Monday, May 12, 2014

Mahu Kelihatan Muda? Epal bantu wajah awet muda

Epal, sejenis buah berkhasiat dan serba guna. Pelbagai jenis epal sama ada berwarna hijau atau merah yang mempunyai rasa dan kerangupan berbeza. Ia sarat dengan antioksidan semula jadi yang membantu menjadikan wajah tampak awet muda, selain mengekalkan wajah yang cantik dan ceria tanpa mengira usia.


Malah, mengamalkan pengambilan epal juga dikatakan dapat membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan usus serta jantung. 
Pakar perunding diet Indra Balaratnam berkata, dalam kepesatan hidup hari ini, ramai antara kita menggemari makanan mengikut trend terkini atau segera yang kononnya terbaik untuk kesihatan. 

“Sebagai seorang wanita moden yang perlu mengimbangi antara keluarga dan kerjaya, kita sering mengabaikan kesejahteraan diri sendiri.


“Golongan wanita dan ibu khususnya mungkin memandang rendah khasiat serta manfaat nutrisi daripada amalan memakan epal setiap hari,” katanya.


Hakikatnya, amalan baik nutrisi bermula dengan langkah asas. Epal misalnya bukan hanya boleh dimakan begitu saja, namun rasanya juga enak jika dicampur ke dalam hidangan. 

Ia boleh dipelbagaikan penggunaannya dalam sajian sama ada untuk makanan bayi, dimakan sebagai buah segar atau ditambah ke dalam salad. 

Epal juga mengandungi serat, potasium, vitamin A dan C serta antioksidan yang menjadi nutrien penting untuk kesihatan jantung. 

Menurut hasil kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika, memakan lebih banyak epal boleh membantu mengelak daripada risiko menghidap penyakit jantung dan kardiovaskular. 

Buah bernutrisi tinggi yang mudah didapati pada harga berpatutan ini setanding dengan nilai buah-buahan superfruit lain seperti beri biru dan buah delima, menjadikannya pilihan tepat bagi wanita yang bergerak aktif serta keluarga mereka. 

Satu kajian pada 2003 melaporkan, wanita yang memakan tiga biji epal setiap hari dapat menurunkan lebih banyak berat badan jika mengamalkan diet rendah kalori berbanding mereka yang tidak menikmati buah-buahan. 

“Elakkan daripada mengambil hidangan berat jika mahu memiliki berat badan seimbang dan cuba menggantikannya dengan salad. 

“Malah, kita juga boleh menggalakkan anak untuk menikmati hidangan sihat dengan mengajaknya menyediakan salad bersama. Ini secara tidak langsung dapat mengajar mereka mengenai kebaikan makanan sihat,” katanya. 

Sebaiknya, ambil dua sajian buah-buahan dalam sehari termasuk sebiji epal untuk satu hidangan bagi memberi imbangan terhadap diet. 

Justeru, bagi wanita yang lincah bergerak dan mencari keseimbangan nutrisi dalam kehidupan harian, epal mengandungi nutrisi penting yang boleh memberi kesan positif terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri mereka. 

Itu antara panduan dikongsi Indra pada sesi ramah mesra bersama wakil media bertemakan Apple of My Eye anjuran Washington Apples Commission. 

Pada sesi berkenaan, beliau turut berkongsi tiga resipi mudah menggunakan epal iaitu salad campuran, smoothies cleanse dan snek kudapan kekacang. 

Sementara itu, wakil pemasaran bagi Suruhanjaya Epal Washington Eddie Saw, turut bersetuju mengenai epal yang dianggap buah mengandungi pelbagai nutrisi dan kegunaan itu. 

“Epal Washington ditanam dalam keadaan yang paling sempurna dan disebabkan itu, ia mempunyai saiz besar, berjus dan rangup. 

“Ia sesuai dinikmati atau dijadikan snek untuk kanak-kanak dan dewasa sebagai pilihan makanan yang kaya dengan nutrisi diperlukan badan,” katanya. 
Epal jenama berkenaan boleh didapati dalam pelbagai jenis termasuk paling popular, Red Delicious, Granny Smith (dicadangkan untuk membuat jus), Cameo dan Fuji. 

Selain itu, terdapat juga pilihan epal lain seperti Braeburn, Jonagold Golden Delicious dan Cripps Pink yang mudah didapati hampir sepanjang tahun. 

Pada majlis sama, Sazzy Falak turut berkongsi panduan keibubapaan dan pemakanan hariannya. Bagi ibu yang sering sibuk dengan tugasan di rumah dan pejabat, kebanyakannya bersusah payah untuk menerapkan amalan pemakanan sihat kepada anak mereka. 

Selebriti dan ibu kepada sepasang anak kembar, Sazzy Falak menekankan betapa pentingnya menyemai amalan pemakanan yang sihat dan menggemari buah-buahan sejak kecil. 

“Saya amat bertuah kerana anak kembar saya memang gemarkan epal. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak cerewet makan, saya cadangkan epal dihidang pelbagai cara. 

“Misalnya, cincang dadu atau kisar dan campurkan dengan makanan lain yang mungkin mereka gemari. Epal juga boleh dijadikan sebagai bahan tambahan dalam hidangan yang sihat. 

“Selain itu, saya selalu menambah jus epal menggantikan gula dalam masakan atau gantikan kerepek dengan hirisan epal sebagai snek,” katanya. 
Tambahnya, hirisan epal boleh dicecah mentega kacang sebagai snek enak untuk dinikmati bersama anak-anaknya. 

Dia percaya menggalakkan amalan pemakanan sihat sejak kecil juga dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak melalui kemesraan serta keriangan bersama menikmati keenakan epal. 

Sazzy akui dia bertuah kerana ibu bapanya memang mengamalkan tradisi makan buah-buahan sebelum menikmati hidangan utama kerana mereka memahami kepentingan khasiatnya untuk anak membesar dengan sihat. 
Ibu bapa juga boleh bekerjasama dengan anak untuk menggunakan epal sebagai hidangan pemula yang lengkap dan berkhasiat. 
Serat dalam isi serta kulit epal menghadamkan makanan dan mengelak daripada berlebihan makan, inilah cara paling sesuai untuk menggalakkan anak-anak mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Sumber:hmetro.com.my (120514)

No comments:

Post a Comment