NORA, 47, berasa sangat sakit di perut sejak enam bulan lepas. Dia percaya ia hanya masalah ‘angin’ tetapi sejak kebelakangan ini minyak angin yang menjadi penawar selama ini tidak melegakan sakitnya.
“Tetapi saya tidak faham,” kata Gary . “Saya makan mengikut masa.”
Ia mungkin sukar untuk percaya, tetapi simptom pada Nora dan Gary mungkin penunjuk awal masalah yang lebih besar - kanser perut.
Dr Ramesh Gurunathan, seorang pakar bedah Gastrousus di Pusat Perubatan Sunway, menyatakan kes kanser perut berlaku pada kadar berganda di Malaysia berbanding 700 kes pada 1997 walaupun kes kanser ini berkurangan di seluruh dunia.
“Ini sesuatu yang membimbangkan,” katanya di Kongres Ketiga Kanser Gastroesofageal di Pusat Perubatan Sunway, baru-baru ini.
Kanser perut adalah kanser ketujuh paling lazim di kalangan lelaki Malaysia dan kesepuluh paling lazim pada wanita.
Dr Gurunathan berkata, ramai rakyat Malaysia bagaimanapun masih tidak sedar masalah sebenar di sebalik simptom ini. Ini kerana mereka sering menganggapnya sebagai sakit perut biasa disebabkan tidak makan mengikut waktu atau amalan pemakanan kurang baik.
Beliau berkata, pesakit di peringkat pertama atau peringkat kedua kanser perut mungkin mengalami simptom berikut yang lazimnya tidak banyak berbeza daripada sakit perut biasa:
· Senak perut atau rasa kurang selesa di perut.
· Perut macam ada angin, terutama selepas makan.
· Cepat kenyang, walaupun makan sedikit saja.
· Pedih hulu hati.
· Rasa mual.
Bagaimanapun, katanya, ramai mengalami sebahagian saja simptom ini di peringkat awal. Simptom di peringkat lanjut kanser adalah lebih ketara, seperti najis berwarna hitam yang menunjukkan pendarahan di perut, kehilangan berat badan, hilang selera, rasa letih, sering muntah atau muntah darah.
“Malangnya, simptom ekstrem inilah yang memaksa pesakit untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” kata Dr Gurunathan.
“Ketika itu ia mungkin terlalu lewat.”
Punca sebenar kanser perut masih tidak diketahui, tetapi terdapat faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser.
Kajian menunjukkan kehadiran bakteria Helicobacter Pylori atau H Pylori, dalam 70 hingga 90 peratus daripada pesakit dengan kanser perut.
Bakteria ini boleh bertindak sebagai kaseinogen yang akhirnya boleh menyebabkan kanser perut, kata Dr Ragunathan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna semua yang dijangkiti akan menghidap kanser.
Beliau menunjukkan satu penemuan menarik daripada penyelidikan yang dijalankan di Malaysia iaitu lebih ramai masyarakat India dijangkiti H Pylori berbanding masyarakat Cina, tetapi lebih ramai kaum Cina menghidap kanser perut.
Dr Gurunathan berkata, simptom awal jangkitan H Pylori hampir sama dengan kanser perut dan adakalanya pesakit dirawat menggunakan ubat saja.
“Tetapi jika simptom sama berulang walaupun selepas mengambil ubat, anda perlu ke hospital dan jalani pemeriksaan,” kata beliau.
Ujian darah biasa boleh menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti H Pylori. Rawatan mungkin semudah satu dos antibiotik selama seminggu, katanya.
Bolehkah jangkitan berulang? Mungkin, kata doktor, tetapi kemungkinannya sangat kecil.
Kajian menunjukkan asal-usul etnik dan genetik juga memainkan peranan ketara dalam menentukan siapa lebih berkemungkinan menghidap kanser.
Statistik 2006 Institut Kanser Kebangsaan menunjukkan kaum Cina mewakili 61.7 peratus daripada pesakit kanser perut, diikuti Melayu (25.9 peratus) dan India (12.4 peratus).
