Monday, May 12, 2014

Bayi Alahan Pada Protein Susu Lembu atau CMPA. Manfaatkan sumber semula jadi

Selepas mengetahui anaknya, Isaac Tan, 6, menunjukkan tanda alahan protein susu lembu atau CMPA, Carmen Low segera membawa anak sulungnya itu mendapatkan pemeriksaan doktor.


Ketika itu, Isaac baru berusia dua bulan dan mula mengalami ruam yang teruk pada bahagian muka. Ia berpunca selepas Carmen memberi Isaac susu formula bagi memastikan anaknya kenyang pada waktu malam. 
“Saya menganggap anak tidak kenyang jika memberinya susu ibu kerana dalam tempoh dua atau tiga jam, Isaac terjaga daripada tidur untuk minum susu. 

“Selepas itu, saya membuat keputusan untuk memberinya susu formula berasaskan protein lembu pada waktu malam di samping masih menyusukannya dengan susu badan di siang hari.

“Tidak sampai sebulan selepas itu, anak saya mengalami ruam berwarna kemerah-merahan yang jelas kelihatan pada bahagian muka,” katanya.

Tambahnya, tidur anaknya sentiasa terganggu disebabkan sering menggaru akibat kegatalan. Bertambah teruk apabila ruam bertukar kepada gejala ekzema hingga menyerang seluruh bahagian muka, kepala dan belakang telinga. 

Malah, anak kecilnya itu juga mudah mendapat selesema dan batuk. Selepas melihat keadaan yang dialami Isaac bertambah teruk, Carmen segera membawa anaknya berjumpa doktor bagi mendapatkan kepastian punca yang dialami si kecil. 

“Pada mulanya, doktor hanya memberikan rawatan menerusi ubat dalam tempoh seminggu, namun ruam pada wajah anak masih tidak sembuh. 

“Kemudian, saya berjumpa doktor berlainan dan dia menyarankan supaya susu formula yang diberi kepada anak ditukar kepada susu berasaskan soya,” katanya. 
Selepas bertukar susu, dia dapat melihat perubahan yang baik pada wajah anaknya dalam tempoh dua hingga tiga minggu. 

Dua tahun selepas mengetahui masalah alahan dialami Isaac, tanpa disangka sebenarnya Carmen juga mengalami alahan terhadap produk tenusu terutama jika menikmati kek keju.

Malah, suaminya juga menghadapi asma dan ekzema sekali gus doktor mengesahkan masalah dialami Isaac berpunca daripada genetik ibu dan bapanya. 

Berkaitan jenis makanan yang boleh diambil Isaac, dia menjelaskan Carmen tidak sukar mengawalnya kerana anaknya itu begitu cerewet dalam memilih makanan. 

Dia lebih gemar menikmati hidangan nasi dan ayam berbanding makanan lain yang mengandungi ­produk tenusu. Sementara itu, Carmen menasihatkan ibu bapa supaya lebih ­prihatin mengenai keadaan kesihatan anak walaupun sibuk dengan tugasan kerja. 

Sebaiknya, ibu bapa perlu memerhatikan keadaan kesihatan anak terutama jika membabitkan ruam. 

Ini kerana kebanyakan ibu bapa menganggap perkara berkenaan sebagai masalah kecil apatah lagi sering mengatakan wajah dengan rona kemerahan timbul disebabkan ruam susu. 

Keadaan ini amat bahaya dan ibu bapa harus segera membawa bayi mendapatkan rawatan serta-merta.

Gejala CMPA

Susu lembu pengganti susu ibu yang utama. Disebabkan itu, ia menjadi penyebab terhadap alahan yang paling biasa dalam kalangan bayi di Asia termasuk Malaysia. 

CMPA adalah satu tindak balas luar biasa yang berlaku apabila tubuh terdedah kepada protein susu lembu. Tindak balas ini dicetuskan oleh sistem imunisasi tubuh hingga boleh menjejaskan pelbagai bahagian dalam tubuh seperti kulit, paru-paru dan usus.

