Selama 51 jam kehilangan pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia dari radar sebelum bangkai dan mayat penumpang serta kru ditemui, teori yang menimpa pesawat MH370 seakan-akan mempunyai persamaan. Laman sosial dipenuhi dengan pelbagai teori - ada yang munasabah untuk difikirkan, malah ada juga yang melampau dengan teori konspirasi keterlaluan.
Penerbangan QZ8501 hilang dari radar Pusat Kawalan Trafik Udara Lapangan Terbang Soekarno-Hatta selepas 42 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, pada jam 7.18 pagi Ahad lalu. Teori persamaan mengenai kehilangan QZ8501 itu cuma bertahan selama 51 jam, namun teori dan konspirasi berkisar kepada MH370, yang hilang dari radar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 48 minit selepas berlepas dari KLIA menuju ke Beijing, China, ketika di Laut China Selatan sejak 8 Mac lalu, masih berterusan.
Teori berkisar kepada nasib pesawat MAS MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di Ukraine dengan mengorbankan 298 penumpang dan kru, Julai lalu, juga belum berakhir. Teorinya ialah siapa yang menembak dan mengapa - masih belum terjawab. Perbualan rakaman dalam kotak hitam meskipun sudah ditemui, belum didedahkan tetapi jawapan kepada siapa menembaknya tidak akan ditemui pada perbualan itu.
Apa yang pasti, Malaysia melalui MH17 tersepit dalam permasalahan geopolitik di tanah asing - antara Russia dan Ukraine, dan kini pula dikaitkan dengan kejatuhan harga minyak dunia, dalam usaha Amerika Syarikat menekan Russia, antara pengeluar terbesar minyak dunia berikutan isu Ukraine.
Dalam buku The Assassination Business: A History of State Sponsored Murder tulisan Richard Belfield, pengarang mengakui betapa sukarnya untuk mengesahkan sesuatu teori konspirasi sama ada ia memiliki sejumlah kebenaran atau lebih berasaskan imaginasi.
Pengarang Voodoo Histories, David Aaronovitch menerusi tulisannya 'Peranan Konspirasi dalam Membentuk Sejarah Moden', memberitahu Sunday Times: "Memandangkan orang boleh membuat teori konspirasi daripada sesuatu yang dijelaskan sepenuhnya, seperti pendaratan di bulan, ia tidak menghairankan bahawa mereka akan mengisi kekosongan dalam misteri tulen dengan teori konspirasi. Pada dasarnya orang ini tidak boleh menghadapi pemikiran huru-hara mereka untuk menghadapi sesuatu di luar jangka dalam hidup."
Yang lebih memburukkan lagi keadaan ialah perkembangan dunia teknologi maklumat sekarang dan sesiapa saja boleh menyiarkan apa sahaja di laman sosial sama ada melalui blog, Facebook atau Twitter. Misalnya, misteri kehilangan MH370, ada yang mengaitkannya dengan kisah penculikan makhluk asing hingga kepada pesawat itu kononnya disimpan di sesuatu tempat.
Dalam kes terbaharu membabitkan pesawat AirAsia Indonesia sekarang, pelbagai teori sudah menguasai laman sosial dan selagi kotak hitam tidak ditemui serta diketahui perbualan antara juruterbang dan menara kawalan, selagi itu ia tinggal teori. Hakikatnya, orang ramai lebih suka membaca sesuatu berita sensasi, apatah lagi teori konspirasi walaupun belum pasti betul atau semata-mata rekaan atau khayalan.
Sumber: bharian.com.my
No comments:
Post a Comment