Wednesday, June 5, 2013

Kenali 'Septicaemia' @ jangkitan kuman dalam darah

Penyakit jangkitan kuman dalam darah atau Septicaemia merupakan antara penyebab utama kematian rakyat negara ini di hospital kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Septicaemia atau kewujudan bakteria dalam darah menjadi penyebab utama kematian dengan kadar 16.8 peratus daripada 40,000 kematian di hospital kerajaan pada 2006.

"Septicaemia adalah keadaan yang berkaitan dengan penyakit yang teruk seperti jangkitan daripada paru-paru, abdomen atau saluran kencing, dan ia boleh timbul sebelum atau semasa jangkitan pada tulang (osteomyelitis), dari sistem saraf (meningitis) atau tisu-tisu lain," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari Rabu.

Liow berkata selain Septicaemia, penyakit jantung turut menjadi punca utama dengan kadar 15.70 peratus kematian, diikuti kanser (10.59 peratus), Strok (8.49), Pneumonia (5.81) dan kemalangan (5.59).

Menjawab soalan Mohamed mengenai langkah yang akan diambil bagi meningkatkan sistem penyampaian hospital-hospital kerajaan, Liow berkata tumpuan utama diberikan kepada usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Ini termasuk memastikan hospital-hospital mematuhi Pekeliling berhubung tempoh masa menunggu untuk mendapatkan rawatan yang dipendekkan kepada 30 minit dan menyediakan laluan khas kepada warga emas dan orang kurang upaya semasa mendapatkan rawatan pesakit luar.

"Bagi memastikan tempoh masa menunggu 30 minit itu dilaksanakan, pemantauan akan dilakukan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan saya sendiri akan memantaunya setiap minggu," katanya.

Berhubung aduan mengenai sikap sesetengah jururawat hospital kerajaan yang didakwa tidak mesra pelanggan, Liow berkata kementerian memberi perhatian dalam usaha memantapkan amalan budaya korporat di semua fasilitinya dengan memberi penekanan kepada tiga nilai iaitu penyayang, kerja berpasukan dan profesionalisme.

Liow turut menangkis persepsi umum bahawa ubat yang disediakan di hospital kerajaan kurang berkesan, sebaliknya berkata kerajaan amat prihatin dalam soal berkenaan dan telah menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk bekalan ubat.

Menjawab soalan Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), Liow berkata kerajaan menjalankan pelbagai kempen untuk mempromosi cara hidup sihat termasuk Kempen Sihat Sepanjang Hayat yang dilaksanakan sejak 2005 bagi mengubah cara hidup masyarakat dan mengurangkan gejala penyakit berbahaya termasuk kanser dan strok di kalangan rakyat.

Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memberi geran penyelidikan kepada pihak universiti yang mahu membuat penyelidikan berhubung kesihatan.

No comments:

Post a Comment