Menurut pakar perunding pediatrik Dr Khairul Zaman Omar, kira-kira lima hingga 15 peratus kanak-kanak mengalami reaksi alahan kepada susu lembu dalam tempoh tiga tahun pertama kehidupan. 

“Gejala CMPA berbeza dengan bayi lain, sama ada mengalami simptom yang lebih ringan hingga sederhana dan boleh memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak. 

“Malah, ia boleh mengancam nyawa si kecil. Justeru, nasihat saya supaya ibu bapa mengurangkan risiko untuk mendapat alahan. 

“Apabila anak didiagnosa dengan CMPA, segera bertindak dengan tidak lagi memberi si kecil susu berasaskan protein lembu,” katanya.

Gejala yang dialami si kecil boleh mengganggu fungsi normal pada tubuh kanak-kanak dan lebih serius, ia boleh memberi kesan kepada proses tumbesarannya. 

Selain itu, bayi berkenaan juga berkemungkinan menghadapi masalah berat badan yang meningkat secara perlahan ataupun tiada sebarang peningkatan. Disebabkan itu, CMPA perlu dikesan dan dicegah dengan cepat. 

Ujarnya, jika bayi mengalami gejala seperti sesak nafas, muka pucat ataupun biru, bibir atau lidah bengkak ataupun pengsan, bayi mungkin mengalami kejutan ‘anaphylaxis’.

Ibu bapa perlu sedar, CMPA berbeza dengan ketidaktahanan laktosa ataupun ‘lactose intolerance’. Ketidaktahanan laktosa berlaku apabila usus tidak boleh menghadam gula laktosa yang terkandung dalam susu dan ia akan menyebabkan cirit-birit.

“Tidak ada ujian darah muktamad untuk mengesan CMPA. Sejarah genetik adalah kunci utama untuk mengesan alahan yang dialami si anak. 

“Gejala CMPA yang dialami anak boleh menjejaskan organ gastrousus (berkaitan perut dan usus), kulit dan saluran pernafasan. 

“Ia juga boleh dilihat apabila anak mengalami masalah kembung, najis yang cair, sembelit, najis berdarah, muntah dan ekzema,” katanya. 

Tambahnya, menjadi satu trend di negara ini apabila ada sesetengah ibu bapa yang mengabaikan gejala ringan seperti hidung tersumbat dan bersin pada waktu pagi, batuk semasa menangis atau perubahan suhu badan yang berlaku pada anak kerana menganggap ia perkara ­biasa. 

Selain itu, ada juga kanak-kanak yang mengalami gejala seborrhea (ekzema pada kulit kepala) yang biasanya disalah anggap sebagai jangkitan dan ia dirawat dengan antibiotik. 

Dr Khairul menegaskan, ia juga antara gejala alahan terutama CMPA. Justeru, setiap ibu bapa perlu mengambil perhatian jika anak mengalami gejala yang dinyatakan di atas supaya segera mendapatkan pemeriksaan doktor. 

“Ketika ini, ibu bapa perlu berkongsi maklumat mengenai sejarah keluarga yang mempunyai alahan yang mungkin boleh diwarisi oleh anak-anak. 

“Faktor risiko utama bayi mendapat alahan terutama CMPA biasanya diperoleh daripada ibu bapa yang turut mengalami alahan,” kata­nya. 

Jika ibu bapa dapat mengesan CMPA lebih awal, sebaiknya segera ubah gaya pemakanan si kecil bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk kepada anak. 

Ibu bapa begitu mempercayai kebaikan yang diperoleh daripada susu lembu hingga membelakangkan kehebatan susu ibu. Adakalanya, mereka memberi susu kambing bagi menggantikan susu lembu sedangkan, bayi yang mempunyai masalah CMPA juga berkemungkinan besar boleh memberi tindak balas terhadap susu kambing (juga biri-biri) kerana ia mempunyai persamaan protein. 

Rawatan

Penyusuan susu ibu lang­kah terbaik untuk mencegah CMPA. Susu ibu disyorkan untuk diberi kepada bayi secara eksklusif dalam tempoh enam bulan pertama.

