Kalau gadis atau wanita memang senang untuk mengelak berpuasa. Tapi bukan untuk remaja lelaki. Kelakarnya, ramai antara mereka yang memberikan alasan sama iaitu gastrik hingga tidak boleh berpuasa. MURSHID EUNOS sendiri beberapa kali berdepan alasan sebegini.
Ramai yang menganggap sakit gastrik mudah menyerang ketika bulan puasa dan ia lebih mudah terjadi kerana seseorang itu tidak dibenarkan makan dan minum dalam tempoh masa tertentu. Hal ini kerana kita tidak dibenarkan mengambil minuman atau makanan sehingga menyebabkan tahap asid dalam perut meningkat.
Kalau betul mungkin masih boleh diterima. Masalahnya yang berlaku dalam kalangan anak muda hari ini terutamanya remaja lelaki, mereka menjadikan sakit gastrik sebagai alasan untuk ‘lari’ daripada kewajipan berpuasa. Setakat tak makan dan minum mereka masih mampu mengawal, masalahnya kebanyakan mereka tidak boleh melawan nafsu untuk merokok di siang hari hingga sanggup ‘ponteng’ berpuasa.
Tapi apakah kaitan gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan puasa?
Gastrik atau istilah perubatannya gastritis adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan efektif. Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.
Secara semula jadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencernakan makanan. Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi.
Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan jika sakit perut selepas makan, mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah. Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat.
Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul. Jangan jadikan sakit perut atau senak sebagai alasan untuk ponteng puasa.
Jika kamu sakit perut sekali pun, ia bukanlah sebab kamu berlapar, tapi tabiat kamu ketika berbuka. Mesti ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara mengatasi masalah ini pada bulan puasa kelak?
Ketika berbuka nanti, kami sarankan kamu mengambil makanan sedikit demi sedikit supaya perut tidak ‘terkejut’. Misalnya mengambil makanan ringan terlebih dulu seperti kurma, kuih-muih dan buah-buahan. Kemudian berehat sebentar. Setelah solat Maghrib barulah boleh mengambil makanan berat seperti nasi dan lauk.
Apa yang penting, kamu tidak seharusnya meninggalkan sahur. Minum banyak air ketika sahur, kurangkan makanan manis, elak ambil juadah yang terlalu pedas dan berempah serta elak mengambil minuman berkafein. Jika teringin sekali pun, ambillah minuman ini selepas anda menunaikan solat tarawih.
Malangnya yang kini menjadi masalah utama apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman. Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut.
Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan. Semasa bersahur, ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan.
Bagaimanapun, sahur amat penting untuk badan kerana ia seperti mengambil sarapan pagi.
Sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut, Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres. Gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan, tapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang.
Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut. Gastrik yang disebabkan oleh bakteria boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik.
Masalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang. Individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.
Justeru gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa melainkan jika ia terlalu memudaratkan. Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil bukannya terus duduk diam pergi ‘drive-thru’!
Elak gastrik ketika berpuasa
Gastrik dijadikan alasan untuk tidak berpuasa? Gastrik antara masalah yang biasa ketika bulan Ramadan. Sebenarnya, mengikut kajian pakar perubatan, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa tanpa sebarang masalah jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.
Berikut dinyatakan beberapa tip untuk mencegah gastrik ketika bulan puasa.
1. Berbuka secara ringan - Kadangkala sakit perut sewaktu berpuasa bukan disebabkan gastrik, tapi tabiat makan seseorang apabila berbuka. Pesakit harus makan sedikit demi sedikit secara berperingkat-peringkat apabila berbuka supaya perut yang sehari berehat tidak ‘terkejut’.
Sebaiknya berbuka dengan makanan yang ringan seperti kurma, air kosong, buah-buahan atau sup rendah lemak. Berehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib, kemudian bolehlah mengambil makanan lebih berat.
2. Tidak berbuka terlalu berat - Apabila waktu berbuka, ramai yang memulakan suapan dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang boleh menyebabkan masalah ketidakhadaman. Karbohidrat daripada nasi putih cepat ditukarkan ke bentuk gula (tenaga). Jika mahu makan nasi putih, pastikan kuantitinya sama banyak dengan sayur yang berfungsi sebagai penapis untuk melambatkan proses penukaran karbohidrat ke gula.
3. Makan makanan mengandungi sulfur -Ramai beranggapan serangan gastrik lebih kerap berlaku pada Ramadan kerana apabila tiada makanan, tahap keasidan dalam perut bertambah. Anggapan ini kurang tepat kerana apabila berpuasa, keseluruhan sistem penghadaman kita berehat, bermakna rembesan asid hidroklorik dalam perut akan menurun. Jadi seharusnya tidak timbul masalah sakit atau senak akibat keasidan perut yang tinggi. Seeloknya banyakkan pengambilan makanan yang mengandungi sulfur seperti brokoli, kubis dan bawang putih.
4. Elak minuman berkafein ketika berbuka -Elakkan daripada minum minuman berkafein ketika berbuka contohnya seperti kopi, teh atau nescafe. Ini kerana ia mengandungi kafein yang merangsang saraf hingga menyebabkan kelenjar jus gastrik di perut menjadi lebih aktif. Bagaimanapun ia boleh diambil selepas solat tarawih bukannya ketika berbuka.
5. Elak makanan tinggi lemak - Elakkan makan makanan kompleks dan mendatangkan kerengsaan pada perut seperti makanan berlemak, pedas, masam, berempah, berminyak dan bergoreng. Ia akan menjejaskan kelancaran sistem pencernaan dan tidak hairanlah ramai mengadu sakit perut selepas berbuka. Seeloknya ambil lauk atau juadah berbuka puasa yang rendah lemak.
6. Makan secara sederhana - Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya Jika sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah. Makan secara sederhana, secukupnya dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sebaik-baiknya berhenti makan sebelum kenyang.
No comments:
Post a Comment