Thursday, April 3, 2014

MH370: Hisham persoal Boeing, Rolls Royce.

SHAH ALAM – Setelah hampir sebulan MH370 hilang dalam keadaan penuh misteri, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoalkan tanggungjawab Boeing dan Rolls Royce dalam membantu merungkaikan persoalan yang timbul.

Menurut beliau, dalam situasi ini cukup mudah untuk orang menuding jari tanpa melihat kepada perkara sebenar.

Katanya, adalah tidak adil bagi jika hanya MAS dipersalahkan dalam menangani kes itu.

“MAS sentiasa akan melakukan tugas terbaik dalam berinteraksi bersama keluarga.

“Namun meletakkan MAS di kandang saksi masih tidak mencukupi. Kita juga perlu sentiasa ingat apakah peranan dan tanggungjawab Rolls-Royce, Boeing dan semua agensi pakar. Di mana suara mereka?” katanya dalam temu bual bersama sebuah stesen televisyen China, CCTV semalam.

Pada temu bual itu, wartawan CCTV mempersoalkan cara MAS berhubung dengan keluarga penumpang melalui SMS dalam bahasa Inggeris minggu lalu, menyatakan tiada penumpang terselamat.

Menurut Hishammuddin, MAS perlu bertanggungjawab dengan tindakannya itu dan memperbaiki cara komunikasinya dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

“Saya tidak mempertahankan MAS. Mereka perlu menjawab mengenai SMS itu dan bagaimana mereka berhubung dengan ahli keluarga.

“Tapi pada masa yang sama, saya mahu melihat agensi antarabangsa turut tampil, kerana kita membayar jutaan ringgit membeli kapal terbang dan kepakaran mereka. Kini teknologi tersebut dipersoalkan di seluruh dunia,” katanya.

Pada 8 Mac, MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Boeing dan Rolls-Royce, syarikat yang membekalkan enjin bagi pesawat itu,  dilihat tidak membuat sebarang kenyataan rasmi mengenai kehilangan MH370 biarpun difahamkan kedua-dua agensi itu bekerjasama dengan siasatan keselamatan udara Amerika Syarikat.

Menerusi temu bual itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, fokus utama adalah mencari pesawat itu di mana lokasi terakhir ia dikesan.

Beliau juga percaya kemungkinan ada keajaiban berlaku dan yang pasti pihaknya tidak akan berhenti berusaha mengenal pasti punca kehilangan pesawat itu.

Sumber: sinarharian 020414

No comments:

Post a Comment