ISLAMABAD - PAKISTAN. Lima komander Taliban di Pakistan dan jurucakap mereka semalam mengumumkan kesetiaan rasmi terhadap kumpulan militan Negara Islam (IS), sekali gus memberi tamparan hebat kepada Al-Qaeda yang menguasai rantau ini.

Jurucakap Shahidullah Shahid berkata, beliau telah menerima kepimpinan ketua IS iaitu Abu Bakr al-Baghdadi, di mana kumpulan terbabit telah mengambil alih sebahagian besar wilayah di Iraq dan Syria.

Menurutnya, Komander Taliban dari daerah puak Orakzai, Kurram dan Khyber, ketua Taliban di daerah Hangu di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa serta ketua militan wilayah Peshawar juga telah melafazkan ikrar kesetiaan terhadap al-Baghdadi.
 
"Pengumuman kesetiaan bukan daripada kumpulan Taliban Pakistan atau ketua kami Maulana Fazlullah, tetapi ia hanya dilafazkan oleh saya dan lima komander lain," katanya dalam laporan Press TV.

Katanya lagi, Fazlullah menyokong IS namun, tidak mengumumkan kesetiaan secara rasmi terhadap kumpulan berkenaan.

Sementara itu, pegawai perisikan memberitahu, keputusan taat setia itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa Al-Qaeda yang sebelum ini berpecah dengan IS semakin kehilangan kuasa di Pakistan, manakala IS dilihat sebagai kumpulan sedang meningkat naik.


Sumber: sinarharian.com.my