Tuesday, September 2, 2014

MH17: Pesawat MH19 bawa 9 jenazah selamat mendarat di KLIA hari ini02/09/2014

PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) MH19 yang membawa tujuh jenazah rakyat Malaysia dan dua jenazah rakyat Belanda tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi ini. - Foto BHOnline

SEPANG: Pesawat komersial MH19 yang membawa sembilan jenazah, termasuk dua juruterbang pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, jam 6.37 pagi ini.
Pesawat berkenaan membawa lima keranda dan empat bekas abu - tiba dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda sebelum bergerak ke Kompleks Bunga Raya, bagi istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17 yang dijadual diadakan jam 8.30 pagi ini.
Jenazah dua juruterbang pesawat MH17 iaitu Kapten Wan Amran Wan Hussin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong serta dua warganegara Belanda adalah antara sembilan jenazah yang tiba pagi ini.
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada tujuh warganegara Malaysia, dua beragama Islam manakala lima lagi bukan Islam, melibatkan tiga penumpang dan empat anak kapal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet, dan waris keluarga mangsa tragedi akan menghadiri istiadat itu dan hadirin akan bertafakur selama seminit, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dua jenazah warga Belanda iaitu Paul Goes serta Fan Shun Po adalah penumpang MH17 dan bendera Belanda diletak masing-masing di atas keranda serta bekas abu mereka.
Lima jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan dan tempat persemadian menggunakan kenderaan jenazah manakala empat jenazah lagi akan diterbangkan menggunakan dua helikopter EC725.
Dua jenazah akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang manakala masing-masing satu jenazah ke Bukit Mertajam dan Teluk Intan.
Bagi penerbangan ke Bukit Mertajam, jenazah terlebih dahulu akan dibawa ke Taman Skyline, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dengan kenderaan jenazah sebelum diterbangkan ke Bukit Mertajam.
Sumber: beritaharianonline

No comments:

Post a Comment