Wednesday, August 20, 2014

Rizab Selangor RM3b punca berebut nak jadi MB?


Kemelut politik Selangor mendapat perhatian ramai, sejak dua minggu ini. Ramai yang masih tertanya-tanya isu sebenar kemelut berkenaan walaupun pelbagai penjelasan sudah diberikan Parti PKR dan Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenainya.
Wartawan BH Ahad, ROHANIZA IDRIS mewawancara 'orang kanan' Abdul Khalid yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin mengenai kemelut berkenaan. Beliau mengisytiharkan keluar PKR selepas Abdul Khalid dipecat. Ikuti temu bual bersama dengan pakar rujuk utama Abdul Khalid dan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar ini, selain pernah berkhidmat dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Wartawan: Apakah sebenarnya berlaku dalam krisis MB Selangor ini serta punca utama Abdul Khalid dipecat dan mahu digantikan dengan Datin Seri Dr Wan Azizah?
Faekah: Jika saya boleh rumuskan secara ringkas, krisis ini tercipta apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar tanpa sebarang sebab munasabah dan hanya lebih setahun selepas pakatan pembangkang yang diterajuinya di Selangor menang besar, lebih tiga perempat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Seperti majoriti masyarakat Malaysia, punca utama sebenarnya masih menjadi teka-teki kepada kami. Hanya mereka yang tahu jawapannya.
S: Bagaimana dengan pemecatan MB Selangor sebagai ahli PKR, adakah saudari berasakan ini taktik kotor parti selepas MB enggan meletak jawatan?
J: Memecat keahlian seseorang daripada mana-mana parti politik adalah hak parti. Persoalannya, adakah pemecatan berkenaan sudah melalui due process berlunaskan prinsip common sense dan natural justice yang sememangnya hak setiap insan. Sekiranya due process tidak dihormati, agak sukar untuk dinafikan ada unsur berniat jahat. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana Abdul Khalid sudah menghantar surat kepada Pendaftar Pertubuhan untuk dilakukan siasatan berkenaan pemecatan ini. Biarlah Pendaftar Pertubuhan menyiasat dengan telus dan bebas.
S: Bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranannya dalam pentadbiran Khalid terutama selepas beliau dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor?
J: Matlamat asal pelantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor untuk memanfaatkan sebaik mungkin kepakaran, pengalaman dan keupayaannya dalam pelbagai bidang, terutama berkaitan ekonomi seperti pelaburan, perdagangan antarabangsa dan kewangan. Ada beberapa projek yang dirujuk oleh Anwar dan berjaya, namun saya tidak pasti projeknya.
S: Apakah alasan yang diberikan PKR untuk menyuruh Khalid berundur sebagai MB? Apa yang mereka mahukan?
J: Fakta terpesong dan dakwaan tidak berasas menghampiri fitnah yang dijadikan alasan menggesa Abdul Khalid meletak jawatan terkandung dalam surat bertarikh 4 Ogos 2014 mengenai pencalonan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar kepada PAS berserta kertas 'Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor'. Alasan lain dinyatakan dalam surat tunjuk sebab daripada PKR kepada Abdul Khalid bertarikh 5 Ogos 2014 yang menyatakan bahawa pada 15 Januari dan 21 Julai 2014 Pimpinan Pusat telah memutuskan bahawa Menteri Besar Selangor hendaklah digantikan dengan Dr Wan Azizah. Namun, pada 22 Julai 2014, Abdul Khalid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan selagi proses dan tatacara pelantikan MB tidak dilaksanakan secara teratur serta tertib. Seterusnya, alasan sama diberikan pada surat jawapan kepada Notis Tunjuk Sebab; surat penjelasan daripada Abdul Khalid kepada PKR bertarikh 6 Ogos 2014. Rujuk juga surat balasan kepada Jawatan Surat Tunjuk Sebab dari PKR kepada Abdul Khalid bertarikh 7 Ogos 2014.
S: Berdasarkan perkembangan semasa, sudah ada sokongan daripada PAS yang mengikut PKR dan DAP untuk menyingkirkan Abdul Khalid sedangkan PAS Pusat belum buat keputusan mengenai beliau?
J: Agak jelas hampir seluruh kepemimpinan PAS sama ada pada peringkat Pusat atau negeri Selangor telah menyatakan sokongan terbuka kepada Abdul Khalid terutama Mursyidul Am, Majlis Syura, Presiden dan Pesuruhjaya Selangor meskipun tidak dapat dinafikan ada segelintir yang bersetuju dengan cadangan PKR dan DAP.
