Monday, September 10, 2012

Bahaya Meningitis


Bahaya meningitis (BERITA HARIAN ONLINE)

Lima hingga 10 peratus masyarakat jadi pembawa kuman

KEJADIAN 354 pelatih penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di jabatan
itu di Tiang Dua, Melaka, dimasukkan ke hospital termasuk seorang maut
akibat meningitis, minggu lalu, sememangnya mencetuskan kebimbangan
ramai.

Ini disebabkan ramai yang lebih maklum meningitis sebagai
masalah terkawal dan hanya dikaitkan sebagai ancaman kepada mereka yang
mahu menunaikan ibadat di tanah suci Makkah.

Tidak ramai yang maklum bahawa meningitis itu sebenarnya boleh
mengancam nyawa. Apatah lagi jika tidak ditangani, meningitis boleh
menyebabkan otak membengkak dan menjadi punca ketidakupayaan fizikal
berkekalan, koma atau kematian.

Meningitis itu merujuk masalah radang pada lapisan sekeliling
otak dan saraf tunjang. Kerap kalinya ia disebabkan bakteria atau virus
dan kadang kala berpunca daripada jangkitan kulat.

Ia boleh berlaku di kalangan kanak-kanak berusia lima tahun
ke bawah, remaja antara usia 17 ke 25 tahun serta dewasa berusia lebih
55 tahun.

Namun, meningitis boleh menjadi wabak jika ia berlaku dalam kawasan
seperti di asrama atau berek. Ini disebabkan, keadaan tempat itu yang
sesak, peredaran udara yang tidak baik serta faktor kedudukan rapat
sesama penghuni menyebabkan ia mudah tersebar.

Meningitis boleh berpunca daripada pelbagai sebab.
Bagaimanapun, bagi kes wabak meningitis di Akademi JPJ di Melaka, belum
diketahui apakah punca sebenar berlakunya wabak itu.

Ini diakui sendiri Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit,
Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman yang
menyifatkan cubaan untuk mengkulturkan kuman bagi mengenal pasti punca
sebenar meningitis itu masih belum membuahkan hasil setakat ini.

Namun, pemberian antibiotik dan penjagaan kebersihan yang
baik selain langkah kuarantin yang dilakukan ketika ini membantu
mengekang wabak.

“Meningitis boleh disebabkan bakteria atau virus. Namun pecahan
bakteria dan virus itu pula pelbagai. Contohnya di kalangan bakal
jemaah haji, mereka perlu mendapatkan suntikan pneumokokal mencegah
bakteria Neisseria meningitidis dari jenis A,B, C, Y dan W.

“Bagai kanak-kanak pula, mereka mengambil suntikan mencegah
meningitis sama ada dengan vaksin pneumokokal atau Hib (haemophilus
influenzae type B). Usaha mengenal pasti punca sebenar meningitis itu
dapat membantu rawatan,” katanya.

Meningitis yang disebabkan virus jarang mengancam nyawa dan
kebanyakan pesakit pulih dengan cepat. Namun meningitis yang berpunca
daripada bakteria lebih serius kerana ia boleh disebabkan pelbagai
jenis. Mengenal pasti bakteria yang menjadi punca memudahkan rawatan
kerana ada sesetengah bakteria boleh ditangani dengan vaksin, misalnya
jenis A, B, C, Y dan W.

“Kuman meningitis hanya hidup di dalam tubuh manusia.
Sebenarnya antara lima hingga 10 peratus masyarakat di kelilingi kita
bertindak sebagai pembawa kuman meningitis. Kuman itu hidup di
kerongkong.

“Ini menjadikan ia mudah merebak di asrama atau berek. Bersin
atau batuk melantunkan puing-puing yang boleh menjangkiti orang lain.
Kuman itu boleh mati jika kawasan asrama itu luas, kebersihannya
terjaga selain peredaran cahaya dan udara yang baik. Kuman itu juga
mati apabila terkena cahaya mata hari,” katanya.

Dr Hassan berkata, bukan semua mereka yang diserang
meningitis menunjukkan simptom. Hampir 25 peratus pesakit tidak
menunjukkan sebarang simptom langsung.

Di Malaysia, kes di Akademi JPJ bukan yang pertama. Sebelum
ini, kes serupa pernah berlaku di Universiti Putra Malaysia pada 2002.
Malah secara purata, kurang 50 kes meningitis setahun, dicatatkan di
Malaysia.

