Saturday, October 25, 2014

Penjualan nombor plat eksklusif ikut prosedur


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, penjualan setiap nombor plat mengikut SOP yang ditetapkan.

“Mereka yang ingin membida nombor plat hendaklah membuat permohonan di JPJ berdekatan ataupun melayari laman web JPJ untuk mencetak borang pembidaan,” katanya selepas sidang media di ibu pejabat JPJ, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan akan memanggil JPJ untuk memberi keterangan berhubung prosedur tender pembelian nombor pendaftaran kenderaan.

Ia susulan penyebaran sekeping gambar senarai pembida yang berjaya membeli nombor pendaftaran ini di laman sosial.

Sementara itu menurut Ismail, selepas mengisi borang bidaan berkenaan, pembida perlu menghantar borang itu secara manual di mana-mana cawangan JPJ serta perlu membayar wang cengkeram, iaitu separuh bayaran daripada bidaan yang dibuat.

“Contohnya, sekiranya individu itu membida nombor plat bernilai RM80,000, dia perlulah membayar RM40,000 sebagai wang cengkeram,” katanya.

Selepas tamat tempoh pembidaan, JPJ akan menghubungi pembida yang berjaya membeli nombor plat itu dan mereka perlu membuat pembayaran penuh, manakala pembida yang tidak berjaya pula, wang pendahuluan yang dibayar sebelum ini dipulangkan semula.

Menurut Ismail, pembidaan nombor plat boleh dibuat oleh mana-mana pihak tanpa mengira status dan pekerjaan asalkan mereka mengikut syarat yang ditetapkan oleh pihaknya.

“Secara purata, pada setiap tahun, kami berjaya menjual nombor plat kenderaan eksklusif dengan nilai kira-kira RM400 juta dan kesemua wang jualan ini diserahkan terus kepada kerajaan tanpa JPJ mengambil sesen pun,” katanya.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai supaya menghentikan segala spekulasi mengenai pemilikan nombor plat eksklusif oleh individu tertentu kerana itu adalah hak mereka.

Tambahnya, JPJ tidak dapat mendedahkan sesetengah pemilik nombor plat ini atas faktor keselamatan serta privasi individu berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, setakat ini, beliau masih belum dipanggil PAC berhubung hal ini.

“Saya masih belum menerima apa-apa surat daripada PAC. Sekiranya saya dipanggil, saya bersedia untuk memberikan kenyataan,” katanya dengan yakin.

Sumber: sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment