Wednesday, April 6, 2011

Khasiat Serai

Dalam kalangan masyarakat Melayu, serai sering digunakan dalam menambahkan perisa di dalam sesetengah makanan bagi meningkatkan kelazatannya. Selain penambah perisa, ia mampu menaikkan aroma masakan. Bagi yang baru ingin mengenalinya, nama saintifik bagi serai ialah Cymbopogon citratus dan ia adalah daripada Famili Gramineae.Menurut kajian, pokok serai mengandungi pelbagai jenis minyak yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Minyak ini mengandungi beberapa campuran seperti citral, limonena dan methyl heptonen. Ahli-ahli sains juga telah mengasingkan dua jenis bahan kimia daripada pokok serai iaitu campuran Cymbopogonol dan Cymbopogone.

Banyak bahan dalam serai yang membuatkan herba ini bukan sahaja sesuai digunakan sebagai ramuan makanan, malah berguna untuk tujuan perubatan tradisional. Estrak minyak daripada serai mempunyai khasiat ubatan yang tersendiri.

Antara khasiat serai :

1) Bahan galaktogogue dalam minyak serai amat baik untuk wanita. Ini kerana bahan galaktogogue adalah agen yang mampu meningkatkan pembentukan susu dalam payu dara. Ia amat sesuai untuk ibu yang sedang menyusui bayi.

2) Bahan analgesik dalam minyak serai mampu mengurangkan sakit dan inflamasi. Ia juga mampu melegakan sakit otot, sendi, sakit gigi dan sakit kepala. Ia turut mengurangkan sakit badan yang diakibatkan daripada senaman yang dilakukan secara tiba-tiba.

3) Bahan antikemurungan dalam minyak serai boleh merangsang keyakinan, semangat, kekuatan mental dan melawan kemurungan. Ia amat sesuai untuk mereka yang mengalami kemurungan yang diakibatkan daripada pelbagai sebab.

4) Bahan antimikrob dan antibakteria dalam minyak serai membuatkan ia sesuai digunakan untuk menyekat pertumbuhan mikrob dan bakteria di dalam atau di luar tubuh. Ia dikatakan boleh menyekat jangkitan bakteria di kolon, perut, saluran urinari, luka, sistem pernafasan dan lain-lain lagi.

5) Bahan antipiretik dalam minyak serai dikatakan boleh merawat demam. Ia hampir sama dengan bahan febrifuj tetapi ia amat berkesan untuk menurunkan demam yang tinggi. 

6) Bahan karminatif dalam minyak serai dikatakan mampu mengawal masalah angin dalam badan. Ia bukan saja mampu mengurangkan angin daripada usus tetapi mampu menghentikan pembentukan angin dengan lebih lanjut.

7) Dalam perubatan tradisional, serai yang dicampur dengan lada hitam boleh merawat masalah haid dan loya. Jika serai diminum sebagai teh, ia juga adalah diuretik yang paling berkesan.

8) Serai juga dikatakan herba pencuci yang mampu membantu menyahtoksik hati, pankreas, buah pinggang, pundi kencing, dan saluran pencernaan. Ia juga dikatakan mampu menurunkan asid urik, kolesterol, lemak berlebihan dan toksin lain dalam tubuh.

9) Serai juga mampu memperbaiki kulit dengan cara mengurangkan akne dan jerawat. Ia bertindak menegapkan otot dan tisu. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan tekanan darah dengan cara meminum air serai yang telah direbus. Serai amat terkenal dengan kesan memberi ketenangan yang mampu melegakan insomnia atau tekanan.

10) Satu kajian yang dilakukan mendapati bahawa setiap 100gm serai yang direbus mengandungi beta karotena, sejenis antioksidan yang dipercayai oleh para saintis mampu mencegah kanser. 

Memang tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai khasiat serai tak kira sama ada digunakan secara mentah mahupun direbus dan diekstrak minyaknya. Namun begitu, penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kemudaratan pada kemudian hari.

Sumber : Majalah Mingguan Wanita, Edisi 31 Dis 2010 - 6 Jan 2011



No comments:

Post a Comment