KETIKA ini negara dihujani dengan dugaan yang sangat menyentuh perasaan, tidak kira pihak yang terlibat mahupun masyarakat yang tidak terlibat. Tragedi MH370 dan MH17 memberi impak besar dan kesedihan ini menyelubungi rakyat Malaysia mahupun negara yang terlibat.

Setiap perkara yang berlaku pastinya sudah ditentukan ALLAH SWT dan sudah pasti ada rahsia di sebalik ujian ALLAH ini. ALLAH berfirman yang bermaksud: "Dan pada sisi ALLAH jualah kunci-kunci semua yang ghaib." (Surah An-Anaam :59)

Kita harus mengambil sikap muhasabah diri dan jadikan apa yang berlaku sebagai iktibar untuk masa akan datang tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.

Saya dengan ikhlas hati dan penuh rasa rendah diri ingin menasihati agar pihak Malaysia Airlines menghentikan tradisi menyajikan arak di dalam pesawat MAS. Pendapat saya, pihak MAS perlu mengkaji semula janganlah mengejar rating terbaik, maka arak diwajibkan di dalam pesawat.

Apa yang penting dalam mendapat rating terbaik adalah meningkatkan mutu perkhidmatan lain yang sedia ada. Antaranya cara layanan di dalam kapal terbang, hidangan makanan berkualiti, sistem keselamatan lebih ketat, serta memastikan semua sistem berjalan dengan lebih sistematik, cepat dan cekap.

Ini bukan bermaksud mutu dan kualiti yang sedia ada sekarang tidak baik atau tidak bagus, tetapi jika diperbaiki dan ditingkatkan lagi perkhidmatannya, insya-ALLAH, MAS akan memperoleh kedudukan yang lebih baik dan tinggi tanpa perlu laksanakan idea menyajikan arak di dalam pesawat.

Saya juga berpendapat, penjualan arak di dalam pesawat memang tidak wajar. Kita sedia maklum negara kita terkenal di mata dunia sebagai negara Islam. Tidak dinafikan MAS antara yang menjadi satu daripada ikon besar yang membawa nama negara ke serata dunia.

Alangkah malunya, jika kita memperakui Malaysia negara Islam dan diperakui “Islam Agama Persekutuan Negara” tetapi dinodai dengan penjualan arak di dalam pesawat milik negara.

Dalil haramnya arak

Mengapa pihak MAS tidak mengikuti syarikat dari negara Islam lain seperti  Brunei Airlines atau pun Saudi Airlines yang mengharamkan arak di dalam pesawat?

Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Nabi SAW didatangi Jibrail lalu berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya ALLAH melaknat arak dan pemerahnya, orang yang meminta memerahnya, pembawanya, dibawa kepadanya, peminumnya, penjualnya, pembelinya dan penuangnya". (Riwayat At-Tarmizi, Abu Daud & Hakim. Disahihkannya Syeikh al-Albani dalam “Sahih Jamik as-Saghir, 2/907)

Saya percaya pasti ramai pihak di luar sana terutama bagi umat Islam di Malaysia, mahupun bagi mereka yang bukan beragama Islam juga pasti ada yang bersetuju dengan cadangan saya ini.

Seperti baru-baru ini akhbar Sinar Harian ada mengeluarkan kenyataan daripada Naib Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) mengatakan, arak dilarang kepada penganut Hindu kerana boleh membawa kemudaratan kepada peminumnya.

Arak mampu memudaratkan kesihatan dan akhlak peminum arak itu sendiri jika tidak dikawal. Malah mampu menjadi punca kerosakan akhlak dan sosial dalam keluarga mahupun masyarakat. Selain itu, ia mampu memudaratkan kesihatan diri sendiri. Tidak kira kepada golongan belia, tua, mahupun wanita.

Firman ALLAH SWT: "Hai orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan". (Surah Al-Maa'dah: 90)

Melalui kajian ilmiah, sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan kebenaran yang jelas perihal kesan buruk arak juga perlu diambil kira. Pengambilan arak berlebihan mampu memberi kesan yang negatif kepada peminumnya mahupun orang sekelilingnya. Terutama jika di dalam pesawat, peminum arak mungkin boleh mengundang ketidakselesaan kepada penumpang lain.

