PARACETAMOL dikatakan merupakan ubatan yang paling biasa dipreskripsi untuk demam selesema dan flu serta penghidap demam denggi. Preskripsi paracetamol bertujuan mengurangkan suhu badan yang meningkat serta membantu mengurangkan rasa sakit.

Rasa sakit yang didapati biasa dialami penghidap demam yang berpunca daripada inflamasi atau keradangan termasuk sakit kepala, sengal sendi, sengal otot dan sakit belakang. Paracetamol yang juga dipreskripsi kepada kanak-kanak memiliki kelemahan iaitu ia dikatakan boleh menimbulkan kesan/gejala sampingan buruk contohnya kegagalan buah pinggang berpunca daripada pengambilan berlebihan.

Ramai pengkritik percaya walaupun ia diambil pada sukatan dan tempoh yang dicadangkan, namun kesan sampingan buruk boleh dialami mereka yang sensitif kepada paracetamol. Sensitiviti kepada sesuatu bahan yang dimakan/minum bukan sahaja berlaku terhadap ubat-ubatan malah berlaku kepada makanan, ubatan herba, pewarna, perisa, bahan pengawet dan suplemen.

Penulis percaya pembaca budiman pernah mendengar terdapat individu yang sensitif kepada rumpai laut dan garam! Tindak balas yang kurang menyenangkan seperti kulit mengalami ruam atau gatal ialah antara sensitiviti terhadap rumpai laut.   

Sebenarnya terdapat pelbagai bahan yang dikategorikan sebagai bahan rawatan alternatif yang boleh diambil sama ada secara bersama (1 jam sebelum atau selepas) dengan ubat-ubatan moden yang dipreskripsi doktor atau dijadikan sebagai agen rawatan utama.


Rawatan alternatif

Bahan yang bersifat perangsang/pengukuh sistem imun (immunostimulant), antivirus, antibakteria dan anti keradangan adalah bahan sesuai diambil ketika seseorang baharu sahaja mengalami simptom demam atau sedang mengalami demam berpunca daripada jangkitan virus.

Sifat antibakteria contohnya seperti dimiliki oleh neem (daun mambu), bunga cengkih, thyme, dan oregano dapat membantu mencegah atau merawat infeksi sekunder yang dialami penghidap demam selesema atau flu.

Beberapa dekad kebelakangan ini terdapat pelbagai kajian sains menunjukkan bahawa sistem imun manusia dipengaruhi kestabilan flora usus. Gaya hidup termasuk makanan yang sesuai dipercayai dapat membantu mengharmonikan koloni flora yang sebahagian besar terdiri daripada bakteria.

Makanan yang tinggi karbohidrat terutama karbohidrat terproses dipercayai menyebabkan bakteria jahat mendominasi usus. Sebaliknya makanan terdiri daripada protein, lemak dan karbohidrat yang seimbang pula dipercayai membantu meningkatkan jumlah bakteria baik.


Sungguhpun beberapa kajian terkini menunjukkan bakteria jahat juga menjalankan fungsi bermanfaat kepada kesihatan manusia namun keharmonian koloni kedua-dua jenis bakteria baik dan jahat setakat ini dipercayai adalah jauh lebih penting.

Sesetengah doktor konvensional yang memahami kesan makanan terhadap beberapa jenis tahap kesihatan akan menasihatkan agar penghidap diarea mengelakkan daripada makan buah-buahan.

Ini kerana buah-buahan terutama jenis yang manis dan kurang serat akan memburukkan lagi keadaan diarea. Keadaan ini berlaku dipercayai berpunca dari karbohidrat ringkas meningkatkan jumlah bakteria jahat dan seterusnya menyebabkan koloni bakteria baik dan jahat menjadi tidak seimbang.

Orang Cina biasa memberi sup yang mengandungi ayam dan beberapa jenis herba termasuk cendawan. Ayam kaya dengan protein di mana ia membantu meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus. Fungsi protein dibantu secara sinergi oleh beberapa jenis herba yang ditambah ke dalam sup.

