Wednesday, September 10, 2014

Kesihatan: Nafas pendek tanda hiperventilasi

Hiperventilasi adalah keadaan seseorang itu bernafas dengan laju dan pendek seolah sesak nafas. Biasanya berlaku secara tiba-tiba dan tidak disertai dengan simptom lain seperti batuk, sakit dada dan semput.
Biasanya ia berlaku disebabkan sama ada pesakit itu takut (anxiety) ataupun disebabkan tekanan. Contohnya, apabila pesakit mula membayangkan sesuatu yang buruk berlaku.

Misalnya bermula dengan sakit dada, pesakit mula berfikir sakit itu adalah sakit jantung. Lalu simptom sakit dada itu akan disertai dengan jantung mula berdebar kencang dan akhirnya hiperventilasi atau bernafas laju ini berlaku. Tekanan memikirkan soal peribadi, masalah kerja dan masalah ketika jalan sesak juga boleh mencetus berlakunya hiperventilasi. Emosi yang terlalu risau dan tertekan menyebabkan hati tidak berasa tenang yang akhirnya menyebabkan jantung berdegup kencang disertai hiperventilasi.
Biasanya, hiperventilasi ini akan disertai tangan dan kaki kebas diikuti pening, loya, muntah dan berpeluh menyimbah dan paling teruk, boleh menyebabkan seseorang itu pengsan atau pitam. Ini berlaku kerana ketika hiperventilasi, nafas pesakit adalah pendek dan menyebabkan oksigen yang masuk ke dalam badan tidak mencukupi. Selain itu, karbon dioksida yang sepatutnya dikeluarkan daripada badan tidak dapat dikeluarkan dengan sempurna selain menyebabkan ia bertakung dalam badan dan akhirnya simptom tadi berlaku.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ketika peringkat awal terjadinya hiperventilasi ialah pesakit perlu bertenang dan cuba elak daripada memikirkan perkara berat dan serius. Renggangkan pakaian supaya dapat bernafas dengan sempurna dan hendaklah menarik nafas sedalam mungkin beberapa kali. Selepas itu, mereka perlu berjumpa doktor untuk memastikan hiperventilasi ini bukan disebabkan masalah jantung, paru-paru dan mungkin juga tiroid. Beberapa ujian perlu dijalankan seperti electrocardiogram (ECG), sinaran-X dan ujian darah. Jika semuanya normal, pesakit akan diajar teknik bernafas dengan betul jika berulang. Apabila masalah berlarutan, penilaian daripada pakar bahagian pikatri adalah perlu untuk rawatan lanjut.

Sumber: hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment