Thursday, October 9, 2014

Seorang mangsa insiden bom Bukit Bintang meninggal dunia

Seorang mangsa insiden bom Bukit Bintang meninggal dunia
Beberapa buah kenderaan di tempat kejadian, termasuk kenderaan mewah, turut mengalami kerosakan akibat letupan bom berkenaan. -Sumber Instagram nasrulezzad



KUALA LUMPUR: Seorang mangsa insiden letupan bom di kawasan Bukit Bintang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Kecemasan HKL, Datuk Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, senarai penuh mangsa insiden bom yang dihantar ke HKL masih belum dapat disahkan kerana beberapa maklumat masih belum diperoleh.

"Seorang mangsa yang kritikal sudah meninggal dunia, kita masih menguruskan maklumat mangsa-mangsa yang ada di sini.

"Kita akan memberikan maklumat susulan sebaik sahaja mendapat pengesahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seramai 14 orang cedera dalam insiden letupan bom di sebuah bangunan di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.00 pagi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa mengesahkan kejadian ketika dihubungi Astro AWANI.

Beberapa buah kenderaan di tempat kejadian, termasuk kenderaan mewah, turut mengalami kerosakan akibat letupan bom berkenaan.

Khairi berkata dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua tempat letak kereta bangunan itu, lapor Bernama.

"Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa kejadian berusia di antara 20 hingga 42 tahun, dua daripadanya wanita. Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Setakat ini, 11 mangsa - enam lelaki dan lima wanita - yang sedang dirawat terdiri daripada empat warga China, satu Singapura, satu Thailand, manakala selebihnya adalah warga tempatan.

Terdahulu, tujuh daripada mereka - enam lelaki, satu wanita - telah dihantar ke hospital swasta Tung Shin sebelum dipindahkan ke HKL sekitar jam 6.30 pagi.

Dilaporkan mangsa yang parah ialah pekerja joki kereta yang kini dirawat di unit rawatan rapi HKL.

Pihak polis masih menyiasat motif kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata dan 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian letupan bom di Bukit Bintang dengan kegiatan pengganas.

Ahmad Zahid meminta masyarakat agar bertenang ekoran kejadian letupan bom yang meragut satu nyawa dan mencederakan 13 yang lain di Bukit Bintang awal pagi tadi.

Beliau berkata pihak polis sedang menyiasat insiden berkenaan dan akan memaklumkan perkembangan terkini.

"Mereka sedang siasat. Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan," katanya di perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.



Sumber :http://www.astroawani.com (091014)

No comments:

Post a Comment