Kuala Lumpur: Sudah sakit kena bayar parkir mahal pula. Begitulah rungutan orang ramai yang mendapatkan rawatan atau berkunjung ke Hospital Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya yang mengeluh panjang lantaran terpaksa berdepan dengan masalah caj parkir yang terlalu tinggi.
Rata-rata pengujung yang terpaksa meletak kereta di perkarangan PPUM menganggap kadar bayaran dikenakan pihak pengurusan parkir di hospital berkenaan tidak munasabah dan membebankan.
Masalah caj parkir terlalu mahal itu semakin menjadi buah mulut apabila ada pengunjung PPUM meluahkan kekesalan dan kemarahannya menerusi laman Facebook (FB).
Antaranya seorang pengguna FB menggunakan nama Rusydi Akmal yang memuat naik foto resit caj parkir di FBnya pada 26 September lalu yang kini menjadi viral sehingga kini digemari lebih 22,500 pengguna, mendapat lebih 2,200 komen serta dikongsi lebih 2,300 akaun laman sosial itu.
Rusydi mengadu kadar bayaran yang dikenakan tidak masuk akal apabila dia dikenakan caj sebanyak RM23 bagi tempoh 11 jam ketika melawat ayahnya yang dimasukkan ke hospital PPUM.
"Bapa aku sudah 26 hari kat wad…Kalaulah hari itu tinggal kereta 'direct' (berterusan) 26 hari sudah RM1,248. Korang dah gila ke apa buat duit mcm ni? Ni hospital tahu tak bukannya Pavilion..Sedangkan parking (parkir) kat Hospital Sime Darby, Subang pun kalau tidak silap maksimum charge daily (caj maksimum harian) RM12 je,” katanya menerusi kenyataan itu yang turut dipaut ke laman Facebook, Metro Parking (Metro Parking Malaysia Sdn Bhd).
Seorang pengguna FB bernama Rosmalina Ramli bersetuju dengan kenyataan Rusydi turut mendakwa bahawa kadar bayaran parkir yang dikenakan sangat mahal terutama bagi golongan tidak berkemampuan yang ingin mendapatkan perkhidmatan hospital berkenaan.
Sementara itu, Pengarah PPUM Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail berkata, pihaknya bersama Metro Parking komited untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi menangani isu berbangkit ini.
"Perbincangan berkaitan masih berjalan dan pertimbangan khususnya bagi menyelesaikan masalah ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira semua faktor yang ada," katanya.
Menurut sumber Metro Parking, pihak pengurusan parkir itu sudah membuat strategi baru bagi menurunkan caj parkir kenderaan di tempat awam di hospital itu.
"Parkir sedia ada kini dikenakan mengikut jam iaitu sejam anggaran kira-kira RM2.00. Pihak kami juga komited untuk memberikan yang terbaik kepada setiap pengunjung.
"Kami sudah mengemukakan cadangan itu dan masih dalam perbincangan dengan pihak PPUM. Pihak kami akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin bagi mengurangkan beban orang awam," katanya kepada Harian Metro, di sini.
Sumber: hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment