BAGHDAD - IRAQ. Tiga pesawat milik Amerika Syarikat menggugurkan makanan dan air di puncak Gunung Sinjar, utara Iraq, semalam.
Menurut laporan Al Jazeera/AFP, tindakan itu dilakukan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada lebih 40,000 golongan minoriti Yazidi yang kini terperangkap di kawasan itu selepas dijadikan sasaran terbaharu kumpulan Negara Islam (IS).
Jurucakap Pentagon John Kirby berkata, tindakan itu dibuat bagi menyelamatkan mangsa yang terkandas sejak enam hari lalu.
Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa masyarakat dunia supaya membantu golongan ini daripada menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.
“Dianggarkan lebih 50,000 penduduk Yazidi terperangkap di atas Gunung Sinjar selepas melarikan diri. Lebih setengah juta penduduk menjadi pelarian sejak serangan dua bulan lalu.
Sementara itu, Menteri Hak Asasi Manusia Kamil Amin berkata, kanak-kanak berusia 3 hingga 5 tahun dan wanita Yazidi dilaporkan diculik oleh askar IS.
Sumber perisikan AS pula mendedahkan, ratusan wanita Yazidi yang diculik dan dipenjarakan itu dijual atau dikahwinkan dengan askar IS yang kini menguasai Mosul dan sedang cuba menawan Baghdad. - Al Jazeera/AFP
Sumber: sinarharian 100814
No comments:
Post a Comment