Saturday, July 26, 2014

MH17: Malaysia tebus maruah - Najib

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia berjaya mempertahankan maruah apabila menguruskan dengan baik tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine Khamis lepas.

MH17: Malaysia tebus maruah - Najib
NAJIB: Walaupun Malaysia hanyalah negara kecil namun tetap akan mempertahankan maruahnya dalam apa jua keadaan sekalipun - Gambar Fail

Beliau berkata kejayaan membawa keluar mayat mangsa dan dua kotak hitam dari kawasan bergolak di Ukraine itu membuktikan walaupun Malaysia hanyalah negara kecil namun tetap akan mempertahankan maruahnya dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Alhamdulillah dua buah kotak hitam dan mayat mangsa berjaya diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

"Kita berjaya tebus maruah walaupun negara kecil, tetapi kita tetap pegang kepada prinsip iaitu maruah kita tetap dipertahankan walau dalam apa jua keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Anggota Parlimen Pekan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Masjid Tanjung Medang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TNB Pahang Datuk Shaharudin Mohd Simin dan semua anggota dewan undangan negeri dalam Parlimen Pekan.

Pesawat jenis Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dilapor terhempas Khamis lalu di Donetsk, wilayah yang dikuasai pemberontak Ukraine tidak jauh dari sempadan Rusia.

Dalam pada itu Najib berkata tragedi nahas pesawat MH17 juga merupakan ujian buat semua rakyat Malaysia termasuk dirinya sebagai pemimpin di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Selain diuji menahan lapar dan dahaga apa yang menimpa kita juga adalah ujian yang diberi oleh Allah juga.

"Termasuk ujian besar yang menimpa negara ketika ini dengan tragedi MH17 di mana saya terpaksa tangani pada pukul 2-3 pagi untuk menghubungi pemimpin-pemimpin negara luar termasuk pemimpin puak pemisah Alexander Borodai.

"Semoga kita semua terus mendapat rahmat Allah walaupun kita sentiasa diuji," katanya.

Najib pada majlis itu turut berkesempatan memotong pulut kuning sempena ulang tahun ke-61 beliau semalam.


Sumber: www.astroawani.com 240714

No comments:

Post a Comment