Friday, August 22, 2014

MH17: Bapa tidak sabar tatap jenazah Mohd Ali esok



MUAR: Md Salim Sarmo, 65, bapa kepada Allahyarham Mohd Ali, seorang daripada mangsa nahas pesawat MH17 berkata, beliau dan keluarga tidak sabar untuk menatap wajah, memeluk dan mencium jenazah anak lelakinya itu yang dijadualkan tiba dengan helikopter di Stadium Mini Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pagoh, dekat sini tengah hari esok.

Ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Jayor, Pagoh di sini hari ini, beliau menerima dengan penuh syukur dan gembira mengenai berita keadaan jasad anaknya itu yang dikatakan hampir sempurna sifatnya ketika dimandi dan disembahyangkan di Amsterdam, Belanda.

"Kami sekeluarga reda dan tidak kisah dengan keadaan jasad Mohd Ali tetapi saya dimaklumkan melalui telefon oleh kawan-kawan anak saya dari Belanda yang membantu memandikan dan menyembahyangkan jenazah, mayatnya adalah yang paling sempurna.

"Mereka kata cukup sifat dan tangan juga lembut semasa jenazah dimandikan. Kami cukup lega, berpuas hati dan berterima kasih kerana diberi kebenaran untuk melihat wajah Mohd Ali buat kali terakhir esok," katanya.

Mohd Ali adalah calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

Md Salim berkata, mereka sekeluarga hanya dibenarkan melihat wajah Mohd Ali tetapi dilarang mengambil gambar bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan potretnya untuk tujuan tidak baik.

Dia berkata, persiapan menyambut jenazah dilakukan sejak tiga hari lalu antaranya di IKBN Pagoh, proses menurap jalan ke rumahnya dan kerja-kerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, yang membabitkan petugas Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Parlimen Pagoh, UMNO Bahagian Pagoh, polis dan bomba.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Anggota Parlimen Pagoh dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah antara yang menyambut jenazah Mohd Ali di IKBN.

Beliau sekeluarga berlepas ke Kuala Lumpur pukul 4 petang tadi untuk menyambut ketibaan jenazah esok.

Selepas itu, mereka akan mengiringi jenazah yang akan diterbangkan menggunakan helikopter ke IKBN Pagoh.

Jenazah Mohd Ali akan disemadikan bersebelahan pusara datuk saudaranya, Jawat Suradi, yang meninggal dunia September tahun lalu pada usia 93 tahun, kerana hubungan mereka amat rapat.

"Setiap kali pulang ke tanah air, Mohd Ali pasti melawat datuk saudaranya itu dan kebetulan semasa hari raya puasa tahun lalu, mereka berdua ada mengambil gambar bersama. Tidak sangka pula, mereka akan disemadikan bersebelahan," katanya.

Md. Salim, bapa kepada lapan anak itu, turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membawa jenazah anaknya pulang terutama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Muhyiddin, Kerajaan Malaysia, Malaysia Airlines dan kedutaan Malaysia di Belanda. 

Sumber: viralmediamalaysia

No comments:

Post a Comment