SEBELUM ini, sudah ada desas-desus mengenai cara kematian pelawak terkemuka, mendiang Robin Williams, ini.

Menurut kenyataan Jabatan Sheriff Wilayah Marin, pelakon filem, Good Will Hunting ini ditemui mati pada Isnin lalu dengan cara membunuh diri dalam keadaan tergantung di kediamannya di Tiburon, California Utara.

Dalam penemuan itu, polis mengesahkan terdapat juga kesan luka keratan pada pergelangan tangan kirinya.

Sehingga ke hari ini, peminat masih tertanya-tanya apakah punca yang menyebabkan aktor berkenaan mengambil langkah sedemikian untuk menamatkan hidupnya.

Pun begitu, penyebaran gambar yang dikatakan mendiang amat mengejutkan peminat seluruh negara apatah lagi, ia merakam saat pelakon ini masih tergantung.

Meskipun gambar berkenaan hanya menampakkan sisi belakang, namun ramai yang membuat andaian bahawa itulah aktor kesayangan mereka!

Melihat keadaan individu dalam gambar berkenaan, ianya jelas menunjukkan gambaran yang sama seperti cara kematian mendiang dengan tangannya yang masih terikat dan tergantung di tepi katil.

Namun, sehingga kini belum ada yang tampil mengesahkan gambar berkenaan termasuk polis dan keluarganya.

Masalah kewangan serius

Menurut laporan akhbar antarabangsa, polis mengesahkan Williams ditemui mati di dalam bilik tidur oleh pembantu peribadinya pada jam 11.55 pagi, Isnin selepas ketukan tidak berjawab.

Ketika mayatnya ditemui, isterinya, Williams, Susan Schneider, sudah pun keluar meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja.

Dikhabarkan, pembantu peribadi Williams menemui pelakon veteran itu dalam keadaan berpakaian penuh dengan sebilah pisau poket yang mempunyai kesan darah berhampiran mayatnya.

Ada yang memberitahu, Williams turut meninggalkan sepucuk nota, namun polis tidak dapat mengesahkan atau pun menafikannya.

Walaupun Divisyen Koroner Pejabat Sheriff mengesyaki kematiannya adalah bunuh diri akibat asfiksia, namun ada cerita di sebalik kematian pemenang anugerah Oscar ini.

Sebelum ditemui mati, Williams, 63, dilaporkan pernah memberitahu beberapa rakannya mengenai masalah yang sedang dihadapi.

Menurut sumber dari kalangan kenalannya, Williams mengakui dia sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius.

Malah, beberapa minggu sebelum membunuh diri, dia juga turut menjalani rawatan pemulihan untuk masalah kemurungan.

Menyelak kembali aset dan kekayaan yang dimiliki, Williams dianggarkan berjaya mengumpul lebih RM316 juta.

Namun, sebahagian besar daripada jumlah itu dikatakan habis ekoran kes penceraian yang terpaksa dibayar kepada dua bekas isterinya.

Malah, Williams pernah cuba untuk menjual ladangnya seluas 600 ekar di California. Namun, cubaannya gagal walaupun dia berusaha menurunkan nilai semasa hartanah berkenaan.

Masalah dadah, penceraian

Walaupun keputusan penuh toksikologi masih belum diterima, namun umum tahu aktor ini turut bergelumang dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah yang teruk.

Malah, pada era 80 an, pelawak ini banyak menghabiskan masa dan wangnya untuk mengambil dadah.

Berdepan dengan masalah ketagihan serius, Williams pernah berusaha untuk keluar daripada belenggu itu, namun pendiriannya tidak tetap.

Malah pada 2006, dia kembali mendapatkan bahan terlarang itu dan kemudiannya membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan di pusat pemulihan di Minnesota.

Dalam temuramah pada empat tahun lalu, mendiang pernah mengeluarkan kenyataan untuk membunuh diri kerana masalah dadah, namun dia melupakan hasrat itu.

Pernah berada di tahap populariti tinggi, Williams terkenal dengan sikap pemurahnya dan dikenali sebagai selebriti yang tidak angkuh.

Malah, ketika zaman kegemilangannya, Williams tidak pernah lokek dalam mengagihkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Hal ini menjadi tekanan buat dirinya apabila diambang kejatuhan kerana dia tidak dapat lagi membantu golongan berkenaan.

Perkara ini turut diakui oleh rakannya dan menganggap mendiang sebagai selebriti yang tidak sombong dan mesra.

Menurut sumber, pelakon filem, Good Morning Vietnam ini mula diambang kejatuhan selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Valerie Velardi pada 1988.

Kehidupannya semakin bercelaru setelah memilih untuk berpisah dengan isteri keduanya, Marsha Garces pada 2008.

Malah, sebelum ini, Williams pernah berkata, 'penceraian adalah tersangat mahal' dan kerana penceraian mampu mengosongkan koceknya.

Setiap penceraian yang dilalui, dia kehilangan jutaan ringgit apabila terpaksa membayar beberapa pampasan dan lain-lain tanggungan.

Banyak tanggungan

Sebelum ini, mungkin ramai yang tidak tahu akan bebanan yang ditanggung bintang terkenal ini apatah lagi, dia bukanlah selebriti yang sering mencanang kehidupan peribadinya.

Turut meninggalkan kemewahan demi tanggungan, Williams memilih untuk berpindah ke kediaman warisan ibunya untuk mengecilkan perbelanjaan.

Ekoran masalah kewangan yang dihadapi, Williams terpaksa mengorbankan popularitinya dengan menerima watak-watak yang kurang digemari dengan bayaran yang lebih rendah.

Selain daripada perbelanjaan harian, bil dan beberapa kos lain, Williams perlu membiayai tiga anaknya,  Zachary, 31, Zelda, 25 dan Cody, 22.

Menyelak kembali zaman kegemilangannya, Nama Williams melonjak naik sebagai penghibur Amerika selepas muncul dalam sitkom televisyen, Mork & Mindy.

Mendiang kemudian berlakon dalam beberapa filem termasuk Good Morning Vietnam pada tahun 1987, Dead Poets Society (1989) dan Good Will Hunting  (1997).

Sumber: sinarharian