PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST)  bermula 1 April 2015 dijangka meningkatkan harga rumah antara empat hingga enam peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad (MK Land), Lau Shu Chuan berkata, peningkatan tersebut bergantung kepada perbezaan perniagaan antara pemaju.

“Kita boleh lihat kemungkinan kenaikan harga apabila GST dilaksanakan tetapi pada masa sama kita juga melihat kebarangkalian untuk bekerjasama dengan kontraktor dan pembekal bagi mengurus dan mengekalkan kos pembinaan rumah.

“Oleh itu, sebagai pemaju kami cuba untuk terus memberikan nilai tambah kepada pembeli terhadap wang yang dibelanjakan oleh mereka,” katanya ketika ditemui di Galeri Jualan MK Land di Damansara Perdana, baru-baru ini.

Shu Chuan berkata, kenaikan harga rumah sudah lama berlaku dan setiap tahun harga tersebut meningkat mengikut nilai pasaran.

“Mengikut carta yang kami peroleh harga rumah di Selangor bagi tempoh 23 tahun lalu meningkat sebanyak 340 peratus dengan purata peningkatan lebih dari 10 peratus.

“Jadi untuk mengatakan harga rumah akan meningkat lima hingga 10 peratus disebabkan GST adalah kurang tepat kerana kita sedia tahu harga rumah di sekitar Lembah Klang meningkat lebih 10 peratus bagi tempoh dua tahun lalu,” katanya.

Lantaran itu, MK Land sentiasa memikirkan cara untuk memberi nilai tambah kepada pembelinya dalam menghadapi kenaikan harga rumah.

Sementara itu, baru-baru ini, MK Land melancarkan fasa pertama The Rafflesia @Hill di Damansara Perdana yang melibatkan pembinaan 36 unit rumah berkembar tiga tingkat Semi-D.

Menurut Shu Chuan, The Rafflesia @ Hill mengandungi 106 unit rumah yang mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM350 juta dengan empat fasa pembangunan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Sumber: sinarharian