Thursday, August 25, 2016

Dilema BERSIH 5???

Apakah perhimpunan BERSIH 5 akan diteruskan?
Tiga minggu sudah berlalu sejak BERSIH membuat pengumuman bahawa pihaknya akan menganjurkan perhimpunan kelimanya.
Namun, setakat ini, dan tidak seperti empat perhimpunan lalu anjurannya, badan pemantau pilihan raya itu gagal memberikan tarikh mahupun lokasi perhimpunan.
Ada yang berpendapat bahawa BERSIH merancang untuk mengukur sambutan orang ramai terhadap perhimpunan 'TangkapMO1' Sabtu ini sebelum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.
Walau bagaimanapun, ketua BERSIH, Maria Chin Abdullah menafikannya.
Menurut beliau, BERSIH masih berunding dengan NGO lain bagi menyelesaikan butiran dan tidak tergesa-gesa untuk mengumumkan tarikh.
"Terdapat beberapa penyokong BERSIH yang hanya akan hadir untuk BERSIH, jadi saya tidak menjangkakan 100,000 hadir untuk perhimpunan 'TangkapMO1' ... Tetapi itu bukan alasan kami," katanya kepada Malaysiakini.
Satu sumber yang biasa dengan BERSIH berkata pergerakan itu sedang menilai dua faktor - sentimen Melayu dan mobilisasi penduduk luar bandar.
"Jika jumlah yang turun menyertai perhimpunan MO1 itu besar, lebih cepat BERSIH akan mengumumkan tarikh perhimpunannya dan begitu juga jika sebaliknya.
"Semua orang ambil pendirian tunggu dan lihat. Ini lebih baik daripada menganjurkan perhimpunan yang tidak sempurna,” katanya.
Walau bagaimanapun, BERSIH dalam kedudukan yang agak sukar - jika ia meneruskan perhimpunan tanpa perancangan yang teliti, ia berdepan risiko menjadi gagal; di sisi lain, jika ia menunggu terlalu lama, momentum juga akan terjejas.
Sumber: malaysiakini

Tiada rakyat M'sia terlibat gempa bumi di Itali

Wisma Putra mengesahkan sehingga kini tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian gempa bumi yang melanda daerah
Amatrice dan Accumoli yang terletak di wilayah Umbria, Itali semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan dan memberikan maklumat sewajarnya berhubung kejadian gempa berkenaan.

"Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Itali, khususnya kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban," menurut kenyataan itu.

Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter kira-kira 100 kilometer di timur laut Rom, menggegarkan Itali pada 3.37 pagi semalam.

Media antarabangsa melaporkan setakat ini, 73 mangsa terkorban termasuk sepasang warga emas, sementara lebih 20 orang telah dikejarkan ke hospital.

Sumber:malaysiakini

1MDB: Kenapa rakyat Malaysia masih ‘relaks’?

