Wednesday, February 29, 2012

Usah buka aib insan lain

Petikan dari : hmetro (29/2/2012)

BARU-baru ini, saya sempat mengikuti satu kuliah Maghrib yang disampaikan seorang ustaz berkisarkan riba. Ustaz itu sempat membacakan hadis diriwayatkan Abdullah Bin Mas’ud.
Hadis itu menyatakan, riba mempunyai 73 cabang pintu. Dosa paling ringan bersamaan dosa seorang anak lelaki berzina dengan ibunya, manakala dosa paling berat seperti menjatuhkan maruah seorang Muslim. 

Namun, bukan persoalan riba yang mahu saya fokuskan, sebaliknya betapa pentingnya menjaga maruah dan aib orang lain. 

Bayangkan betapa besar dosa berzina dengan ibu kandung. Tidak tergambar untuk difikirkan, malah sangat meloyakan untuk menyebutnya.



Namun, Rasulullah SAW menyatakan dosa menjatuhkan maruah seorang Muslim yang lain adalah lebih besar daripada dosa itu.


Jadi bayangkan, dosa yang mungkin kita anggap kecil tetapi sebenarnya sangat besar di sisi Islam. Mungkin kita tidak sedar selalu bercerita mengenai keaiban orang lain bersama rakan atau jiran sehingga menjadi rutin seharian dalam hidup kita. 

Sesungguhnya Islam itu meletakkan maruah seseorang di tempat yang sangat tinggi. Justeru itu, seorang Muslim tidak berhak mencemarkan maruah seorang Muslim lain dengan menjaja atau membuka aibnya. 

Ketika zaman Nabi Musa AS, tersebut kisah yang menyatakan kaum Bani Israil ditimpa kemarau berpanjangan. Mereka berjumpa Nabi Musa AS dan berkata: “Wahai Kalamullah, berdoalah kepada Tuhanmu supaya Dia menurunkan hujan kepada kami.” 

Lalu Nabi Musa bersama umatnya yang ramai ketika itu, berjalan bersama-sama menuju satu kawasan lapang untuk berkumpul. Kemudian berdoalah Nabi Musa kepada Allah supaya diturunkan hujan ke atas tanah gersang itu. 

Namun, hujan masih tidak kunjung tiba, sebaliknya matahari semakin memancarkan kepanasannya. 

Kemudian Nabi Musa berdoa lagi dan kali ini Allah menjawab doanya dengan berfirman: “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian, sedangkan di antara kalian ada seorang hamba di kalangan yang hadir berdoa, melakukan maksiat sejak 40 tahun lalu. Umumkanlah di depan manusia supaya dia berdiri di depan kalian semua. Kerana dialah Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian.” 

Lalu Nabi Musa mengumumkan firman Allah itu. Saat itu, seorang umatnya tahu dialah orang yang dimaksudkan. Lalu terbisik di hatinya: “Kalau aku keluar di depan manusia, akan terbukalah rahsia ku. Kalau aku tidak berterus-terang, hujan pun tidak akan turun.” 

Hatinya menjadi gundah gulana hingga menitis air matanya sambil berkata dalam hati: “Ya Allah! Aku sudah melakukan maksiat kepada-Mu selama 40 tahun tetapi Engkau tidak pernah membuka aibku. Aku bertaubat kepada-Mu sekarang, maka terimalah taubatku.” 

Saat itu langit mula mendung dan hujan mulai turun. Nabi Musa kehairanan kerana tidak ada seorang pun muncul untuk mengaku seperti dikehendaki Allah. Lalu Allah menyatakan bahawa orang itu bertaubat kepada-Nya. 

Nabi Musa seraya berkata: “Tunjukkan aku siapakah hamba-Mu yang taat dan beriman itu.” Namun Allah menjawab: “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal dia bermaksiat kepada-Ku. Apakah Aku membuka aibnya, sedangkan dia taat kepada-Ku!” 

Begitulah Allah memelihara aib hamba-Nya, sedangkan kita tahu siapa kita di sisi Allah yang Maha Agung. 

Kerana itu, Allah mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga maruah orang lain seperti dalam firman-Nya di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, bermaksud: “… dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan jangan sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. 

“Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” 

Kerana itu, jika kita lihat sistem perundangan Islam, kita dapati Islam memelihara maruah pengikutnya. 

Sebagai contoh, sebelum menjatuhkan hukuman sebatan 100 kali terhadap penzina (belum berkahwin), beberapa syarat wajib perlu dipatuhi. 

Antaranya, si pengadu hendaklah membawa empat saksi yang adil, yang melihat dengan mata sendiri dan saksi itu hendaklah bukan daripada kalangan fasik. 

Jika gagal, hukum sebatan 100 kali itu akan ditukar kepada hukuman lebih ringan jika perlakuan zina itu dapat dibuktikan dengan cara lain. 

Begitu juga dengan si penuduh, jika gagal membuktikan pertuduhan dan didapati hanya berbohong, hukuman 80 kali sebatan akan dijatuhkan ke atasnya. 

Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 4, bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi, sebatlah mereka dengan 80 kali sebatan dan jangan kamu menerima penyaksiannya itu selama-lamanya, kerana mereka itulah orang fasik.” 

Itu antara contoh bagaimana Islam menitikberatkan soal maruah setiap penganutnya. Diletakkan syarat dan hukum ketat supaya maruah seseorang itu tidak dipersenda atau digadaikan dengan sewenang-wenangnya. 

Contohilah akhlak Nabi SAW ketika menerima perkhabaran bahawa Ikrimah, anak kepada Abu Jahal, yang mahu memeluk Islam. Baginda berpesan kepada sahabat supaya jangan ditanya mengenai bapanya atau keluarganya (Abu Jahal) kerana bimbang dia malu. Sebaliknya, raikan dia sebagai saudara baru di dalam Islam. 

Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak menyedari perkara ini. Ada saja gosip mahu dikongsi bersama rakan atau jiran. Walaupun kadangkala apa digosip itu benar, tetap menjadi kewajipan kita memelihara aib seseorang. 

Sebuah hadis menyatakan: “Siapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba- Nya itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim) 

Semoga Allah menutup keaiban kita, terutama ketika di padang Mahsyar nanti.