Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos menolak desakan supaya beliau mengisytiharkan sumber kekayaannya selepas berjanji memberikan RM1,000 kepada setiap 646 perwakilan parti itu.
Beliau berkata pengisytiharan itu tidak perlu kerana tidak ada undang-undang memerlukan beliau berbuat demikian, sambil menambah ia adalah kesilapan parti pembangkang, terutamanya DAP.
"Sebelum PRU 13 PM dah usulkan supaya ahli-ahli parti politik kena isytihar siapa penderma, tapi malangnya parti pembangkang terutama DAP tak bersetuju supaya ahli politik isytihar penderma dah penyumbang.
"Jadi saya tak perlu nak isytihar apa-apa," kata Jamal kepada Malaysiakini.
Beliau menjawab gesaan termasuk daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, M Kulasegaran supaya mengisytiharkan sumber kekayaannya.
Jamal mengumumkan pemberian tunai itu semasa mesyuarat perwakilan Umno Sungai Besar, Rabu lalu.
Wang itu, katanya, adalah peruntukan daripada lawatan sambil belajar untuk 81 pemimpin cawangan dan ahli jawatankuasa bahagian itu ke Dubai yang kemudiannya dibatalkan.
Mengulas lanjut mengenai perjalanan yang dirancang, Jamal berkata ia adalah untuk mengembangkan pandangan pemimpin Umno Sungai Besar supaya mereka tidak menjadi "katak di bawah tempurung".
Beliau berkata mereka memilih Dubai kerana ia adalah sebuah negara Islam yang maju dan mahu belajar daripadanya.
Jamal berkata tiada ketua cawangan yang kecewa kerana tidak dapat dibawa ke Dubai dan merasakan ganjaran kepada para perwakilan adalah pilihan yang lebih baik.
Sumber:malaysiakini