Amalan mengambil sup rebusan tulang yang dimasak dengan api sederhana selama beberapa jam diamalkan orang Barat yang mengamalkan pemakanan tradisional dalam menangani penyakit. Sum-sum tulang sebenarnya kaya dengan asid amino iaitu bahan binaan asas protein. Sup ayam/ikan orang Cina yang mengandungi herba dan sup tulang orang Barat dikatakan mujarab dalam membantu meredakan demam seperti demam selesema, flu atau sebarang demam berpunca daripada jangkitan virus.


Pengambilan vitamin C

Orang Melayu juga tidak kurang hebat dari segi menyediakan beberapa jenis sup termasuk sup tulang, sup ayam atau sup daging. Sup ini termasuk sup ikan yang dimasak dengan api sederhana juga mengandungi jumlah asid amino tinggi.

Selain membantu mengharmonikan koloni bakteria baik dan jahat, sup tersebut yang diambil ketika masih panas membantu mengeluarkan peluh dan seterusnya akan menyejukkan tubuh.

Rencah asas sup iaitu bawang, bawang putih, halia serta rempah terdiri daripada bunga cengkih dan kayu manis dalam sup yang disediakan orang Melayu semuanya bersifat antivirus.

Jadi, bagi tujuan pencegahan dan rawatan, antara sistem yang utama perlu diberi perhatian agar sentiasa dipulihara ialah sistem imun.

Stres, makanan merapu (makanan kandungan gula tinggi, terproses), nutrien dalam tubuh tidak seimbang serta detoksifikasi tidak lancar dipercayai merupakan punca ketidakseimbangan sistem imun.

Jadi, seseorang yang ingin mendapatkan sistem imun yang cemerlang perlu mengurus stres dengan bijak, bijak memilih jenis makanan serta mengelakkan diri dari mengambil makanan yang menyukarkan proses detoksifikasi.

Seseorang yang sering sembelit mudah mengalami pelbagai penyakit seperti sakit kepala, sengal tubuh/sendi dan demam.

Secara ringkas, beberapa jenis herba antivirus yang boleh digunakan bagi merawat demam termasuk demam selesema dan flu ialah bawang putih, bunga cengkih, kayu manis, oregano, thyme, neem, rosemary dan astragalus (kedai singse: Wong-Ke).

Di samping itu suplemen zink dan asid askorbik (vitamin C) dos tinggi juga juga amat penting. Ia membantu memperkukuh sistem imun serta ia bersifat antivirus!

Sebanyak 3,000 – 5,000 mg (1,000 mg setiap 4 jam) vitamin C, 1 tablet zink (bersamaan 75 mg zink elemen), 3 kapsul neem (1 kapsul diambil setiap 4 jam dapat membantu mengukuhkan sistem imun.

Minyak hati ikan kod juga penting kerana kandungan omega-3, vitamin D dan A membantu mengukuhkan sistem imiun. Ia juga bersifat anti keradangan.

Terdapat banyak persamaan antara denggi dan Ebola dari segi patologi terutama dari sudut ketidakfungsian endotelia dan pendarahan.

Penulis percaya vitamin C dos tinggi perlu dijadikan ‘suplemen wajib’ dalam membantu merawat denggi dan Ebola bagi mencegah atau meredakan denggi/Ebola berdarah. Jus daun betik juga dipercayai amat membantu untuk merawat kedua-dua jenis demam ini.

Virus-virus penyebab denggi dan Ebola dikatakan menyebabkan tubuh mengalami kekurangan nutrien tertentu termasuk vitamin C. Paras vitamin C yang amat rendah atau tiada langsung, dipercayai menyebabkan salur darah termasuk arteriol dan kapilari pecah lalu menyebabkan pendarahan.

Jadi, pengambilan vitamin C dos tinggi dipercayai dapat menghalang pendarahan dengan mengukuhkan mekanisme pencegahan pendarahan. Suplemen vitamin C – 1,000 mg jenis slow released adalah pilihan yang baik.

Simpan artikel ini baik-baik kerana mungkin anda amat memerlukannya suatu ketika nanti.

Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G)


Sumber: sinarharian.com.my