Tuesday, May 6, 2014

Pengajaran dari lawatan Obama

SAYA sedang terlantar demam di atas katil di Jakarta ketika menyaksikan berita kunjungan rasmi Presiden Barack Obama ke Malaysia pada hujung April, baru-baru ini.

Apa yang nyata, rakyat Malaysia masih lagi berduka tentang misteri kehilangan MH370 yang masih belum terungkai.

Kritikan-kritikan pedas media global dan kemarahan rakyat China melahirkan kebimbangan kerajaan akan perkembangan hubungan diplomatik negara dengan komuniti antarabangsa pada masa depan.

Saya menduga, tetamu kita dari Amerika Syarikat itu turut berhadapan situasi lebih kurang sama dalam menangani isu-isu global.

Setelah berminggu-minggu berurusan dengan Putin, Merkel dan Kesatuan Eropah dalam usaha penyelesaian konflik di Ukraine, agenda lawatan beliau ke Kuala Lumpur pastinya tampak lebih mudah: tidak melibatkan perbincangan isu-isu kritikal dan beliau masih sempat merasai makanan-makanan tempatan dan melawat ke beberapa tempat.

Memandangkan ini merupakan kunjungan pertama Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia dalam masa hampir 50 tahun, Obama diberikan sambutan hangat sepanjang lawatan tiga hari di Kuala Lumpur.

Sayangnya, sinar daripada “anak dari Menteng” ini telah semakin pudar sejak zaman kegemilangannya pada 2008.

Namun, dasar “Pivot to Asia” yang dilaksanakan Obama telah memberi beliau sedikit ruang untuk bernafas di tengah situasi politik dunia yang tidak menentu. Di rantau Asia Pasifik, aspek diplomatik, perebutan kuasa, lebih berkisar terhadap pengaruh komersial dan politik yang saling berkait antara satu sama lain, terutama di Kuala Lumpur.

Apa yang pasti, hubungan antara Amerika Syarikat dan Malaysia kini lebih baik berbanding semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir, walaupun tidak dapat dinafikan, retorik tajam semasa zaman 80-an dan 90-an yang sebenarnya tidak mendatangkan sebarang hasil.

Walau bagaimanapun, saya dapat rasakan lawatan Obama tersebut secara keseluruhannya hanyalah sekadar kunjungan biasa yang tidak banyak memberi manfaat kepada negara.

Malah, kunjungan tersebut telah menyerlahkan lagi perpecahan yang berlaku dalam negara kita.

Pujian Obama kepada Malaysia sebagai sebuah model negara Islam mendapat kritikan sinis daripada sesetengah pihak.

Beberapa pemimpin masyarakat sivil yang mengadakan pertemuan dengan Obama telah membangkitkan isu-isu sensitif: termasuk polarisasi agama dan penularan autoritarian.

Lawatan Obama telah mendedahkan perbezaan antara imej yang Malaysia tonjolkan di mata dunia dengan realiti sebenar di dalam negara.

Di sudut lain, kita dianggap sebagai sebuah negara contoh yang berjaya membangun dengan penduduk berbilang kaum.

Namun, pertengkaran politik dan pertelingkahan kaum telah mendedahkan realiti sebenar di Malaysia. Pertelingkahan dan konflik adalah suatu perkara biasa dalam dunia politik. Tetapi bagaimana kita mengendalikan perbezaan itu perlu diambil kira.

Tidak wajar untuk sesetengah rakyat Malaysia beranggapan negatif terhadap gesaan Obama agar setiap masyarakat mempunyai peluang sama rata.

Tetapi apa yang penting di sini adalah, lawatan Obama pada hujung April lepas tidak menjurus sepenuhnya kepada Malaysia.

Sesungguhnya perhatian khusus bagi inisiatif tersebut adalah ke arah China: bagi menunjukkan taring dan pengaruh AS – dalam berdepan gergasi Asia itu.

Agenda kunjungan Obama ke beberapa negara Asia, yang termasuk memberi jaminan sokongan AS kepada Jepun dan mengukuhkan kerjasama ketenteraan dengan Filipina, memberi isyarat jelas kepada China untuk lebih berwaspada.

Namun, kita harus sedar hal-hal ini tidak semestinya memberi manfaat kepada Asia Tenggara. Bukankah rantau ini sepatutnya menjadi “Zon Aman, Bebas dan Berkecuali”?

Menjelang penubuhan Komuniti Ekonomi Asean tahun depan, rantau ini telah mengabaikan kerjasama politik serantau, atau dalam kata lain kita masih lagi menjadi papan catur dalam persaingan kuasa besar.

Kita gagal untuk bersuara dalam satu nada yang sama dalam isu-isu kompleks.

Jelas sekali, lawatan Obama ke Asia telah mendedahkan perpecahan yang wujud di Malaysia dan rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya.

* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah

Sumber:sinarharian.com.my (060514)

No comments:

Post a Comment