Kesan serpihan itu dilihat daripada sekeping foto yang pertama kali terbit dalam akhbar itu pada hujung minggu lalu. Foto itu merakamkan serpihan badan pesawat berukuran lebih kurang satu meter persegi.
Serpihan mempunyai satu lubang besar yang dikelilingi lubang-lubang kecil serta tanda terbakar.
Dua penganalisis pertahanan di London dan seorang bekas juruterbang tentera meneliti foto berkenaan dan berpendapat tanda-tanda itu konsisten dengan tembakan misil.
Seorang penganalisis di Royal United Services Institute di London, Justin Bronk percaya tanda-tanda itu menunjukkan pesawat berkenaan ditembak jatuh oleh misil SA-11 yang dilancarkan dari Buk-M1.
"Saiz lubang serpihan peluru itu konsisten dengan apa yang boleh dilihat daripada serangan SA-11.
Bagaimanapun adalah sukar untuk menilai keseluruhan pola letupan dengan serpihan kecil badan pesawat," katanya seperti dipetik oleh FT.
Kenyataan penganalisis itu menepati teori yang yang popular setakat ini iaitu pesawat berkenaan ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah yang pro-Rusia menggunakan misil SA-11 daripada Buk-M1.
Kelengkapan senjata itu didakwa dibekalkan kepada kumpulan tersebut oleh Rusia.
Rusia bagaimanapun menepis dakwaan itu dan pada Isnin mendedahkan bahawa sebuah pesawat tentera Ukraine dikesan terbang hampir dengan pesawat MAS yang nahas itu.
Foto yang merakamkan serpihan badan pesawat berukuran lebih kurang satu meter persegi.
Rusia juga mengemukakan beberapa bukti lain yang menunjukkan serangan ke atas pesawat MAS itu dilakukan oleh pihak tentera Ukraine.
Tiga pakar itu juga setuju bahawa serpihan badan pesawat itu datang daripada bahagian depan sebelah kiri Boeing 777. Bekas juruterbang tentera udara itu pula berpendapat berdasarkan petunjuk yang ada pesawat berkenaan ditembak di bahagian depan dari sebelah kiri.
Mereka juga mendakwa lubang besar pada serpihan badan pesawat dalam foto berkenaan mungkin tanda letupan dari dalam ketika pesawat hilang tekanan udara dengan pantas pada ketinggian 10,000 meter.
Penganalisis di Institut Kajian Strategik Antarabangsa di London, Douglas Barrie berpendapat kesan lubang itu konsisten dengan "serpihan letupan peledak".
Kedua-dua penganalisis itu bagaimanapun berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan untuk mengetahui apa yang berlaku termasuk ujian kimia sisa letupan.
Menurut FT, serpihan badan pesawat dalam foto itu ditemui di belakang rumah seorang penduduk kampung berdekatan lokasi nahas. Penduduk itu kemudian memindahkannya ke tepi jalan kerana merasakan ia penting.
Sumber: www.astroawani.com 220714
No comments:
Post a Comment