Monday, June 20, 2011

Yang terbayang hanya kematian...

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

asmaini@nstp.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JIKA melihat pada penampilan dan raut wajahnya hari ini, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa wanita itu pernah melalui detik hitam dalam hidupnya.
Di sebalik senyuman yang tidak pernah lekang daripada bibir, Datin Rahmah Mahmood mempunyai kisah menarik yang boleh dijadikan pengajaran bersama.
Saat adik isteri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datin Endon Mahmood, itu mula berbicara, terpancar jelas kekuatan di dalam diri wanita yang wajar dijadikan idola ini.

Menurut Rahmah, 2006 adalah tahun paling mencemaskan kepada dirinya dan keluarga kerana didiagnos sebagai pesakit barah. Berita itu diterima ketika seluruh ahli keluarganya masih bersedih dengan pemergian Endon.


Dia akui sukar menerima berita itu kerana menyaksikan sendiri kakaknya bertarung melawan penyakit itu ketika menjalani rawatan di Amerika Syarikat.

Daripada rawatan kemoterapi hingga radioterapi dan suntikan pelbagai jenis ubat, semua dilalui dalam usaha untuk merawat penyakit berkenaan.

“Saya melihat sendiri bagaimana kakak berjuang untuk melawan penyakit itu.

“Tubuhnya menjadi begitu lemah, keletihan dan mulutnya ditumbuhi ulser akibat kemoterapi dan radioterapi yang dijalani.

“Semua itu sedikit sebanyak menjadikan saya berasa takut,” katanya.

Mengimbas kembali detik awal dia disahkan menghidap penyakit itu, Rahmah berkata semua berlaku selepas pemergian kakak kesayangannya itu enam tahun lalu.

Doktor menyarankan Rahmah untuk turut menjalani ujian kerana menyedari risiko sejarah keluarga.

Sebelum itu dia langsung tidak terfikir akan menerima nasib yang sama seperti kakaknya dan mengakui hampir terduduk saat doktor mengesahkan bahawa penyakit pembunuh utama wanita itu juga bersarang di badannya.

“Masa itu, hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya selepas doktor mengesahkan saya turut mempunyai barah.

“Apa yang terbayang di fikiran ketika itu hanyalah kematian dan penderitaan akibat kemoterapi dan radioterapi yang perlu dijalani.

“Doktor yang merawat menyarankan agar saya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dan seterusnya melalui proses kemoterapi serta radioterapi namun menegaskan bahawa semua itu bukan jaminan sel barah akan hilang,” katanya.

Namun, apabila mengenangkan insan tersayang yang berada di sekeliling, terbit rasa tidak mahu berputus asa dalam hatinya.

Ia mendorong Rahmah bingkas daripada lamunan dan bertekad untuk melawan penyakit itu.

Dia memulakan dengan pembacaan dan merujuk maklumat daripada Internet.

Rahmah mengakui, ketika dia berdepan dengan saat sukar, keluarga serta teman rapat sentiasa berada di sisinya dan ia sekali gus menaikkan lagi semangatnya untuk berjuang menentang penyakit berkenaan.

“Saya akui bukan mudah untuk merawat barah tanpa mempunyai maklumat dan pengetahuan mendalam mengenainya tapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil.
“Saya menghabiskan banyak masa melayari Internet dan membaca buku berkaitan untuk mendapatkan sebanyak mana panduan yang diperlukan.

“Tidak cukup dengan itu, saya sekeluarga juga mengubah gaya hidup dengan menjalani amalan yang lebih sihat terutama daripada segi pemakanan,” katanya.

Dalam usaha bersungguh-sungguh melawan penyakit, Rahmah berasa sangat bersyukur apabila seorang teman mengesyorkan dia bertemu dengan seorang doktor perubatan yang mempunyai klinik terapi di Melbourne, Australia iaitu Dr Vagif Soultanov.

Pertemuan dengan Dr Soultanov merubah segala-galanya kerana doktor yang berasal dari Russia itulah yang memberi harapan kepada dirinya bahawa terdapat rawatan alternatif yang mungkin boleh membantu.

Bagaimanapun, kata Rahmah, Dr Soultanov menasihati dia supaya membuang terlebih dulu ketumbuhan berkenaan sebelum mencuba rawatan alternatif semula jadi.

“Rawatan alternatif berkenaan jauh berbeza daripada rawatan kemoterapi.

“Selepas beberapa kali menjalani rawatan, kesihatan saya semakin bertambah baik dan alhamdulillah, selepas sekian lama mengikuti rawatan berkenaan, saya disahkan bebas daripada virus penyakit merbahaya itu.

“Apa yang saya lalui adalah sesuatu yang memang sukar untuk dipercayai namun hanya Tuhan yang tahu betapa saya sangat berharap dapat memperkenalkan rawatan dan Dr Soultanov kepada kakak supaya dia tidak menderita dan meninggalkan kami tetapi, apakan daya itu semua sudah tertulis,” katanya.

Sementara itu Rahmah berkata, masyarakat perlu faham dengan betul setiap ubat yang diambil kerana bimbang akan memudaratkan diri sendiri.

Dia turut menyarankan masyarakat supaya mengelakkan penyemburan racun serangga aerosol terus kepada katil kerana boleh menyebabkan bahaya jangka masa panjang.

“Anda mungkin tidak sedar semburan racun aerosol itu akan melekat pada katil dan kemudian pada badan apabila kita tidur.

“Ia bukan saja mampu meresap ke dalam darah malah boleh mendatangkan banyak kemudaratan kepada kesihatan badan.

“Jadi sebaik-baiknya elakkan menyembur secara terus ke permukaan tempat tidur atau apa saja yang kita akan duduk di atasnya,” katanya yang mengakui mahu menikmati sisa kehidupan yang ada dengan sebaiknya.
harianmetro 20june2011

No comments:

Post a Comment