Washington – Seorang lagi wartawan Amerika mati dipenggal dipercayai ekoran tindakan ketenteraan berterusan negara Uncle Sam terhadap kumpulan jihadis.
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka “Islamic State” itu mengeluarkan satu lagi video memaparkan seorang militan mengelar leher seorang tahanan warga Amerika.
Dalam rakaman terkini itu, Steven Sotloff, 31, berkata dia menjadi mangsa keputusan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang bertegas meneruskan serangan udara terhadap kumpulan jihadis.
Militan yang berada di sebelah Sotloff kemudian menyelar serangan udara Amerika di sekitar Mosul Dam di Iraq.
“Saya sudah kembali, Obama, dan saya datang lagi kerana keangkuhan dasar luar negara awak terhadap Islamic State,” katanya dalam loghat British.
Di akhir video itu yang ditemui di internet oleh SITE yang bertanggungjawab mengawasi pergerakan pengganas, dia turut mengancam membunuh seorang lagi tahanan yang dipercayai seorang warganegara British.
“Selagi peluru berpandu anda terus menyerang kami, pisau kami akan terus menyerang leher orang anda,” dia berkata sebelum berpusing dan mengelar leher Sotloff.
“Kami menggunakan kesempatan ini untuk memberi amaran kepada kerajaan-kerajaan yang berpakat dengan perikatan jahat Amerika yang menentang Islamic State untuk berundur dan meninggalkan orang kami.”
Keluarga Sotloff yang tinggal di Miami mengeluarkan kenyataan melalui wakil mengesahkan rakaman itu.
“Keluarganya tahu tentang tragedi ini dan mereka sedang berkabung. Tiada komen buat masa ini.”
Bulan lepas, seorang wartawan Amerika Syarikat, James Wright Foley, 40, telah dibunuh dengan cara sama oleh kumpulan itu sebagai tindakan balas dendam terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq.
Wartawan agensi berita GlobalPost ini hilang sejak November 2012 selepas diculik ketika membuat liputan di Taftanaz di utara Syria.
Video pembunuhannya turut dimuat naik ke media sosial.
Selepas kematian Foley, ibu Sotloff, Shirley, telah menghantar mesej video kepada pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi merayu agar anaknya dibebaskan sambil menegaskan bahawa dia tidak mempengaruhi sebarang dasar AS.
Jurucakap AS berkata Washington sedang cuba mengesahkan rakaman tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata rakaman itu memaparkan tindakan yang “cukup keji, menjijikkan.”
Pembunuhan kejam terbaru ini turut meningkatkan tekanan ke atas Obama untuk mengukuhkan pendirian beliau terhadap kumpulan pengganas itu.
Namun beliau mengakui bahawa Washington belum mempunyai strategi untuk menangani IS di lokasi utamanya di timur Syria.
No comments:
Post a Comment