Cuti merdeka awal minggu saya singgah di sebuah restoran di bandar Muar, dan prihatin pada apa yang telah berulang kali dilihat di mana-mana sebelum ini. Ini sudah menjadi pandangan biasa di negara merdeka ini.
Semua meja penuh, dan boleh kata setiap orang menekan telefon bimbit dan gajet-gajet lain, bersosial di maya sementara pesanan dihidangkan. Memang hak mereka untuk melayan FB, Twitter, sms dan lain-lain. Tetapi sepatutnya hak anak-anak pun perlu diutamakan!
Sepasang suami-isteri di sebelah meja saya asyik dengan telefon bimbit masing-masing. Suami menekan, kemudian tersenyum seorang diri. Isteri pun memerhatikan skrin kecil di tangan, nampak serius sangat seolah-olah dunia akan kiamat.
Simpati saya pada dua kanak-kanak – lelaki dan perempuan – dalam usia empat atau lima tahun, gelisah tidak keruan dengan sikap orang tuanya yang asyik tertumpu pada HP. Tidak pasti berapa lama lagi makanan akan tiba.
Si kakak sudah beberapa kali merengek dan mengadu pada ayah, tetapi jelas sekali ayah tidak menghiraukan sebab asyik menekan jari pada gajet. Si adik pun sudah mula bosan, menarik-narik lengan baju ibunya, tetapi ibunya lebih seronok melihat skrin di tangan.
Sehingga makanan dihidangkan ayah dan ibu masih melayan teman-teman di media sosial, membiarkan dua anak kecil itu makan sendiri-sendiri. Hanya setelah si kakak tersinggung gelas dan minuman tumpah di meja, barulah ibu bapa tersentak.
Ibu nampak ada sedikit prihatin, mengelap meja dengan tisu, kemudian menyuapkan anak-anak. Tetapi apabila semua sudah okey, kedua orang tua terus bertik-tik-tik menekan jari. Si kecil terus dibiarkan.
Ini bukan insiden terpinggir, tetapi sudah menjadi pandangan biasa. Baik di restoran, di taman, di pusat beli-belah, di ruang meletak kenderaan, hatta di tandas awam, anak-anak tidak diberi tumpuan, gara-gara FB.
Ramai setuju bahawa masyarakat kita, termasuk ibu bapa, sudah semakin ketagih dengan FB dan lain-lain media sosial. Dalam kes suami-isteri di restoran mi bandung berkenaan, mereka sudah menjadi penagih tegar. Apabila sudah bertweet dan main FB, semua lupa apa yang terjadi di keliling mereka.
Jika di luar rumah, di depan mata umum, mereka asyik dengan FB, bagaimana agaknya keadaan penagih tegar ini semasa di rumah? Mungkin tidak sempat memasak untuk anak-anak, boleh jadi juga pakaian kotor bertimbun di dalam bilik.
Lebih parah lagi sekiranya bergelap dalam selimut pun, masih ada cahaya dari HP yang sedang aktif melayari dan melayani laman sosial. Memang ketagihan FB tidak kira di atas katil mahu pun dalam selimut. Lebih teruk daripada virus ‘ebola’.
Sebab itu ada cadangan supaya laman sosial disekat, bukan sebab pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak, tetapi sebab media maya itu dijadikan medan menyebar fitnah dan menghasut. Pada hemat saya pengabaian terhadap anak-anak sama sahaja bahayanya dengan menghasut.
Begitu pun secara peribadi, saya tidak setuju FB disekat. Kita sekarang ada 15 juta pemegang akaun FB, kalau disekat susah juga. Lagi pun FB dan lain-lain media sosial banyak memberi faedah dan pengetahuan sekiranya digunakan secara berhemah dan bijaksana.
Memang dunia siber mengandungi semua. Ada berjuta ilmu pengetahuan, ada berjuta sampah-sarap. Sebagai pengguna, khasnya ibu bapa, perlulah kita memilih mana yang bermanfaat. Masalah kita ialah memilih sampah sehingga melupakan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Tidak juga saya menyalahkan Mark Zuckerberg. Apabila mula mencipta dan membangunkan FB pada 2004 dia hanya ingin menyediakan medan maya untuk insan seluruh dunia berinteraksi, berkongsi yang baik-baik.
Tetapi manusia, termasuk sesetengah orang kita, selalu menyalahgunakan kemudahan dan kecanggihan. Walaupun ada banyak yang baik, sentiasa ada cenderung untuk memilih yang tidak baik.
Malang sekali sekiranya ibu bapa menjadi penagih tegar FB, sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Berpada-padalah menekan jari-jemari, jangan asyik menekan sehingga anak-anak tidak keruan.
Sumber: sinarharian
No comments:
Post a Comment