"Satu dunia tahu kita dirompak, tetapi kenapa rakyat Malaysia masih relaks?” Begitulah pertanyaan yang dilontarkan jurucakap himpunan #TangkapMalaysianOfficial 1, Anis Syafiqah Md Yusof, seorang mahasiswi Universiti Malaya. Anis juga pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.
Tidak perlu saya menyebut dengan panjang lebar perihal 1MDB ini, sebagaimana saya fikir semua orang tahu untuk apa kita semua dicukaikan dengan cukai GST. Di zaman maklumat di hujung jari ini, tidak perlulah juga saya menjelaskan bagaimana misalnya Jho Low berpesta menggunakan duit daripada dana yang dicuri dari 1MDB.
Pertanyaan pemimpin siswa ini sangat mustahak untuk dijawab oleh semua rakyat Malaysia. Kenapa kita kelihatan santai dan damai, meski dalam keadaan paling tertekan dan menderita? Kenapa kita membiarkan pecah amanah, rasuah dan penyelewengan kuasa terus berleluasa, malah bermaharajalela?
Apakah ini yang membenarkan Inggeris menjajah tanah ini selama lebih 200 tahun. Atau ia memang asas kejiwaan suatu rupa bangsa di alam kehidupan iklim hutan hujan yang santai, damai, relaks dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun?
Memang memeningkan, pertanyaan itu menetaskan lebih banyak persoalan. Apakah ini memang tahap sejarah yang perlu dilalui sebuah masyarakat feudal – dalam peralihan – yang penuh kepatuhan dan ketaatan terhadap pihak berkuasa?
1MDB bukanlah skandal kewangan, rasuah, pecah amanah, penyelewengan kuasa yang pertama terjadi di negara ini, tetapi barangkali ia yang terbesar. Moga-moga ia akan menjadi yang terakhir.
Kita terpaksa menelan pengajaran yang pahit, membenarkan pertanyaan mahasiswa, secara umumnya kelihatan orang ramai seakan tidak peduli dengan apa yang terjadi, meski orang tahu apa yang terjadi.
Baru setahun yang lalu, kira-kira setengah juta rakyat Malaysia ikut terlibat dalam perhimpunan Bersih 4, selama 3 hari 3 malam. Mereka telah menduduki jalan-jalan Kuala Lumpur dengan damai dan santai dibantu pasukan keselamatan serta para penunjuk perasaan yang aman.
Kenapa kita masih relaks? Untuk kebanyakan orang dengan sikap sinis, mereka berpendapat ia akibat terlalu banyak mematuk dedak. Keselesaan memang cukup menyantaikan, ada kepentingan yang tidak mahu dilepaskan.
Tetapi bagaimana pula dengan khalayak yang turun menghadiri himpunan Bersih 4 itu atau siri-siri perhimpunan selepasnya? Ke mana pula menghilangnya ribuan anak-anak muda dan mahasiswa itu? Adakah mereka telah menjadi tua atau telah tamat pengajian dan kini di alam pekerjaan untuk selesa menempuh penghidupan dengan tujuan paling sederhana, membahagiakan keluarga masing-masing?
Dalam banyak keadaan rakyat Malaysia memang relaks. Kita boleh relaks kerana TPPA telah ditandatangani dengan senangnya. Setelah dengan tenangnya menandatangani TPPA, PM dan para pemimpin Umno kini dengan mudahnya pula bercakap berkenaan penjajahan bentuk baru, apabila berdepan tindakan penyitaan daripada Jabatan Kehakiman di Amerika Syarikat.
Kita ambil contoh, politik di Terengganu, negeri yang sangat saya kagumi dengan kekayaan serta keindahan warisan budaya dan kepelbagaian bio alam sekitarnya itu.
Pada November 2015, Malaysiakini melaporkan kerajaan negeri Terengganu telah meminda dan mewartakan undang-undang negeri yang membolehkan Umno Terengganu dan Perbadanan PR1MA mengambil alih tanah rizab Melayu.
Laporan tersebut memetik kenyataan peguam dan pemimpin AMANAH, Hanipa Maidin yang menjelaskan pindaan terhadap Seksyen 9 Enakmen Tanah Rizab Melayu Terengganu.
Hanipa yang juga ahli parlimen Pakatan Harapan mendakwa pindaan undang-undang sebegini dapat menjadi pendulu yang diikuti oleh negeri-negeri lain untuk menukar hak milik tanah daripada milik negeri kepada milik parti politik.
Alasan yang diberikan menteri besar ”kerana ahli-ahli Umno adalah orang Melayu.”
Malah diberitakan apabila pindaan itu dibentang di DUN Terengganu, cuma ADUN Bandar Terengganu dari PKR, Azan Ismail seorang sahaja yang membantah. Di sini, soalannya sama, kenapa kita masih relaks?
Atau lihatlah kemusnahan alam sekitar yang tidak terkira yang telah terjadi di Malaysia ini, semenjak merdeka sehingga ke hari ini.
Fakta yang sering saya ulang-ulangkan, misalnya tiga puluh tahun pemerintahan Taib Mahmud di Sarawak menyisakan cuma kira-kira 5 peratus hutannya, hutan tropika tertua di dunia. Ataupun perlombongan bauksit yang akan diteruskan. Kenapa kita masih relaks?
Kepada kawan-kawan para aktivis mahasiswa, percayalah sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya para penyokong Umno masih percaya dan yakin terhadap apa jua yang diperkatakan para pemimpinnya sebagai kebenaran mutlak.
Relaks bermaksud bertenang, tanpa gangguan, keadaan senang dan santai. Umumnya, dalam keadaan hari ini, meskipun rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan skandal kewangan paling besar di dunia, melibatkan penyiasatan dan pendakwaan antarabangsa, rakyat Malaysia kelihatannya masih mampu bertenang melangkaui tekanan.
Kehidupan diteruskan seperti biasa, tiada yang terlalu hebat dan besar terjadi lebih daripada permainan Pokemon.
Fakta dan maklumat kini di hujung jari, tetapi kenapa ia tidak meresap ke jiwa dan menzahirkan suatu tindakan yang wajar.
Barangkali penangan kehancuran Pakatan Rakyat masih belum pulih sepenuhnya. Kepimpinan politik semasa Pakatan Harapan belum sepenuhnya berjaya untuk menjadi wadah yang dapat menggembeleng keterlibatan majoriti rakyat.
Perhimpunan 27 Ogos 2016 ini akan menjadi kayu ukurnya.
Menariknya, perhimpunan #Tangkap Malaysian Official 1 ini ditunjangi gerakan mahasiswa yang dipimpin aktivis-aktivis muda. Mereka mengambil tanggungjawab bertindak menyuarakan persoalan paling waras di Malaysia hari ini, berdasarkan fakta MO1 terlibat dalam skandal 1MDB, jadi kenapa dia tidak ditangkap dan siapakah dia MO1 itu?
Apabila golongan mahasiswa bersuara memperjuangkan hak-hak rakyat, ia suatu tanda Malaysia masih lagi punya harapan. Pada saat yang paling genting, golongan cerdik pandai anak-anak mahasiswa telah pun bersuara.
Adakah pada hari yang dijanjikan nanti, rakyat Malaysia masih relaks lagi?
Siapakah yang paling ramai akan datang membantah – mahasiswa, anak muda, penyokong Pakatan Harapan, para aktivis Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), gerakan masyarakat sivil atau rakyat Malaysia umumnya?
Untuk tahu kita perlu hadir perhimpunan pada 27 Ogos ini. Dalam santai, penuh aman dan damai, kita perlu turun menyokong gerakan mahasiswa dan anak muda ini yang menuntut MO1 ditangkap, sambil-sambil membicarakan kenapa kita masih relaks?

sumber: Malaysia Kini