TENTERA rejim Zionis berterusan mencabuli hak penduduk Palestin dengan mengetatkan sekatan di pekarangan Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis hingga mencetuskan pertempuran ganas di sekitar kawasan tersebut.
Menurut Kementerian Maklumat Palestin, insiden serangan ke atas orang Islam itu berlarutan sejak enam bulan lalu, namun hanya dipandang sepi oleh masyarakat dunia.

"Mereka membuat peraturan baharu dengan melarang penduduk Palestin berumur di bawah 50 tahun daripada memasuki masjid tersebut.

Situasi di al-Aqsa semakin membimbangkan kerana Israel membuat rancangan jahat untuk membenarkan penganut Yahudi Ortodoks masuk ke masjid suci ketiga orang Islam tersebut," jelas kementerian itu dalam laporan Agensi.

Tentera Israel turut menggempur al-Aqsa dan menggunakan kekerasan untuk mengusir penduduk Palestin dari kawasan yang kononnya dianggap sebagai Temple Mount oleh penganut Yahudi.

Tindakan mereka jelas mencemari kesucian masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu dan ia sememangnya melanggar undang-undang antarabangsa.

Susulan daripada peningkatan serangan itu, ribuan penduduk Palestin di Ramallah, Tebing Barat bertindak mengadakan protes membantah pencerobohan pendatang haram Yahudi dan pihak berkuasa Israel di al-Aqsa.

Aktivis, Esam Baker menggesa masyarakat antarabangsa supaya melindungi kedaulatan dan mempertahankan masjid itu daripada jatuh ke tangan rejim Zionis.

Sebelum ini, beberapa cubaan untuk mencemari al-Aqsa telah dirancang Israel  termasuk kunjungan bekas perdana menteri, Ariel Sharon di al-Aqsa pada 28 September 2000 yang mencetuskan Intifada Kedua selepas tindakan provokasi itu membangkitkan kemarahan penduduk Palestin.


Sumber: sinarharian.com.my