Saturday, August 16, 2014

MH17: Jenazah cukup sifat

Amsterdam: "Keadaan enam jenazah pertama penumpang MH17 yang dimandikan kami sebelum ini masih elok dan cukup sifat anggota tubuh," ujar Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat yang ditemui wartawan Harian Metro di sini, semalam.

Dia yang turut bertanggungjawab mengimamkan solat jenazah itu Rabu lalu, mengakui proses memandikan semua jenazah itu berjalan lancar sama seperti jenazah biasa diuruskan di tanah air. 

"Walaupun mungkin ada anggota tubuh jenazah yang terpisah namun pasukan forensik di Hilversum sudah menyambungnya semula. 

"Ramai menyangka jasad enam jenazah itu sudah hancur berkecai dah sukar untuk urusan dimandi serta dikafankan. Namun perkara itu tidak benar sama sekali," katanya yang dibantu sekumpulan lapan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Foto

FOTO Danial Saad


Menurutnya, mereka dipecahkan kepada dua kumpulan membabitkan kumpulan lelaki dan wanita bagi menjalankan tugas memandi serta mengkafankan jenazah mengikut jantina.


"Terdapat tiga jenazah lelaki dan tiga jenazah wanita beragama Islam yang juga penumpang pesawat MH17 diuruskan kami. 

"Proses dijalankan dengan teliti. Jenazah yang selesai dimandikan kemudian diletakkan di atas plastik dan kain kafan sebelum dipindahkan ke dalam keranda. 

"Kami perlu gunakan plastik berikutan jenazah ini akan melalui perjalanan jauh untuk dibawa pulang ke tanah air. 

"Proses memandikan dan mengkafankan jenazah mangsa ini selesai sepenuhnya dalam tempoh kurang satu jam," katanya. 

Dia berkata bagi mangsa wanita itu, jenazah dipakaikan baju dan telekung sama seperti proses biasa dilakukan. 

Menurutnya jenazah semua mangsa itu kemudian disolaykan dengan disertai semua ahli keluarga, penuntut Malaysia di Belanda dan kakitangan kedutaan Malaysia. 

"Setakat ini kami sudah jalankan tiga dari empat fardu kifayah utama iaitu memandikan, memakaikan kafan dan menyembahyangkan jenazah itu. Ia hanya tinggal untuk dikebumikan. 

"Bagaimanapun, terpulang kepada ahli keluarga mangsa di tanah air sekiranya mereka mahu melakukan solat jenazah sekali lagi di Malaysia sebelum dikebumikan," katanya yang masih tidak pulang ke tanah air sejak 18 Julai lalu kerana bertugas di Ukraine dan Belanda.

Sumber: hmetro.com.my 160814

No comments:

Post a Comment