“Kami cuba mencari kaitan antara jenis diet yang eksklusif kepada setiap kumpulan etnik itu dan kemungkinan faktor lain, tetapi memandangkan pengaruh antara budaya di Malaysia , keputusannya tidak jelas,” katanya.
Pada masa sama, makanan mentah yang mengambil masa lama untuk dicerna boleh meningkatkan risiko kanser. Penemuan ini mempertikai kepercayaan segelintir pakar kesihatan yang menggalakkan makanan mentah sebagai alternatif lebih sihat kepada makanan yang dimasak.
“Makanan mentah dikatakan antara sebab mengapa negara seperti Jepun menyaksikan kejadian kanser lebih tinggi,” kata Dr Gurunathan.
“Saya tidak berkata anda tidak langsung boleh makan sushi, tetapi mungkin boleh dihadkan kepada sekali setiap bulan.”
Selain itu, makanan yang digarami, disalai, dijeruk atau makanan diawet yang lazim di negara seperti China , Korea dan Jepun juga dikaitkan dengan risiko lebih tinggi bagi kanser perut.
Obesiti, penuaan dan tabiat buruk seperti merokok dan ketagihan alkohol juga dikatakan sebagai menyumbang kepada kanser perut.
Di Jepun, di mana insiden kanser perut sangat tinggi, imbasan dijalankan bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
“Bagaimanapun, ia tidak mungkin dapat dilakukan di Malaysia kerana kadar kejadian tidak setinggi seperti di Jepun selain ia tidak berkesan dari segi kos,” kata Dr Gurunathan.
Beliau berkata, kanser perut boleh dikesan menggunakan kaedah endoskopi. Kaedah ini menggunakan satu tiub dengan lensa video pada hujungnya yang dimasukkan ke ruang dalam perut menerusi mulut.
Menggunakan kaedah ini, keseluruhan dinding boleh diperiksa secara visual dan diambil sampel tisu di tempat yang disyaki untuk menentukan kehadiran sel barah, jika ada.
Beliau berkata, di hospital kerajaan, pemeriksaan menggunakan endoskopi ini dijalankan pada harga murah iaitu RM20 kerana kosnya disubsidi kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, selepas itu doktor mungkin hanya mahu merawatnya dengan ubat-ubatan saja.
Oleh itu, katanya, jika pesakit itu berusia lebih 45 tahun, mempunyai kanser perut dalam sejarah keluarga dan mengalami simptom itu untuk satu tempoh, mereka harus memaklumkan perkara ini kepada doktor dan bertanya: “Haruskah saya menjalani endoskopi?”
Jika kanser perut dikesan sementara ia masih di peringkat pertama, pembedahan mungkin tidak perlu untuk mengeluarkan ketumbuhan.
“Ia boleh dikeluarkan menggunakan endoskopi dan bagi peringkat kedua, satu pembedahan dikenali sebagai gastrostomi mungkin perlu,” kata Dr Gurunathan.
Prosedur ini membabitkan pembuangan separuh hingga keseluruhan perut bergantung kepada kedudukan ketumbuhan. Ini mungkin disusuli rawatan kemoterapi atau radioterapi.
Bolehkah seseorang hidup tanpa perut? Jangan terkejut, doktor berkata boleh.
“Mereka masih boleh menikmati kehidupan agak baik. Satu-satunya masalah ialah mereka mungkin terpaksa makan sedikit-sedikit, enam atau tujuh kali sehari,” katanya.
Bagaimanapun, peringkat tiga dan empat mungkin sukar untuk dirawat, katanya.
“Rawatan bagi mereka ini lebih kepada penjagaan paliatif, radioterapi dan kemoterapi. Jadi jalani pemeriksaan awal jika anda mengesyaki sesuatu tidak kena. Ia boleh dirawat jika dapat dikesan awal,” katanya. - Bernama.
No comments:
Post a Comment