S: Apakah janji parti kepada Abdul Khalid ketika mereka menamakan semula beliau sebagai MB selepas pilihan raya umum lalu. Adakah Tan Sri mungkir janji atau Anwar dan PKR kurang senang dengan tindak-tanduk beliau?
J: Saya tiada pengetahuan mengenai janji yang dimaksudkan. Namun, apa yang penting janji Abdul Khalid kepada rakyat Selangor bahawa kerajaan pimpinan beliau akan meneruskan corak pentadbiran dengan konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' dan 'Hasil Negeri Untuk Rakyat'. Ini termasuk menyelesaikan isu penstrukturan industri air di Selangor dengan mengembalikannya kepada rakyat Selangor. Malah telah ada pelan strategi untuk membolehkan semua rakyat Selangor yang membayar bil air memperoleh saham dalam syarikat air yang akan dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri.
S: Benarkah dakwaan meyatakan saudari sebenarnya 'mastermind' Abdul Khalid?
J: Saya amat terharu dengan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya sayalah mastermind bagi semua langkah dan gerak politik Abdul Khalid. Saya anggap ia satu pujian dan antara penghormatan terbesar dalam karier politik saya! Hakikatnya, kami sentiasa bekerja secara berpasukan tanpa seseorang pun boleh mengambil kredit. Dasar kami adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat berdasarkan lunas Islam dan dan prinsip Rukun Negara dan paling utama jangan memperkecil kemampuan Abdul Khalid. Dia adalah individu Melayu yang mengetuai gerakan Dawn Raid ke atas Guthrie pada masa kebanyakan kita masih di bangku sekolah dulu.
S: Bagaimana saudari melihat isu ini dikaitkan dengan teori 'badi MB Selangor' yang dijatuhkan dengan pelbagai isu?
J: Oh! MB Selangor ada badikah? Kalau benar ada, hairan juga mengapa ramai sangat yang berminat dengan jawatan berkenaan. Saya bukan mahir atau peduli sangat dengan hal sedemikian. Apa yang nyata, Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia, apatah lagi dengan corak bersih, berhemah dan menjaga kepentingan rakyat pimpinan Abdul Khalid. Selangor telah bukan saja menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negara, malah berjaya mengumpul wang rizab lebih RM3 bilion. Agaknya itulah punca badi berkenaan.
S: Adakah saudari percaya rakyat akan menyokong Tan Sri berdasarkan atas apa yang telah dilakukan?
J: Seperti yang saya katakan tadi, sejak 2008 rakyat Selangor berpeluang mendapat MB yang tidak berpolitik dalam menjalankan pentadbiran negeri. Semua hasil negeri diagih secara adil tanpa melihat kaum, agama hatta pegangan ideologi politik. Sebagai contoh, hak mendapat air percuma 20 meter padu diberikan kepada semua rakyat. Begitu juga Skim Khairat Kematian RM2,500 seorang yang berumur lebih 60 tahun. Pentadbiran ini tidak memilih penerima sama ada mereka adalah pengundi ataupun tidak, siapa yang mereka undi pada PRU lalu dan sebagainya. Tiada juga borang keahlian mana-mana parti diedarkan bersama borang permohonan peruntukan. Pasti rakyat selesa dengan corak pentadbiran profesional sebegitu. Saya yakin kerana itu juga rakyat memberikan mandat lebih besar kepada pakatan pembangkang ketika PRU-13. Tambahan pula slogan kita ketika itu adalah 'Meneruskan Kecemerlangan'.
Menyentuh keadaan semasa dan melihat bagaimana tiba-tiba Abdul Khalid cuba digambarkan seorang yang sangat berbeza ketika 2013, pendapat saya secara umumnya, perjuangan umat membabitkan tentangan terhadap kezaliman dan penindasan serta usaha menegakkan keadilan serta kebenaran. Mangsa yang difitnah, dianiaya dan diaibkan harus diberi pembelaan sewajarnya tanpa mengira latar belakang, warna kulit, agama, pangkat, kekayaan dan sebagainya. Jelas, ini semua nilai sejagat yang secara dasarnya menjadi dukungan dan pegangan rakyat. Memandangkan apa yang dilalui Tan Sri sejak sekian lama terutama selepas Langkah Kajang, Insya-Allah, saya yakin lebih ramai rakyat sedar dan faham duduk perkara sebenar dan akan memberi sokongan kepada Tan Sri dalam pelbagai bentuk sama ada secara terang atau dalam diam.
S: Adakah selama ini Abdul Khalid tidak memberi peluang kepada Anwar untuk campur tangan dalam hal ehwal Selangor dan diketepikan atau dalam kata lain Abdul Khalid sukar dikawal parti?
J: Saya rasa ramai bersetuju dengan pendapat bahawa demi menjunjung prinsip urus tadbir yang baik dan berbeza dengan zaman sebelum ini, hal ehwal pentadbiran negeri sepatutnya perlu bebas daripada pengaruh politik melampau. Meskipun demikian selain mempunyai barisan EXCO daripada PKR, PAS dan DAP dalam pentadbiran Abdul Khalid, dengan tujuan membawa aspirasi parti masing-masing, pimpinan lain malah rakyat biasa boleh memberi cadangan atau kritikan membina ke arah penambahbaikan menerusi saluran dan mekanisme yang betul. Ini sudah dilakukan apabila kerajaan negeri menjemput semua pimpinan Ahli Parlimen, ADUN, Ahli Majlis, penghulu, ketua kampung dan ketua komuniti untuk turut serta dalam Dialog Pembentangan Belanjawan Negeri. Tujuannya untuk sama-sama merangka bagaimana hasil di Selangor harus dan patut dibelanjakan.
S: Sehingga kini Abdul Khalid nampak tenang. Adakah saudari berasakan beliau akan melakukan apa saja untuk pertahankan diri termasuk menyertai parti lain.
J: Manusia yang mempunyai akal, harga diri dan maruah akan melakukan perkara sama seperti Abdul Khalid. Daripada seorang yang dikatakan telah menjadi model pemimpin kepada pemerintahan pakatan, tiba-tiba digambarkan sebagai manusia yang buruk sekali. 'Dossier' (dokumen) yang dikeluarkan oleh PKR sebagai alasan untuk menjadikan pemecatan Abdul Khalid sebagai sah dan halal, agak mirip dengan 50 Dalil yang dikeluarkan satu ketika dulu.
Abdul Khalid tiada selain terus tegak untuk membersihkan nama baik beliau. Jika kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan, Insya-Allah kita dapat rasa nikmat ketenangan, keselesaan dan dipermudahkan dalam apa juga keadaan.
S: Benarkah Abdul Khalid akan terus mempertahankan jawatan MB?
J: Menyentuh pendirian Abdul Khalid yang kini cuba digambarkan kononnya beliau dalam apa cara sekalipun mahu mempertahankan jawatan MB, itu adalah gambaran jahat. Tidak tepat mengatakan Abdul Khalid sebegitu kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan pelantikan dan pemecatan Menteri Besar hendaklah dilakukan secara teratur tertib dan berhemah. Pelantikan Menteri Besar tidak dilakukan di tepi jalan atau di dalam hotel mewah. Menteri Besar Selangor dilantik menurut peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Selangor. Di sana dinyatakan dengan jelas tatacara, proses adab dan adatnya.
Cuba bayangkan jika Abdul Khalid menurut perintah PKR dan meletakkan jawatan seperti yang diputuskan mereka pada 21 Julai lalu. Pada ketika itu, seluruh barisan EXCO akan gugur dan Selangor tidak mempunyai pihak berkuasa negeri.
Sehingga hari ini, PKR, PAS dan DAP masih gagal mencapai kata sepakat siapa calon yang akan menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. Itu belum lagi mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor. Proses akan mengambil tidak kurang tiga hingga empat minggu. Situasi di Selangor akan bertambah cacamarba tanpa pihak berkuasa negeri. Abdul Khalid cuba menyelamatkan negeri ini daripada bertambah kacau, sebaliknya pula beliau dituduh gila kuasa. Oleh kerana itu juga beliau dipecat daripada PKR kononnya melanggar keputusan parti.
S: Ada kemungkinan Abdul Khalid bakal menyertai parti lain selepas ini kerana PAS enggan menerima mereka yang tidak menyertai mana-mana parti dalam pakatan?
J: Mengenai perkara itu atau Abdul Khalid bakal menubuhkan parti baharu, saya rasa lebih baik kita tunggu dan lihat apa tindakan beliau selanjutnya. Sehingga itu, marilah berdoa semoga Abdul Khalid dan kita semua sentiasa diberi petunjuk dan hidayah Allah SWT.


No comments:

Post a Comment