Saturday, July 19, 2014

Penerbangan terakhir kapten sebelum Aidilfitri

Penerbangan MH17 malam tadi sepatutnya yang terakhir bagi juruterbang pesawat itu, Kapten Wan Amran Wan Hussin, 50, sebelum memulakan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut sepupunya yang hanya mahu dikenali sebagai Umi, 50, Wan Amran bercadang membawa isteri dan dua anaknya kembali ke kampung halaman di Kuala Kangsar, Perak.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan Wan Amran berhasrat menunaikan fardu haji bersama kakaknya pada musim haji bulan depan.

Anak saudaranya, Amaluddin Noorshah, 48, berkata hasrat itu dinyatakan ketika Wan Amran pulang ke kampungnya untuk berbuka puasa bersama sanak saudaranya di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, minggu lalu.

"Dia menyatakan hendak menunaikan rukun Islam yang kelima itu bersama kakaknya Wan Aini, ketika itu saya merasakan ada kelainan dari nada suaranya," katanya ketika dihubungi Bernama di Kemaman, Terengganu.

Amaluddin berkata beliau tidak menjangka itulah kali terakhir bertemu bapa saudaranya setelah mendapat berita tragedi MH17 itu lewat malam tadi.

"Saya mengetahuinya melalui aplikasi 'Whatsapp' yang memang disertai oleh ahli keluarga, lemah seluruh tubuh ahli keluarga kami setelah mendapat tahu Wan Amran memandu pesawat terbabit," katanya.

Suka bersedekah

Amaluddin tidak menyangka tragedi buruk itu akan menimpa bapa saudaranya kerana dalam pengetahuannya Wan Amran telah memandu pesawat Boeing lebih 20 tahun lalu.

"Dia sangat rapat dengan adik beradiknya dan suka bersedekah, isteri dan dua anak lelaki tinggal di Shah Alam," katanya.

Amaluddin mengakui hubungannya dengan bapa saudaranya itu memang rapat sejak daripada kecil lagi.

Pada sidang media khas di Hotel Sama-Sama, Sepang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di timur Ukraine.

Beliau berkata setakat ini Malaysia tidak dapat mengesahkan punca tragedi dan berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh berhampiran sempadan Rusia, semalam.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.10 pagi waktu tempatan.

Sumber:malaysiakini

No comments:

Post a Comment