakan di seluruh dunia mendapati, kira-kira 70 peratus daripada model itu menyatakan kebarangkalian berlakunya fenomena tersebut.

“Ada banyak model ramalan digunakan di seluruh dunia untuk mengukur kebarangkalian fenomena El Nino akan berlaku atau tidak. Ini hanya ramalan saja.

“Cuma, negara kita akan mengalami kesan daripada fenomena ini. Sekiranya El Nino berlaku pada tahap sederhana dan kuat, impaknya lebih ketara terutama di Sabah dan Sarawak. Kalau lemah, kesannya adalah kurang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, negara akan mengalami musim kering dan panas kesan daripada fenomena itu, selain kemungkinan dilanda jerebu sekiranya adanya kebakaran terbuka dilakukan.

Berlaku antara Jun hingga September dan berlarutan

Dalam pada itu, katanya, permulaan fenomena El Nino dijangka berlaku antara Jun hingga September ini dan boleh berlarutan sehingga 18 bulan.

“Kesan El Nino itu bukan datang secara berterusan, tetapi secara perlahan-lahan sehingga boleh mencecah enam hingga 18 bulan.

“Ini kerana tempoh hayat sesuatu fenomena adalah 18 bulan,” katanya.

Menurutnya,  kesan El Nino boleh diukur mengikut kategori, iaitu lemah, sederhana dan kuat, dengan setiap kategori ditentukan berdasarkan tahap kenaikan suhu air di Lautan Pasifik.

Beliau juga memberi amaran peningkatan suhu yang menyebabkan kekeringan melampau, boleh membawa kepada ancaman jerebu.

“Kebiasaannya, musim Monsun Barat Daya akan menyebabkan berlakunya kebakaran hutan di Sumatera dan Semenanjung Malaysia, sekali gus akan menyebabkan berlakunya jerebu.

“Keadaan akan menjadi buruk sekiranya negara dilanda El Nino dalam kategori kuat yang boleh menyebabkan jerebu teruk dan tebal. Ini akan memberi kesan terutama kepada kesihatan, sektor pertanian, sektor penerbangan dan aktiviti luar,” katanya.

Tambahnya, pihaknya memantau perkembangan fenomena El Nino secara berterusan dan akan memaklumkan status terkini berhubung perkara itu kepada semua agensi terlibat supaya mereka bersedia.

Jika jerebu melanda kesan daripada fenomena itu, beliau berkata, pihaknya bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersedia melaksanakan pembenihan awan.

“Kami juga sedang melaksanakan kajian mengenai keberkesanan pembenihan awan untuk kita optimumkan dari segi operasi tersebut,” katanya.

Taburan hujan akan berkurangan

Semua negeri di Malaysia dijangka akan mengalami penyusutan hujan antara 20 hingga 40 peratus daripada taburan biasa.

“Untuk bulan Julai hingga September, taburan hujan akan kembali seperti biasa, bagaimanapun kita harus ingat bahawa ketika itu adalah musim kering kerana berada dalam monsun Barat Daya.

“Sama ada berlaku fenomena El Nino atau tidak, pada masa itu ialah musim kering dan (taburan) hujan memang sedikit,” katanya.

Sumber:sinarharian.com.my