Di negara lain seperti Britain, kajian awam mendapati setiap
tahun sejumlah 3,000 kes meningitis yang mengancam nyawa, dicatatkan,
setiap tahun. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak bawah usia lima
tahun, remaja 16 ke 19 tahun selain golongan berusia lebih 55 tahun.

Daripada jumlah itu, ratusan pesakit meninggal dunia manakala
yang terselamat menjalani hidup tanpa kualit. Misalnya menjadi pekak,
buta, kehilangan kaki, mengalami masalah pembelajaran, memori terganggu
dan masalah tingkah laku.

INFO: Meningitis dari sudut perubatan.
  • Masalah radang pada meninges, selaput yang melindungi otak dan saraf
    tunjang. Meninges terdiri daripada tiga membran, yang secara bersama
    dengan air tulang belakang (cerebrospinal fluid) menutup dan melindungi
    otak dan saraf tunjang (sistem saraf tengah).
  • Lapisan membran
    pertama adalah ‘pia mater’ - lapisan paling dalam, ‘Arachnoid mater’ -
    lapisan tengah dan ‘Dura mater’ - lapisan seakan kulit paling luar dan
    air tulang belakang.
  • Kuman meningitis sampai ke meninges
    melalui dua cara, melalui darah atau hubungan terus antara meninges
    dengan ruang hidung atau kulit.
  • Lazimnya, otak dilindungi
    secara semula jadi daripada sistem imun tubuh dengan adanya meninges.
    Ia menjadi penghalang antara saluran darah dan otak. Meninges membantu
    menghalang sisrem imun menyerang tubuh.
  • Dalam kes penyakit
    meningitis, apabila bakteria atau organisma lain sampai ke otak, ia
    terasing daripada sistem imun dan mudah merebak. Apabila tubuh melawan
    jangkitan, masalah menjadi lebih teruk.
  • Cubaan menentang
    jangkitan menyebabkan salur darah bocor membenarkan cecair, sel darah
    putih dan lain-lain partikel menentang jangkitan masuk ke meninges dan
    otak. Ia menyebabkan otak bengkak, menurunkan aliran darah ke otak
    menyebabkan simptom bertambah teruk.
Punca
  • Meningitis selalunya disebabkan satu
    daripada pelbagai jenis bakteria. Punca paling biasa adalah bakteria
    Streptococcus pneumoniae. Kuman Neisseria meningitidis biasanya menjadi
    punca wabak meningitis di asrama atau berek. Haemophilus influenzae
    type B (Hib) pula boleh menjadi punca meningitis di kalangan
    kanak-kanak juga dewasa.
  • Bakteria meningitis boleh terjadi
    kerana pelbagai sebab. Selalunya berpunca daripada jangkitan bakteria
    yang sudah menghuni hidung atau mulut. Ia masuk ke darah dan sampai ke
    meninges.
  • Meningitis boleh juga disebabkan jangkitan pada otak
    seperti daripada telinga atau sinus tersebar, selain boleh berpunca
    daripada komplikasi pembedahan otak, kepala atau tengkuk.
Simptom
  • Demam dan kepanasan
  • Sakit kepala
  • Leher kaku
  • Muntah
  • Keliru
  • Mata yang sensitif pada cahaya
  • Hilang deria rasa, kekuatan atau rasa lemah terutama di muka
  • Sendi bengkak atau sakit di satu atau lebih sendi
  • Ruam yang kelihatan seperti bengkak
Rawatan dan komplikasi 
  • Mengambil air tulang belakang mungkin digunakan untuk diagnosis atau menidakkan meningitis sebagai penyakit.

  • Rawatan biasa meningitis adalah antibiotik atau anti virus. Dalam
    sesetengah situasi, streroid digunakan bagi mencegah komplikasi
    daripada radang yang terlalu aktif.
  • Meningitis boleh
    menyebabkan komplikasi serius berpanjangan seperti pekak, epilepsi,
    hidrocephalus (kepala bengkak air) kemerosotan kognitif terutama jika
    tidak dirawat segera.
         Golongan berisiko
  • Dewasa berusia 60 tahun ke atas
  • Kanak-kanak di bawah usia lima tahun
  • Mereka yang minum arak
  • Pesakit barah terutama yang menjalani kemoterapi
  • Pesakit menerima organ baru dan mengambil ubat tertentu
  • Pesakit diabetes
  • Terdedah pada meningitis (misalnya berada dalam asrama yang sama dengan pesakit meningitis)

No comments:

Post a Comment