Jika memerlukan susu pengganti, penting untuk ibu bapa mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu bagi mengesahkan diagnosis CMPA. 

Ini kerana terdapat pelbagai keadaan lain yang boleh menyebabkan simptom seperti yang disenaraikan di atas. Justeru, bayi biasa­nya memerlukan susu khas yang hanya boleh diberi selepas mendapat nasihat doktor. Malah, susu soya juga tidak disyorkan untuk bayi ­berumur enam bulan ke bawah.

Kebanyakan bayi yang mengalami alahan kepada susu lembu akan sembuh apabila menjangkau 

umur tiga hingga empat tahun. 

Namun, bayi mempu­nyai risiko lebih tinggi untuk mengalami CMPA berterusan jika terdapat ahli keluarga lain yang mengalami masalah alahan atau bayi berkenaan juga menghadapi masalah lain seperti asma, ekzema dan resdung (allergic rhinitis).

Manfaat sumber semula jadi

Pakar perunding diet Indra Balaratnam turut menjelaskan, terdapat sumber protein lain yang boleh membantu mengatasi masalah CMPA. 

“Di pasaran terdapat pengganti susu formula berasaskan protein soya yang diperkaya dengan vitamin dan mineral diperlukan anak. 

“Saya sendiri menyarankan susu formula ini dimasukkan ke dalam diet harian anak-anak. Susu berasaskan soya juga membantu menyokong pertumbuhan dan perkembangan yang normal pada kanak-kanak sama seperti susu formula daripada protein lembu,” katanya. 

Tambahnya, alternatif ini dikatakan selamat dan ­berkesan untuk diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah CMPA.

Namun, ibu bapa perlu mendapatkan susu formula berasaskan soya yang betul dan sesuai untuk membantu perkembangan tumbesaran bayi seiring usia mereka selepas mendapatkan nasihat doktor.

Ujarnya, susu lembu mempunyai tiga bahagian iaitu casein, tairu (curd) dan air dadih (whey - cecair yang tinggal selepas protein dan lemak dikeluarkan). 

Kanak-kanak boleh mendapat alahan protein pada tairu dan air dadih atau kedua-duanya sekali. Justeru, jika ibu bapa mengetahui anak mengalami CMPA, elakkan makanan yang mengandungi sumber susu lembu. 

Ini merangkumi lactate, lactalbumin, mentega, karamel, nuget, puding dan krim yang boleh memberi risiko kepada anak. 

“Sumber nutrisi diperlukan anak untuk membesar boleh diperoleh daripada makanan semula jadi yang lain. Antaranya, riboflavin atau vitamin B kompleks yang terdapat di dalam sayur-sayuran hijau dan ikan. 
“Selain itu, sumber vitamin E pula boleh diperoleh daripada roti, biskut, bijirin, sayuran hijau atau salad dan brokoli. 
“Kacang soya boleh menyumbang kepada sumber kalsium kepada anak. Berikan hidangan yang sihat terutama kepada anak yang boleh menikmati makanan pejal,” katanya. 
Indra turut berkongsi menu minuman smoothie bersama peserta yang menghadiri bengkel bertajuk Conquering Cow’s Milk Protein Allergy (CMPA) In Children. 
Bengkel anjuran Abbott Nutrition Malaysia itu diadakan bertujuan untuk mendidik ibu bapa cara mengurus CMPA dengan betul untuk memastikan anak menjalani proses tumbesaran dengan sihat.


Sumber: hmetro.com.my(150514)

1 comment:

  1. hai puan..saja blogwalking ni.. memg kdg susu lembu tk sesuai dgn sesetgh budak..kesian kan naik dh ruam..moga baik slalu kan..btw.. nak tye..dah pakai ke penapis air cuckoo? king top baru 96 sebulan..ade air 3 suhu tu...saya sue NE cuckoo kl.. nak sue bantu order filter air/udara ke bole wsp sue ya 011-16930576... ade hadiah special tau utk setiap pelanggan kite..wsp la... :)

    ReplyDelete