Monday, January 27, 2014

Sakit Bahu? Bahu beku ganggu pergerakan... Jom Senaman!!

Masalah bahu beku membabitkan keadaan bahu yang tidak dapat digerakkan secara aktif.
Tisu yang mengelilingi sendi bahu mengalami radang hingga menyebabkan pergerakan sendi bahu menjadi terhad dalam semua arah.
Kesakitan itu pula mula merebak ke dada, tulang belikat (tulang berbentuk seperti kipas pada bahagian belakang bahu) atau atas payudara bagi wanita.

Ahli fisioterapi KPJ Ampang Puteri, Nurul Nadia Mohd Shuib berkata, mengurut sekadar menghilangkan seketika rasa sakit. Mungkin kaedah berkenaan berkesan untuk beberapa minggu, namun ia akan kembali menyerang sekiranya tidak mendapatkan rawatan sewajarnya.

LANGKAH 1 DAN 2. BERDIRI tegak dan pegang kayu, luruskan tangan ke hadapan tangan selama 10 saat. Kemudian angkat tangan lurus ke atas serta tangan selama 10 saat. Ulang sebanyak 10 kali.

LANGKAH 3 DAN 4. BERDIRI tegak dan pegang kayu menghadap ke depan dalam keadaan lurus, tahan selama 10 saat. Kemudian bawa ke sisi pastikan tangan kanan lurus ke atas dan tahan selama 10 saat. Ulang sebanyak 10 kali.


LANGKAH 5 DAN 6. BERDIRI tegak dan pegang kayu pada kedudukan belakang badan secara lurus, tahan selama 10 saat. Kemudian tegakkan kayu juga secara lurus membelakangi badan dan tahan selama 10 saat. Ulang langkah berkenaan 10 kali.

LANGKAH 7 DAN 8. PEGANG kayu pada kedudukan separuh badan (90 darjah) dan tahan 10 saat sebelum memusingkan tangan ke kanan selama 10 saat. Ulang langkah sama di bahagian kiri juga selama 10 saat. Ulang 10 kali.




LANGKAH 9 DAN 10. GERAKKAN dagu bagi regangan otot pada leher dan kepala. Dalam keadaan berdiri, gerakkan dagu perlahan-lahan ke belakang seakan-akan membentuk dua lapisan dagu dan tahan regangan selama 10 saat. Kemudian gerakkan dagu ke hadapan dan tahan selama 10 saat juga. Ulang gerakan sama 10 kali.



Kebiasaannya, gejala awal tidak disedari kerana ia tidak begitu menyakitkan dan kebanyakan pesakit tidak berusaha mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, ia mula terasa sakit pada bahu sama ada ketika menggunakan komputer atau ketika berehat.

Kesakitan berkenaan bermula dari atas bahu dan menular ke lengan dan individu terbabit turut menyedari kesakitan menyerang apabila cuba mencapai atau mengangkat barang.

Kadangkala ia sakit dan tegang apabila cuba meluruskan bahu serta dirasai apabila menurunkan tangan ke posisi tertentu.

Kebiasaannya senaman regangan mungkin boleh memperbaiki jangkauan pergerakan badan.

“Bagi mereka yang mengalaminya, sebarang gerakan akan mendatangkan kesakitan oleh itu, mereka tidak begitu menggunakan anggota dan menyebabkan bahu menjadi kaku.

“Tetapi cara ini hanya akan memburukkan masalah oleh itu, penting untuk mendapatkan pandangan pakar bertauliah bagi menanganinya dengan segera,” katanya.

Antara senaman boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah bahu beku ialah kaedah senaman menggunakan alatan kayu.

Namun, ia juga boleh dilakukan menggunakan kain atau tali pinggang (apa saja barangan yang boleh diregangkan).

Gejala bahu beku:

• Individu berkenaan akan mengadu rasa berdenyut dalam bahu terutama pada waktu malam atau ketika cuaca sejuk.

• Mengadu sukar melakukan aktiviti mengangkat tangan melepasi kepala dan membawa tangan ke belakang seperti menyikat rambut atau menyarungkan kot.

• Berasa lenguh pada bahagian bahu, pangkal tengkuk, kebas lengan dan tangan serta tidak kuat memegang barang dan mungkin terlepas ketika melakukannya.
Sumber:hmetro.com.my[270114]


2 comments:

  1. memang skrg tgh sakit bahu...membawa sakit ke belikat... info ini amat berguna. terima kasih :)

    ReplyDelete