Mesti-mesti kita tertanya-tanya apakah yang menyebabkan tubuh badan budak kecil ini ditumbuhi ketulan daging. Ianya terjadi berikutan kejadian yang menimpa anaknya sewaktu ibunya sedang membakar sampah di belakang rumah. Tiba-tiba terdapat satu letupan kecil dan serpihan tersebut masuk ke dalam tingkap bilik dan terkena pada anaknya. Sehingga kini, penyakit anaknya itu tidak menemui sebarang penawar. Mungkin ia perlu dilakukan pembedahan bagi membuang segala ketulan yang timbul.
Usianya baru mencecah tiga tahun, namun terpaksa menanggung penderitaan walaupun tidak memahami apa yang sedang ditanggung.
Hampir seluruh anggota badan adik Muhammad Iqram Hashim ditumbuhi daging baru selepas peristiwa badannya melecur akibat terkena percikan api, kira-kira dua tahun lalu.
Kejadian berlaku semasa ibunya, Suraya Hassan, 32, sedang membakar sampah dan secara tiba-tiba, ada sesuatu meletup dan terpelanting masuk menerusi tingkap bilik lalu terkena Muhammad Iqram yang sedang tidur.
Bapanya, Hashim Hassan, 34, berkata, daging baru yang tumbuh di bahagian melecur anaknya semakin membesar dari hari ke hari.
Menurutnya, pada awalnya, hanya ada ketulan daging kecil tumbuh di telinga kiri, tetapi lama kelamaan ia tumbuh di seluruh badan anaknya.
“Dia (Muhammad Iqram) tidak pernah mengadu sakit, tetapi selalu rasa gatal kerana daging yang tumbuh itu bertindih-tindih dan berkumpul.
“Sekarang, kalau rasa gatal, dia akan ambil putik kapas dan membersihkan sendiri di bahagian gatal,” katanya.
Difahamkan, adik Muhammad Iqram tidak boleh berada di kawasan panas kerana akan membuatkan dia cepat berasa gatal.
Hashim berkata, selepas anaknya dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), dia diminta untuk mendapatkan rawatan susulan setiap minggu.
Bagaimanapun dengan pendapatan harian, dia tidak mampu berbuat demikian dan kali terakhir membawa Muhammad Iqram pada Januari tahun lalu.
“Bukan tidak mahu bawa untuk rawatan, tetapi saya tidak mampu. Sekali pergi sahaja, saya terpaksa bayar upah pemandu kereta, petrol dan makan, sedangkan pihak hospital periksa sekejap sahaja.
“Dulu saya menoreh, sekarang saya ikut orang bertukang. Kalau tak kerja, tak dapatlah gaji. Jadi saya beritahu doktor, hanya kalau saya ada duit, saya akan ke HKL,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia ada memohon kes anaknya dipindahkan ke Hospital Temerloh, tetapi permohonannya tidak diterima.
Katanya, sekiranya kes itu dipindahkan, dia masih mampu membawa anaknya untuk rawatan susulan seperti diarahkan.
Sementara itu, isterinya, Suraya berkata, mereka dimaklumkan oleh HKL, anaknya juga perlu menjalani pembedahan plastik untuk memulihkan fizikalnya.
Katanya, walaupun tidak diberitahu tarikh pembedahan, tetapi dia percaya ia akan menelan kos yang besar.
“Masa mula-mula dulu, doktor akan ambil bahagian kulit yang elok untuk ditampal di bahagian melecur.
“Tapi bila ada daging tumbuh di bahagian sudah ditampal, anak saya perlu jalani pembedahan,” katanya.
Suraya berkata, dia akan berusaha supaya anaknya boleh menjalani pembedahan plastik itu kerana bimbang, apabila memasuki alam persekolahan, dia akan berasa rendah diri.
“Memang anak saya tidak kisah dengan apa yang berlaku pada badannya. Tetapi sebagai ibu, ada juga rasa sedih. Saya harap, anak saya boleh kembali normal seperti kanak-kanak lain,” katanya. – Sinar Harian
Sumber: um-fabolous.blogspot.com
No comments:
Post a Comment