TANPA sedar ramai antara kita lebih menyayangi kereta daripada diri sendiri. Buktinya, ramai yang menghantar kenderaan untuk servis apabila tiba waktunya. Tidak boleh tidak penyelenggaraan perlu dilakukan.
Berapa ramai pula antara kita menjaga diri sendiri dengan mengambil suntikan vaksin bagi menguatkan sistem imunisasi badan?
TAK SAKIT...jarum suntikan vaksin Intanza lebih pendek dan nipis iaitu 10 kali lebih pendek daripada jarum suntikan biasa.
Ramai tidak mengambil tahu dan beranggapan suntikan vaksin hanya diperlukan apabila badan sudah dijangkiti penyakit berbahaya seperti virus influenza dan H1N1 serta tidak perlu diambil ketika sihat.
Malah, ramai yang masih percaya kepada mitos yang mengatakan suntikan vaksin menyakitkan dan boleh menyebabkan demam dan muntah serta-merta.
Selain itu, sikap suka tunggu dan lihat terutama di kalangan kumpulan berisiko terhadap jangkitan Influenza A (H1N1) iaitu pesakit kronik, obesiti dan wanita hamil untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit berkenaan, boleh meningkatkan risiko penularan wabak yang lebih serius.
Menurut Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan, Dr Christopher Lee di Malaysia pengetahuan mengenai influenza masih kurang.
Orang ramai masih mengambil mudah mengenai selesema dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga sehingga mereka sendiri dijangkiti virus.
“Orang ramai tidak seharusnya mengambil mudah perkara ini kerana penyakit influenza seperti H1N1, H3N2 dan Influenza B masih wujud dan langkah pencegahan perlu diambil, bermula dengan langkah mendapatkan vaksin dengan segera,” katanya.
Dr Lee memberitahu, dia pernah merawat pesakit influenza iaitu seorang wanita me�ngandung yang pada mulanya mengalami demam, batuk dan sakit dada berpanjangan.
Kemudian dia dimasukkan ke hospital dan doktor mengesyaki dia mendapat pneumonia.
Selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) barulah dia disahkan mendapat jangkitan H1N1 dan meninggal dunia dua hari kemudian.
Jangkitan influenza bukan saja boleh menyebabkan seseorang itu demam, batuk dan sakit dada berpanjangan, malah lebih kronik sehingga menyebabkan kematian.
Di Amerika Syarikat, seramai 243 orang meninggal dunia sepanjang 2009 hingga 2010. Kebanyakannya adalah mereka yang berisiko tinggi seperti penyakit asma kronik, jantung, wanita mengandung, obesiti dan diabetes, mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan pesakit Aids.
Menurutnya, influenza atau demam selesema bermusim ialah sejenis penyakit pernafasan berpunca daripada jangkitan virus selesema.
Jenis atau strain virus selesema yang menyebabkan penyakit ini boleh berubah sifat dari setahun ke setahun atau dalam tahun yang sama.
Pesakit demam selesema mungkin akan mengalami demam, kesejukan, sakit kepala, batuk kering dan sakit otot dan mungkin sakit selama beberapa hari hingga seminggu atau lebih.
Kebanyakan pesakit sembuh dengan sepenuhnya. Namun bagi sesetengah orang, demam selesema bermusim mungkin menjadi lebih serius dan mengakibatkan pneumonia dan komplikasi lain termasuk kematian.
Di Malaysia, langkah pencegahan dengan memberikan suntikan vaksin Tamiflu dan Relanza diambil bagi mengatasi wabak influenza manakala vaksin antimeningitis, influenza, pneumococcal dan hepatitis A, B dan C untuk jemaah haji dan umrah.
Bagi menyediakan orang ramai menghadapi musim kemuncak jangkitan influenza pada masa akan datang, Sanofi Pasteur melancarkan vaksin Influenza Intanza pertama berbentuk intradermal bagi melindungi diri daripada virus infleunza dengan hanya satu suntikan saja.
Menggunakan inovasi terkini sistem mikrosuntikan intradermal (ID), ia lebih mudah dan senang digunakan serta kesakitan yang minimum.
Menurut Pakar dan Pengamal Perubatan Australia, Dr Ginni Mansberg, pelancaran vaksin berkenaan bertujuan menyediakan orang ramai menghadapi musim kemuncak jangkitan influenza dengan menggabungkan keberkesanan dan keselesaan ketika suntikan dijalankan.
“Keistimewaan sistem suntikan mikro Intanza kerana membabitkan kemasukan vaksin hanya satu atau dua milimeter ke dalam lapisan kulit dan komponen ini mengandungi jumlah sel imunisasi yang banyak dinamakan sel dendritic,” katanya.
Menurut Dr Ginni, sel de�ndritic ini akan memerangkap dan memproses antigen, sekali gus menghasilkan tindak balas imunisasi berkesan.
Selain itu, suntikan Intanza juga selamat dan tidak menyakitkan kerana jarum suntikan lebih pendek dan nipis serta berisiko rendah.
“Dengan suntikan Intanza, pesakit akan mendapat pengalaman yang lebih selesa. Suntikan vaksin Intanza lebih pantas dan tidak terlalu menyakitkan. Ini kerana jarum suntikan yang perlu menusuk ke dalam kulit sepanjang 1.5 milimeter iaitu 10 kali lebih pendek daripada jarum suntikan lain yang biasanya menusuk sehingga 15 milimeter,” katanya pada satu taklimat media mengenai vaksin Intanza di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Kemoterapi dan Penyakit Berjangkit Malaysia, Dr Hamimah Hassan dan Chef Selebriti, Zamzani Abdul Wahab.
Tambah Dr Ginni, inovasi baru ini amat diperlukan terutama dalam usaha mengawal jang�kitan influenza dengan lebih ketat, memandangkan salah satu cabaran utama dalam usaha membanteras influenza adalah untuk meyakinkan pesakit supaya mendapatkan vaksin.
Percubaan klinikal yang dijalankan di Australia sebelum ini menunjukkan bahawa lebih 96 peratus individu yang menggunakan Intanza berpuas hati dengan sistem suntikan mikro yang digunakan.
Orang ramai berumur 18 tahun ke atas kini boleh mendapatkan dua dos suntikan Intanza daripada profesional perubatan di Malaysia. Dos yang sesuai untuk mereka yang berumur 18 hingga 59 ialah sembilan mikrogram manakala 15 mikrogram bagi dewasa berumur 60 tahun ke atas. Suntikan boleh dilakukan pada setiap tahun.
Kesan sampingan biasa bagi vaksin selesema adalah rasa sakit di tempat suntikan yang dialami sehingga dua hari manakala bagi sesetengah orang mendapat demam ringan atau rasa letih selepas sehari suntikan.
Fakta pengambilan suntikan vaksin Intanza
No comments:
Post a Comment