“Dua jenazah sudah mendapat kelulusan kerajaan Belanda untuk dibawa pulang iaitu dua anak kepada Tambi Jie (Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afzal, 17), manakala dua lagi masih menunggu kelulusan untuk proses penghantaran balik.
“Buat masa ini, kerajaan Belanda masih belum memberi kelulusan untuk dua lagi jenazah berkenaan dan kami masih menunggu kelulusan proses berkenaan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Selangor, di sini, semalam.
MUHAMMAD Afzal
MARSHA Azmeena
SHAIKH Mohd Nor
LIEW
Liow berkata, pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang keempat-empat jenazah berkenaan tetapi proses untuk mendapatkan kelulusan berkenaan kebiasaannya mengambil masa seminggu.
“Sama ada dua atau keempat-empat jenazah itu dijangka dibawa pulang akan bergantung kepada kelulusan,” katanya.
Dua lagi jenazah yang dikenal pasti adalah Shaikh Mohd Nor Mahmood, 44, yang juga anak kapal MH17 dan seorang penumpang, Liew Yau Chee, 38.
Sehingga kini, sebanyak 35 jenazah rakyat negara ini daripada 44 mangsa sudah dibawa pulang berikutan tragedi nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh berhampiran Donetsk, Timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Difahamkan, lima jenazah mangsa pesawat itu masih menjalani proses pengecaman dan dijangka akan diketahui dalam masa terdekat.
Pada 9 September lalu, jenazah Tambi Jiee dan Benjamin Lee Jian Han dibawa pulang ke Malaysia yang juga mangsa nahas pesawat MH17.
Liow berkata, pasukan keselamatan Malaysia sedang berusaha berunding dengan pihak berkuasa Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia untuk memasuki lokasi nahas untuk meneruskan proses pencarian mayat dan bukti.
Ditanya mengenai proses mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, Liow berkata, 58 objek keras dikesan di selatan Lautan Hindi dan usaha akan dibuat untuk mengenal pasti sama ada objek berkenaan mempunyai kaitan dengan MH370.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL hilang daripada radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan, pada 8 Mac lalu.
Sumber: hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment