September 2, 2014
SEREMBAN - Juruterbang MAS, Kapten Azlan Aboo Bakar dan mendiang Kapten Eugene Choo Jin Leong sering berganding, terbang ke luar negara bersama.
"Kali ini kami masih terbang bersama tapi dalam keadaan yang sangat berbeza," katanya selepas membawa pulang sembilan jenazah mangsa tragedi MH17 dari Amsterdam termasuk dua rakan sejawatannya, Eugene dan Kapten Wan Amran Wan Hussin.
Azlan merasakan penerbangan pesawat MH19 selama 12 jam 14 minit itu seolah-olah 'kosong', sangat berlainan sekali rasanya, dan perasaan itu akan kekal dalam lipatan memori hidupnya.
"Amat dahsyat rasanya untuk menghadapi saat ini.Sebelum itu kami berdua (saya dan Eugene) kerap berganding terbang bersama ke luar negara dan kali ini terasa sangat 'kosong' dan sunyi kerana terbang dengan membawa abu mayatnya pulang (ke tanah air)," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Azlan berkata, hubungan rapat beliau dan mendiang adalah lebih daripada seorang abang dan adik kerana mereka 'membesar' bersama-sama dalam MAS.
"Saya dan mendiang kerap merancang percutian keluarga serta banyak menghabiskan masa terluang di luar waktu kerja bersama-sama. Terlalu banyak kenangan selama 24 tahun perkenalan kami, saya berasa kehilangan dan tentunya ini juga kehilangan yang sangat besar buat MAS," katanya.
"Mendiang seorang yang sangat komited dengan tugas, beliau sangat disayangi dan disenangi oleh semua rakan, tiada seorang pun yang pernah mempunyai masalah semasa bertugas dengan beliau," jelas Azlan.
Beliau berkata mendiang Eugene juga merupakan seorang juruterbang yang berpengalaman hampir 20 tahun berkhidmat dengan MAS dan merupakan antara tenaga pengajar di Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) sejak lima tahun lalu.
Berkongsi kenangan, Kapten Azlan berkata, mendiang seorang yang ceria, penuh humor, bapa dan suami yang penyayang serta meminati aktiviti lasak terutama sukan bermotor.
"Dua hari sebelum berlepas ke Amsterdam, mendiang (Eugene) ada datang ke rumah saya dengan aksi yang sungguh gembira untuk menunjukkan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang baharu sahaja dibelinya. Itulah pertemuan terakhir kami," kata Azlan.
Sejurus selepas pesawat komersial MH19 Boeing 777 dari Amsterdam tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8.25 pagi tadi, Azlan terus mengiringi abu mayat rakannya Eugene pulang ke kediaman di Sri Carcosa dekat sini untuk memberi penghormatan terakhir.
Mendiang meninggalkan seorang isteri Ivy Loi 42, dan dua orang anak lelaki Melvic Choo, 13, dan Scott Choo, 10.
Abu mayat Eugene akan disimpan selama tiga hari bagi memberi peluang keluarga dan rakan membuat penghormatan terakhir di kediamannya yang terletak di Seremban2 sebelum disemadikan di Nilai Memorial Park, Negeri Sembilan pada pagi Khamis .
Pesawat Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dipercayai ditembak jatuh. - Bernama
Sumber: sinarharian
No comments:
Post a Comment