Mungkin anak kapal MAS sendiri pernah menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan peminum arak yang berlebihan hingga mengganggu penumpang lain atau anak kapal ketika menjalankan tugas mereka.

Pasti perkara ini memberi suasana dan persekitaran yang kurang menyenangkan di dalamnya malah membahayakan perjalanan pesawat dan anak kapal serta penumpang.

Keadaan ini mampu mendatangkan suasana tegang dan konflik yang boleh membahayakan perjalanan penerbangan tersebut seperti pergaduhan dan kecederaan. Jika ia tidak dapat dikawal mungkin boleh menjadi lebih parah seperti pembunuhan atau ugutan hingga mencederakan penumpang lain di dalam pesawat.

Malah apabila ada pihak yang menawarkan arak atau alkohol secara percuma ia diibaratkan seperti “memperlapangkan kandang musang, mempersempitkan kandang ayam” bermaksud sengaja memberi kesempatan kepada orang untuk membuat sesuatu yang tidak baik atau buruk.

Jadi mengapa pihak MAS perlu meneruskan penyajian arak secara percuma kepada pelanggan dalam pesawat? Sedang arak itu lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sepatutnya MAS lebih mengutamakan keselamatan dan kesihatan penumpang supaya terhindar daripada berlaku perkara yang tidak diingini di dalamnya. Pada masa sama, perlu diambil kira hak penumpang lain yang tidak selesa arak disajikan di dalam pesawat.

Doa menaiki kenderaan

Pihak MAS juga boleh mengamalkan bacaan doa sebelum pesawat diterbangkan. Mencontohi pesawat terkenal dunia yang memegang ranting tinggi seperti Emirates dan Etihad. Juruterbang boleh membacakan atau memutarkan doa menaiki pesawat kepada semua penumpang sebelum memulakan perjalanan.

Ini antara contoh perkara baik dan patut dicontohi  pihak MAS. Insya-Allah dengan doa yang mungkin dilihat tidak seberapa oleh sesetengah pihak, namun besar di sisi-Nya.

Sesungguhnya ALLAH SWT berada di langit dan tidak ada satu perkara pun yang terkecuali daripada urusan-Nya. Doa kenderaan yang diajarkan, terkandung dalam Surah Az-Zukhruf ayat 13-14.

Semoga pihak terbabit mampu menghapuskan idea menyajikan arak atau alkohol di dalam pesawat MAS dan moga ALLAH memberi kecekalan hati kepada pihak yang terbabit untuk melaksanakannya.

Kita harus juga berterima kasih  dan menghargai tindakan pihak MAS dalam menghadapi masalah MH370 dan MH17. Tahniah kerana MAS telah menyediakan pengangkutan untuk membawa pulang jenazah mangsa pesawat MH17 dari Belanda juga sifat keprihatinan pihak MAS terhadap keluarga mangsa MH370.

Kepada pihak MAS, teruskanlah tabah menghadapi dugaan yang menimpa mereka ketika ini. Diharap dengan setiap yang berlaku adalah ujian daripada-Nya untuk memberi sesuatu yang lebih baik kelak.

Seperti kisah diriwayatkan Ummu Salamah:

"Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim mendapat musibah kemudian dia mengucapkan apa yang diperintahkan ALLAH kepadanya, Inna lillahi wa inna ilaihiraajiun. Ya ALLAH, berilah pahala atas musibahku dan berilah ganti untukku yang lebih baik daripada musibah tersebut. Melainkan ALLAH memberinya ganti yang lebih baik daripada musibah yang menimpanya.

“Ummu Salamah berkata lagi, “Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata, “Adakah golongan Muslimin yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia adalah keluarga pertama yang hijrah kepada Rasulullah SAW, kemudian aku mengucapkan doa di atas lalu ALLAH memberi ganti kepadaku, iaitu menikahi Rasulullah SAW." (Riwayat Muslim, Sahih)

Sesungguhnya setiap yang berlaku dan tidak terlepas daripada kekuasaan-Nya. Usahlah kita mencabar dan membiarkan ALLAH murka terhadap apa yang kita lakukan.

Malah buat dan lakukanlah sesuatu yang boleh mendatangkan keberkatan dalam kehidupan agar terhindar daripada mendapat murka ALLAH dan musibah daripada-Nya.
Sumber: sinarharian