Tuesday, August 26, 2014

Siew Mei si gadis kental

Mimi Than Siew Mei
Mimi Than Siew Mei

NAMANYA Mimi Than Siew Mei, bertubuh genit berdarah campuran Semai sebelah ibunya dan Cina sebelah bapa berasal dari Ipoh, Perak. Sangat fasih berbahasa Melayu walaupun langsung tidak pernah bercampur dengan masyarakat Melayu sekitar kawasan tempat tinggalnya.


Cari rezeki sendiri

Melihat kepada raut wajah dan gaya percakapannya langsung tidak disangka gadis yang mesra dipanggil Siew Mei ini baru berusia 18 tahun. Siew Mei memulakan cerita dirinya mulai bekerja sebagai penternak ayam di sebuah pusat ternakan yang jauh dari kawasan perkampungan di Tanjung Rambutan, Perak seawal usia 10 tahun lagi bagi menampung keperluan hidupnya.

“Mak dan papa saya bercerai semasa saya berusia enam tahun, sejak itu saya dan adik lelaki dipelihara oleh bapa saudara iaitu adik kepada mak. Selepas bercerai mak dan papa masing-masing berkahwin lain. Suami baharu mak tidak dapat menerima kami dua beradik walaupun mak mahukan kami, manakala papa pula terus berhijrah ke United States (US) dan berkahwin dengan wanita Cina warganegara Amerika Syarikat.

“Pakcik dan isterinya menjaga kami dua beradik sebaik mungkin. Saya tidak mahu membebankan mereka lantas mula bekerja. Sebelum ini saya bersekolah di sekolah jenis kebangsaan (Cina) berdekatan kawasan tempat tinggal tetapi disebabkan terlampau banyak masalahnya menyebabkan saya berhenti dan terus memberi tumpuan untuk mencari rezeki,” katanya kepada Rehal.

Menurut Siew Mei, walaupun ketika itu usianya baru mencecah 10 tahun dirinya langsung tidak memikirkan keseronokan bermain dengan kawan. Apa yang dia tahu dia tersisih dengan keluarga, dia perlu mencari duit dan tidak mahu menyusahkan saudaranya.


Baca kisah nabi

Rutin harian Siew Mei bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir sehingga senja. Saban hari Siew Mei mendengar laungan azan Maghrib, entah kenapa di suatu hari, azan Maghrib daripada masjid berdekatan terkesan di hatinya dan perasaan itu sukar digambarkan.

Dirinya terus terbuai dengan perasaan itu dan dia mula mengorak langkah untuk mencari agama yang perlu dianutinya.

“Jika sebelum ini, kami sekeluarga mengikut papa yang beragama Buddha sungguhpun mak adalah free thinker. Namun sejak mereka bercerai, saya terkontang-kanting tidak tahu mana yang perlu diikut dan sebaik mendengar azan Maghrib, secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pakcik dan makcik saya mendalami Islam.

“Dapat sahaja duit gaji, saya ke bandar untuk mencari buku kisah teladan nabi dan rasul. Saya gemar membaca kisah Nabi Muhammad SAW, selain itu  saya suka melihat khatib membaca khutbah, Muslim yang menunaikan solat berjemaah dan sanggup bangun awal pagi untuk menonton rancangan Jejak Rasul di kaca televisyen.

“Semua yang saya lakukan akhirnya berjaya dihidu pakcik dan makcik. Bermula detik itu mereka tanpa segan menyindir dan melarang saya membaca buku mengenai Islam. Bukan mereka tidak suka Islam tetapi beranggapan masuk Islam itu menjadi Melayu dan mereka tidak sukakan kaum Melayu memandangkan ada segelintir anak muda Melayu yang membuat onar dengan anak gadis masyarakat Orang Asli,” kata Siew Mei yang fasih berbahasa Semai, Mandarin, dan Kantonis.

Dalam usia 15 tahun, Siew Mei tekad untuk berpindah keluar dan menyewa rumah seorang diri, bermula detik itu banyak cabaran mendatang sehingga pernah terjadinya kejadian yang menakutkan.


Tak payah peluk Islam

Walaupun banyak kali bertukar kerja kerana majikannya mendapat tahu dia ingin memeluk Islam, Siew Mei tidak pernah berputus asa. Dia mencari kerja dalam masa yang sama cuba mencari tempat untuk mempelajari Islam.

Dalam meniti perjalanan itu, sering kali dirinya bertemu dengan individu Muslim mengaku sebagai ustaz lantas cuba ambil kesempatan ke atasnya.

"Saya pernah berjumpa dengan seorang ustaz, saya nyatakan padanya ingin mempelajari selok-belok mengenai Islam. Ustaz yang berusia 55 tahun ketika itu berjanji membantu tetapi dengan syarat saya perlu meminum air dari masjid di Kedah, saya hairan tetapi mengiakan sahaja sehinggalah mengetahui dia mahu membawa saya bernikah di Thailand.

"Bermacam dugaan saya tempuhi, ada yang menyuruh saya memakai purdah dan bertudung labuh. Pada saya, Islam itu terletak pada iman dan akal bukannya pada tudung yang labuh. Paling sedih, apabila ada orang Islam yang mengatakan tidak perlu memeluk Islam dan saya beruntung kerana bukan lahir dalam Islam.

Kata mereka, Islam ini rumit dan terlampau banyak had dan halangan. Patutkah mereka berkata sedemikian?," katanya yang bercita-cita untuk berdakwah melalui lagu.

Keadaan itu berlarutan sehingga Siew Mei menemui tokoh pendakwah Perak, Ustaz Hafiz Ng. Syukur kepada ALLAH SWT, Jun 2014 bersempena tarikh lahir, dia akhirnya melafazkan syahadah di Kompleks Pusat Islam Perak. Atas sebab tertentu, Siew Mei dibawa ke Kuala Lumpur dan kini tinggal bersama Abdul Naser Abdul Rahman atau XifuNaser.

Kini, Siew Mei mendalami Islam di Algebra Academy, Subang Bestari, Subang. Selain itu juga, dia mempelajari cara bersolat dengan XifuNaser dan isterinya.

Dia juga bakal melanjutkan pelajarannya ke International Islam Collage University (IIUC), Gombak.

Jauh di lubuk hati kecilnya, Siew Mei mengharapkan mak dan papa serta seluruh ahli keluarganya yang lain menerima agama yang dipilih. Islam atau tidak bukan menjadi alasan untuk mereka memulau dirinya.

Dia tetap akan menjaga mak dan papanya apabila mereka tua nanti. Baginya kasih sayang tidak boleh disempadankan dengan apa agama yang dianuti.


PROFILE :
NAMA: Mimi Than Siew Mei
UMUR: 18
ASAL: Ipoh, Perak
SURAH PILIHAN: Sebelum saya memeluk Islam pun saya suka membaca Surah Al-Fatihah sebab setiap kali baca saya akan berasa tenang

Empat perkara bermakna dalam hidup Siew Mei:-
1- Terkesan dengar azan Maghrib
2- Dapat jumpa papa
3- Mengucap dua kalimah syahadah
4- Detik semasa mak membahasakan dirinya sebagai mak dengan saya, kerana saya tidak pernah memeluk mahu pun mencium tangannya.

Sumber: sinarharian

    No comments:

    Post a Comment