SHAH ALAM - Siasatan polis mendedahkan bahawa dakwaan tertuduh Norazman Bashah Ahmad Azam yang mengatakan isterinya, Nur Syaleza Jaafar menggantungkan diri pada kipas syiling dua tahun lalu adalah tidak berlaku.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Asisten Superintendan Mazli Jusoh semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari kedua perbicaraan kes bunuh Nur Syaleza, 31, semalam.

“Terdapat lima faktor menyokong hasil siasatan tersebut iaitu keadaan kipas berada dalam keadaan baik serta kesan habuk pada permukaan atasnya tidak terusik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pada kedua-dua penghujung cadar yang dikatakan digunakan Nur Syaleza menggantungkan diri, tidak mempunyai sebarang kesan seperti simpulan.

Menurutnya, kesan potongan cadar yang kononnya dipotong dengan menggunakan pisau pemotong daging oleh tertuduh bagi membantu menurunkan isterinya adalah selari dan bersih.

“Penggunaan bangku kecil adalah tidak sesuai kerana ia tidak stabil berada di atas tilam,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Mazli, saksi pendakwaan kelapan memberitahu, keadaan cermin yang terdapat pada meja solek tidak pecah walaupun terjatuh.

“Tertuduh mengatakan isterinya naik ke meja solek untuk membunuh diri, namun setelah disapu serbuk cap jari tiada kesan sebarang kesan bentuk tapak kaki ditemui, malah habuk juga tidak terusik,” katanya.

Menurutnya, ‘baby walker’ yang tersandar di dinding juga berada dalam keadaan baik sedangkan kedudukannya adalah arah kemungkinan jatuhan meja solek.

“Saya dapati ‘baby walker’ tersebut begitu sensitif, walaupun terkena sedikit sentuhan ia akan menggelongsor jatuh,” katanya.

Menjawab soalan Rosidah, Mazli berkata, jika diambil kira berat mangsa iaitu 56 kilogram, sepatutnya terdapat lebih regangan yang berlaku pada kipas itu.

“Ini kerana tarikan graviti dan bebanan yang perlu ditampung oleh kipas berkenaan,” katanya.

Terdahulu, peguam bela Shahrizan Abdul Manan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menilai semula pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya berdasarkan keterangan oleh Pakar Forensik Patalogi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, 55, kelmarin.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membenarkan permohonan tersebut dan memaklumkan perbicaraan akan diteruskan sehingga keputusan representasi diperoleh.

Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam bela untuk membuat lawatan ke lokasi tersebut agar situasi sebenar dapat digambarkan.

“Lawatan ini akan disertai oleh mahkamah, TPR (timbalan pendakwa raya), peguam bela serta Mazli pada Isnin depan jam 2.30 petang dan prosiding hari ini (semalam) ditangguhkan,” katanya.

Norazman Bashah didakwa membunuh Nur Syaleza di kediaman mereka di No 115, Tingkat 1 Blok O, Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Bekas Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat Syarikat Gas dan Minyak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sumber: sinarharian.com.my