Sering menggeletar takutkan mati
SEJAK rakan saya meninggal dunia baru-baru ini, saya sering merasakan ajal saya semakin dekat. Saya sering memikirkan hari kematian saya sehinggakan merasa tidak selesa serta membuatkan kehidupan tidak tenteram.
Saya merasa teramat takut sehinggakan seluruh badan saya menggeletar setiap hari terutama apabila menjelang petang sehingga malam dan membuatkan susah untuk tidur.
Situasi berkenaan menjejaskan kerjaya saya. Sejak kejadian itu hati kecil saya nekad untuk mula menunaikan solat dan berpuasa penuh.
Saya berharap agar masalah ini menemui jalan penyelesaian bagi mengelakkan tekanan yang berlebihan terhadap diri saya.
Apakah sebenarnya masalah yang saya hadapi dan harap Dr dapat memberikan panduan agar saya dapat menjalani kehidupan harian dengan tenang
RAHMAN,
Perak
Jawapan:
SETIAP yang bernyawa pasti akan mati. Islam melihat ketentuan ajal (kematian) berada pada Allah semata-mata. Allah yang menetapkan jangka hayat seseorang.
Seorang Muslim hendaklah menjalani kehidupan duniawi seperti biasa. Beliau hendaklah berusaha keras dalam segenap lapangan kehidupan.
Seterusnya Islam menetapkan sebagai seorang Muslim, dia hendaklah melaksanakan segala tuntutan Ilahi seperti menunaikan segala suruhan dan mencegah diri dari larangan agama.
Dengan itu, seorang Muslim tidak merasa takut menemui Allah apabila kematian menjemputnya kerana sudah bersedia. Dalam menjalani kehidupan duniawi, seorang Muslim tidak sepatutnya menyerah kepada takdir semata-mata.
Ini kerana Allah menghendaki kita supaya berusaha. Umpamanya apabila seseorang itu sakit, seorang itu hendaklah berusaha untuk mencari ubat.
Setiap usaha pula dibalas Allah dengan ganjaran pahala apabila bertepatan dengan ajaran Islam. Selain itu, mengingati mati juga digalakkan Islam kerana ia dapat mengingati dan mendekatkan diri kita kepada Allah.
Saudara tidak perlu risau mengenai ketentuan Allah kepada teman sendiri. Apa yang penting kita berusaha kuat untuk mencari keperluan hidup di dunia dan bekalan amalan di akhirat.
Suruhan Allah seperti solat lima waktu dan puasa perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas kepada Allah. Dengan berbuat demikian kerisauan kita dapat diatasi dan kehidupan dunia ini dapat membawa kebahagiaan sama di dunia dan akhirat.
Suami letak taklik terhadap isteri curang
SAYA baru berkahwin tiga bulan lalu. Suatu hari suami mengetahui yang saya pernah curang ketika kami bertunang dulu dan dia meletakkan taklik dengan menyebut: “Kalau awak curang, saya ceraikan awak”.
Tetapi curang yang dimaksudkan suami adalah jika saya ada perasaan atau berbalas pesanan SMS cinta dengan orang lain atau dengan perbuatan seperti berpelukan dan sebagainya.
Adakah taklik itu berpandukan kepada maksud curang suami atau apa yang disebut dalam taklik itu? Apakah maksud curang menurut hukum syarak?
INSAN GELISAH
Johor
Jawapan:
MENGIKUT Kamus Dewan (2005:297) curang bermaksud ‘tidak jujur, tidak lurus (tulus) hati’. Ia juga bererti ‘tidak setia (khianat) kepada suami (isteri, tunangan dan sebagainya) dengan menjalin hubungan cinta dan sebagainya dengan jawaborang lain’.
Dalam pertanyaan anda di atas, curang yang dimaksudkan suami adalah apabila isteri menduakan suaminya termasuk bercinta, berasmara dan melakukan hubungan seksual dengan lelaki lain.
Perbuatan isteri itu adalah haram dan berdosa dalam Islam dan hukum syarak.
Sekiranya isteri yang terbabit dalam hal berkenaan dia sebenarnya sudah merosakkan rumah tangganya.
Isteri hendaklah bertanggungjawab menjaga kehormatan diri dan keluarga dan taat kepada perintah suami, malah setiap perkara yang dilakukan hendaklah mendapat izin suami.
Al-Quran meletakkan bahawa lelaki adalah pemimpin kepada wanita. Dalam konteks ini, suami adalah pemimpin kepada isteri dan keluarga.
Allah berfirman dalam Surah al-Nisa, ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana orang lelaki membelanjakan daripada harta mereka. Maka wanita yang soleh itu adalah sendiriyang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah....”
Seterusnya pada ayat sama, Allah menyebut tata cara memperbaiki penyelewengan di kalangan isteri dengan firman-Nya: “...Dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.
Dalam konteks keluarga Islam, suami mesti bertindak bijak mengurus rumah tangganya. Suami tidak perlu cepat menggunakan kuasa cerai yang ada pada dirinya.
Mereka (suami) hendaklah bertindak seperti yang disarankan al-Quran di atas.
Sikap cepat menjatuhkan talak kepada isteri tanpa usul periksa dan tindakan yang tidak berhemah adalah salah dan tidak adil.