Thursday, September 18, 2014

Kenali Personaliti Melalui Kumpulan Darah

Anda seorang yang disenangi ramai? Anda pendiam dan suka menyendiri? Anda peramah dan suka bercakap? Anda seorang yang sensitif dan peka terhadap perasaan orang lain? Ramai yang percaya bahawa kumpulan darah kita boleh menggambarkan sifat seseorang itu. Artikel ini akan cuba menerangkan profil personaliti berdasarkan empat kumpulan darah: A, B, AB, dan O. Cuba bandingkan personaliti anda dengan profil di bawah, dan lihat sejauh manakah kebenarannya! 


Kumpulan darah A 

Mereka yang memiliki darah kumpulan A lazimnya merupakan individu yang tegas. Mereka lebih bersifat konservatif, bertanggungjawab dan sering menepati masa. Merekalah idola di kalangan rakan-rakan. Kerja rumah dan tugasan sentiasa siap pada waktunya. Paling berjimat-cermat dengan wang – sanggup tawar-menawar sehabisnya ketika membeli-belah. Setiap sen adalah saat dihargai. Tetapi sikap berhemah inilah yang menjadikan mereka lebih berjaya dan paling kukuh kewangannya berbanding mereka daripada kumpulan darah yang lain. Ramai pemilik darah kumpulan A kini berjaya sebagai ahli perniagaan, pakar ekonomi dan saintis. 

Mereka mudah mesra dengan individu daripada kumpulan darah yang sama. Mereka juga lebih selesa bergaul dengan individu daripada kumpulan darah AB dan O. Mungkin kerana sifat mereka yang lebih konservatif dan berhati-hati, maka mereka lebih tertarik kepada sifat rasional dan sistematik yang dimiliki individu daripada kumpulan AB. Mereka juga lebih menghargai sifat kepimpinan yang ada pada individu kumpulan O, terutamanya yang dapat membimbing hidup mereka supaya lebih teratur dan sempurna. 



Kumpulan darah B 

Mereka yang memiliki darah kumpulan B lazimnya lebih ceria dan suka bergembira – merekalah yang paling senang teruja, impulsif dan sering bertindak di luar jangkaan. Mereka gemar melakukan sesuatu secara mengejut dan tiba-tiba. Mereka mungkin sanggup memandu selama 3 jam untuk mencuba gerai nasi lemak enak yang dibaca di dalam akhbar pagi ini. Mereka juga mungkin terus sahaja menempah tiket ke Sabah untuk mendaki Gunung Kinabalu hanya kerana beberapa rakan baru bercakap mengenainya. Mereka menceriakan suasana kerana mereka menghargai kehidupan dan akan berbuat apa sahaja untuk menikmatinya. Mereka juga lebih kreatif dan dengan mempunyai bakat dalam bidang seni. Tidak hairanlah jika ramai yang telah berjaya sebagai artis, ahli muzik dan pelakon komedi. 

Mereka daripada kumpulan B selalunya berkawan baik dengan individu daripada kumpulan darah yang sama dan juga rakan-rakan daripada kumpulan AB. Sifat mereka yang bersemangat dan impulsif adalah sesuai dengan sifat kumpulan AB yang lebih tenang dan rasional. Hubungan yang terjalin di antara kedua-dua kumpulan ini lebih berpotensi untuk kekal dalam jangka panjang. 



Kumpulan darah AB 

Mereka yang memiliki darah kumpulan AB adalah pemikir yang hebat – mereka lebih tenang, rasional dan teratur. Mereka menghargai banyak pendapat sebelum membuat sesuatu keputusan. Mereka mudah mengenali dan memahami orang lain. Mereka selalu dipuji atau sebaliknya apabila kelihatan terlalu tenang dan bersahaja meskipun krisis melanda. Mereka terkenal dengan kecenderungan untuk memberikan penjelasan panjang lebar mengenai sesuatu isu, lagaknya seperti seorang profesor. Selain mampu bersikap analitikal, individu berdarah AB juga seorang yang teratur. Contohnya, rak buku di rumah juga mungkin tersusun rapi dan mengikut aturan abjad yang betul! Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai individu daripada kumpulan darah ini yang berjaya sebagai penganalisis, diplomat dan akauntan. 

Mereka daripada kumpulan AB mudah mesra dengan semua orang daripada setiap kumpulan darah. Sikap mereka yang rasional dan kemampuan untuk memahami orang lain memudahkan mereka mengelakkan diri daripada percanggahan pendapat yang mungkin menyebabkan pertengkaran. Kawalan emosi yang baik juga bermakna mereka jarang terjejas akibat sebarang perbalahan. 



Kumpulan darah O 

Mereka yang memiliki darah kumpulan O lahir sebagai seorang pemimpin – mereka berkeyakinan, bercita-cita tinggi dan peramah. Anda mungkin keberatan untuk memandu selama 3 jam semata-mata mencari gerai nasi lemak yang enak di luar bandar. Tetapi rakan anda yang berdarah O dengan mudah boleh memujuk dan menukar fikiran anda. Mereka memiliki karisma dan keyakinan yang cukup tinggi untuk membuatkan anda bersetuju dengan cadangan atau pendapat mereka. Malah, merekalah yang pertama mengangkat tangan apabila guru bertanya di dalam kelas. Mereka jugalah yang mula-mula memberikan pendapat di dalam mesyuarat di pejabat. Keyakinan yang tinggi serta keberanian yang menyerlah menjadikan ramai yang kini berjaya sebagai peguam, pengacara televisyen dan penceramah motivasi. 

Mereka yang berdarah O lebih berkemungkinan untuk berkawan rapat dengan individu daripada kumpulan AB kerana sifat mereka yang berbeza tetapi saling melengkapi antara satu sama lain. Sifat rasional dan tenang yang dimiliki oleh mereka yang berdarah AB membantu mereka membuat analisis dan menyelesaikan masalah. Mereka daripada kumpulan O pula boleh menunjukkan cara-cara menyerlahkan karisma dan membentuk keyakinan dalam pergaulan. 

Namun begitu, mereka di dalam kumpulan O lazimnya tidak begitu mesra antara satu sama lain. Ini kerana masing-masing bercita-cita tinggi dan mungkin sahaja saling bersaing, sama ada di pejabat mahupun di rumah. Oleh yang demikian, individu berdarah O harus lebih berhati-hati dan belajar bertolak-ansur. 



Kita semua berbeza, tetapi sebenarnya sama 

Bagaimana? Tepatkah keterangan personaliti anda? Sebenarnya, tiada asas saintifik untuk mengenal pasti profil personaliti berdasarkan kumpulan darah. Itu hanyalah mitos dan stereotaip. Namun yang pasti, kita mungkin berbeza kumpulan darah, atau kumpulan sosial – tetapi kita semua bersatu melalui darah yang sama merah. 







Sumber: astro.com.my

No comments:

Post a Comment